Thursday, April 07, 2011

Entri Pendek: Kehidupan Sekali- Enjoy Sepuas Puasnya?

Kata orang.

Hidup hanya sekali. Enjoy sepuas-puasnya. Buat apa yang kau mahu.

Kata diriku.

Hidup banyak kali. Hidup di alam ruh, alam rahim, alam dunia, alam barzakh, alam akhirat.

Tapi MATI hanya sekali!

Maka mahukah dikau mempergadaikan masa hidup kau di dunia, sebelum dikau mati, dan mengharapnya Syurga nanti?

Dikau memang pelik!!

Friday, April 01, 2011

Gempa Bumi dan Tsunami Tōhoku, Jepun 2011- Satu Peringatan Buat Semua

11 Mac 2011 pasti memberi satu lembaran baru dalam lipatan sejarah peradaban manusia, di mana satu negara maju pesat tiba-tiba dilanda malapetaka yang maha dahsyat. Gempa bumi pada Skala Richter 9.0 yang melanda di kawasan perairan Jepun menyebabkan terbentuk tsunami yang sangat dahsyat setinggi 29.6 meter, yang melumpuhkan banyak kawasan di pesisiran pantai Semenanjung Oshika, Tohuko. Bandar-bandar lain turut merasa bahangnya apabila bandar-bandar lain seperti Tokyo, Fukushima, dan Ibaraki turut mendapat gegaran kesan dari gempa bumi yang dahsyat ini.

Selain dari jumlah kerosakan, kerugian, dan kematian (11,532 kematian, 2,873 kecederaan, dan 16,441 yang masih hilang) yang sangat menyentuh hati, Jepun turut berhadapan dengan masalah kebocoran dan overheating reaktor nuklearnya di Fukushima. Setakat kalam ini dicatatkan, rakyat sekitar 40 kilometer radius dari reaktor nuklear Daiichi Fukushima harus meninggalkan kawasan perumahan mereka kerana kandungan pencemaran radioaktif yang sangat tinggi. Pada ketika ini, kadar pencemaran di sana, menurut International Nuclear Event Scale (INES), reaktor Daiichi Fukushima adalah pada tahap 5, iaitu ‘kemalangan dengan komplikasi yang lebih meluas’. Tahap 5 adalah kurang 2 tahap berbanding dengan kemalangan yang berlaku di reaktor nuklear Chernobyl, Ukraine SSR pada tahun 1986.

Penulis berasa sedih apabila melihat banyak status Facebook yang memberi komen yang padanya rendah tarafnya, seperti akan terhentinya serial anime dan komik yang mereka ikuti sekarang, bagaimana akan datangnya kesukaran mendapat barangan, kesukaran bagi mendapat game dan permainan Jepun, dan lain-lain. Sedangkan masyarakat, khususnya umat Islam kita perlu sedar bahawa ini adalah amaran dan peringatan yang Allah SWT berikan kepada kita supaya kita sedar bahawa betapa maha kerdilnya kita berbanding dengan kekuasaan serta kemurkaanNya.

Kita lihat, sekiranya dibandingkan antara kemajuan teknologi Jepun dengan negara kita Malaysia, kita berada jauh kebelakang. Dengan kelengkapan canggih mereka bagi mengesan dan memberi amaran awal terhadap gempa bumi dan tsunami yang mereka diperlengkapkan, itu pun masih tidak mampu untuk mengelakkan diri mereka dari terperangkap dalam bencana ini. Jadi, bagaimana pula dengan kita di Malaysia?

Perlu kita sedar, bahawa amaran-amaran dan bencana ini semuanya Allah SWT mampu untuk menimpakan kepada kita. Mungkin kerana kealpaan kita, dosa-dosa kita. Dan mungkin juga kerana apa yang berlaku kepada masyarakat kita sendiri, dan kita tidak berbuat apa-apa.

Satu kisah yang mahsyur, ketika mana Allah SWT memerintahkan para malaikatNya untuk menurunkan azab dan memusnahkan sebuah kawasan yang ketika itu para penduduknya banyak berbuat maksiat kepada Allah SWT. Ketika malaikatNya hendak menghantar azab, malaikat terlihat akan ada 3 orang yang kuat beribadah di dalam kawasan tersebut. Lalu malaikat kembali kepada Allah SWT untuk bertanya sama ada perlu diteruskan azab tersebut, kerana masih ada manusia yang kuat beribadah di kawasan itu. Allah SWT lalu berkata yang musnahkanlah kawasan tersebut, bermula dengan 3 orang yang kuat beribadah itu.

Mengapa terjadi yang sedemikian? Kerana mereka tidak mengajak masyarakat yang lain ke arah yang makruf, serta menghalang mereka dalam melalukan kemungkaran.

Amar makruf nahi mungkar merupakan salah satu kekuatan umat Islam itu. Kerana kesatuan umat Islam adalah dengan adanya segolongan manusia yang menyeru manusia yang lain, mengingatkan mereka dari terus alpa dan leka, serta menggembeling tenaga mereka untuk bersama-sama memartabatkan Islam. Dan dari situ, umat yang terbaik akan lahir.

"Harus ada dari kamu segolongan (orang-orang) yang mengajak kepada kebaikan, menganjurkan kebaikan dan mencegah yang mungkar. Dan merekalah orang-orang yang untung bahagia. (Surah Ali-Imran, ayat 104)"

"Kamulah sebaik-baik ummat yang dilahirkan di tengah-tengah manusia, kerana menganjurkan kebaikan dan mencegah mungkar dan percaya pada Allah. (Ali Imran,ayat 110)"

Maka, penulis menyeru kepada seluruh umat Islam bagi mengambil iktibar tentang apa yang telah berlaku di sekitar dunia ini. Pada ketika ini, perlu ada penumpuan terhadap keperluan bagi mengubah masyarakat di sekeliling kita secara bersama-sama: dari sekecil-kecil unit dalam masyarakat iaitu individu Muslim, keluarga, masyarakat dan seterusnya. Perlu kita sama-sama saling mengingati diri kita, serta orang di sekeliling kita supaya sentiasa mengingati bahawa sesungguhnya kita maha kerdil berbanding Allah SWT, dan perlu kita kembali kepadaNya setiap masa.

Kerana manusia adalah sinonim dengan lupa dan kelekaan.

Insya Allah, kita berdoa supaya kita di Malaysia tidak diuji seberat apa yang menimpa sahabat-sahabat kita di Jepun pada saat ini.








AHMAD KHAIRI ZAZALI

Aktivis ISMA dan PEMBINA