Friday, October 02, 2009

Isu Kebudayaan Malaysia-Indonesia: Di Manakah Harga Persaudaraan Akidah?

Pada masa kini, acap kali didengari tentang isu budaya yang ditiru-diciplak dari Indonesia oleh Malaysia. Sebelum-sebelum ini, sering kita dengar isu tentang batik, tarian pendet, kuda kepang dan pelbagai lagi kesenian dan kebudayaan yang mahu diakukan sebagai milik nasional negara mereka.

Baru-baru ini, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengarahkan setiap rakyat negara itu memakai batik atas menunjukkan gah kerana UNESCO telah mengumumkan hak perebutan warisan kebudayaan batik telah diberikan kepada negara Indonesia.

Media-media Indonesia juga banyak mewarwarkan tentang permasalahan tuntutan warisan kebudayaan yang mana, dikatakan banyak ditiru dan diambil oleh Malaysia. Banyak contoh-contohnya boleh dilihat dalam Youtube dan lain-lain. Sehinggakan rakyat Indonesia naik marah dan mahu mencari setiap rakyat Malaysia di Jakarta dan menghalau dengan buluh runcing. Bunuh? Mungkin?

Sebenarnya perkara ini merunsingkan hati setiap mukmin yang masih segar. Sedar akan nilai persaudaraan seIslam yang jauh... jauh ... jauh lebih bermakna dan lebih penting diutamakan dari ikatan kenegaraan dan kebudayaan sesama manusia.

"Sesungguhnya orang-orang beriman adalah bersaudara. Sebab itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan takutlah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat" (Al-Hujurat, 49: 10)

Sebenarnya isu ini dapat diselesaikan jika (dan hanya jika) setiap dari orang mukmin menjadikan mukmin yang lain sebagai saudara (ie. seperti adik-beradik, saudara sedarah sedaging etc.) mereka.

Mana mungkin saudara sanggup mencederakan saudara mereka sendiri. Kalau itu pun tidak sanggup, masakan sanggup untuk meleraikan ikatan ikatan yang telah tersimpul rapi dan kuat antara satu sama lain.

Isunya, bagi pandangan saya, bermula dari ukhuwah (ikatan hati) antara satu sama lain tidak kuat.

Kalau di Malaysia, kita mampu lihat akan kebenarannya (tidak perlu pergi jauh). Layanan kita kepada saudara seagama kita pun mungkin tidak sama. Pekerja-pekerja bangsa asing ini juga yang dikasari, dari segi fizikal ataupun spiritual. Orang Malaysia panggil bangsa lain (walaupun seakidah, seagama dengannya) dengan panggilan-panggilan yang tidak sedap didengari oleh orang itu sendiri.

"Indon! Bangla! Keling!"

Tidakkah mereka sedar yang barangkali orang yang mereka rasa tidak sama taraf dengan diri mereka sendiri. Padahal di sisi Allah, setiap mukmin adalah sama, kecuali takwa.

Maka, solusi terbaik adalah untuk kita merapatkan ukhuwah antara kita.

Malaysia dan Indonesia bukan sahaja disatukan oleh ikatan akidah, malah disatukan oleh ikatan bangsa, rumpun, dan bahasa yang sama. Asalnya orang Melayu. Dan orang Melayu, dari segi perlembagaan pun, adalah beragama Islam.

Tidak salah untuk mempunyai nilai kebudayaan yang sama, sebab orang Malaysia dan Indonesia datang dari rumpun yang sama. Asal yang sama. Malah sepatutnya nilai warisan kebudayaan yang sama inilah yang menyatu-padukan orang Melayu Islam, tanpa sempadan. Dan pada masa yang sama, kita saling menghormati.

Kita mampu melihat, khususnya di negara bukan Islam (contohnya di tempat saya, Adelaide, Australia) di mana ikatan ukhuwah antara orang Islam amat kuat sekali. Tambah-tambah lagi sesama orang Malaysia-Indonesia. Saling membantu dan melengkapi.

Oleh sebab itu, saya menyeru kepada bangsa serumpun saya, bersatulah atas dasar akidah kita yang serupa. Kerana Islam lah, kita hebat dan dipandang mulia oleh Allah SWT.

Insya Allah, kita mampu untuk bersatu.

Wassalam.