Wednesday, November 04, 2009

Kenapa pilih jalan tarbiyah?

Ketika Abdullah bin Rawahah diangkat menjadi panglima dalam perang Mu’tah, beliau menerimanya dengan cucuran air mata. Lantas para sahabat bertanya: “Apa yang membuat engkau menangis wahai Abdullah?" Jawab beliau: “Tidak ada rasa cinta pada diriku akan dunia serta keinginan untuk dipuja oleh kalian, tetapi aku teringat ketika Rasulullah mengingatkan aku dengan firmanNya: "Dan tidaklah dari kalian melainkan akan mendatanginya neraka Jahanam, dan yang demikian itu bagi Tuhanmu merupakan hatman maqdhiyya (satu ketentuan)" (QS Maryam: 71).

Inilah perasaan yang terbit dari benak Abdullah bin Rawahah ketika beliau mentadabbur ayat al-Quran dan menghubungkannya dengan jawatan yang diamanahkan kepadanya. Rasa risau dan bimbang jika amanah ini tidak dapat menyelamatkannya dari menghadapi kesengsaraan neraka Jahanam. Ia mengingatkan bahawa menghadapi neraka Jahanam merupakan satu kepastian, satu ketetapan yang tidak dapat dielakkan (Hatman Maqdhiyya).

Begitulah tarbiyah juga merupakan satu kepastian, satu ketentuan (hatman maqdhiyya) dalam projek membina peradaban ummah. Tidak ada pilihan dan alternatif lain, hanya tarbiyah jalan menuju kepada mencapai target dan sasaran tersebut. Inilah jalan yang lurus, jalan para nabi, jalan para rasul dan jalan salafussoleh. Jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat ridwanullahi ‘alaihim ajmaeen. Jalan yang telah terbukti berjaya dan ampuh, biar pun segala halangan dan pancaroba menimpa. Allah menjelaskannya di dalam firmanNya di dalam surah Al- ‘An’aam, ayat 153: "Dan sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan lain kerana itu mencerai beraikan kamu dari jalan Allah, yang demikian itu Allah mewasiatkan kamu supaya bertaqwa."

Kalimah ‘siraati mustaqima’ didatangkan dari kata mufrad (satu) sedangkan larangan mengikut ‘subul’ disebut dengan kalimah jamak (plural). Allah menegaskan bahawa jalan ini hanya satu, bukan dua, bukan tiga, itulah jalan yang telah dilalui oleh para Rasul dan generasi silam sedangkan larangan dengan menggunakan kata jamak menunjukkan di sana ada pelbagai method yang boleh membawa kepada perpecahan, penyelewengan, tafarruq dan penyimpangan dalam manhaj amal. Di dalam al-Quran Allah telah mempakejkan kalimah ‘siraat’ dalam bentuk mufrad sahaja dan dikaitkan dengan kalimah ‘mustaqim’ bagi menzahirkan bahawa jalan dakwah ini, jalan tarbiyah ini adalah jalan yang satu dan ia membawa kepada istiqamah manhaj, istiqamah amal dan istiqamah ad-deen. Ini juga terangkum dalam surah al-Fatihah: "Ihdinas siraatal mustaqim."

Kenapa jalan ini menjadi pilihan para da’ie? Kenapa jalan ini perlu kita lalui? Kenapa kita tidak memilih jalan-jalan lain? Barangkali jalan-jalan lain mampu mempercepatkan proses memegang tampuk kekuasaan, mensejajarkan bulatan pengaruh dakwah atau melestarikan organisasi di mata masyarakat.

Ya, sememangnya kita akui dan fahami bahawa jalan yang kita pilih ini adalah jalan yang kita warisi dari Rasulullah SAW, jalan yang telah diperakui oleh para mujtahid dakwah dan harakah, hasil penelaahan dan pengkajian mendalam terhadap perjalanan sirah baginda SAW dan terbukti berjaya. Kita memilih jalan ini kerana:


1. Sukar tapi kukuh (Sha’bun – thabit)

Memilih jalan ini bermakna kita perlu melalui kepayahan dan kesukaran. Tarbiyah itu menyamai kepayahan dan kesusahan. Betapa sulit dan sukarnya proses ini untuk melahirkan hasil-hasil yang berkualiti. Bayangkan generasi terawal yang memeluk Islam di peringkat permulaan dakwah hanya sekitar 40-50 orang. Mereka inilah yang menjadi tulang punggung dakwah Rasulullah SAW. Mereka bukan sekadar menyahut seruan dakwah tetapi mempersiapkan diri menjadi agent of change (Anashiruttaghyir).

Berdakwah itu memang tidak mudah kerana dakwah memerlukan proses dan pembinaan (takween). Anologi yang paling mudah bagi tarbiyah ialah seperti menanam sepohon pokok. Pokok tersebut harus dijaga, dipelihara, dibajai, disirami, dikawal dari diceroboh binatang-binatang buas, juga terpaksa menghadapi ribut taufan, angin kencang, panas terik sehingga ia tumbuh membesar, kuat dan utuh, menghasilkan buah-buah ranum dan berkualiti yang boleh dimakan oleh orang lain.

Begitulah tarbiyah, ia proses membina peribadi yang kuat, kader yang berkualiti dari sudut fikri dan tanzimi sehingga ia menjadi batu-bata kepada binaan daulah. Tarbiyah yang mampu melahirkan perajurit dan rijal seperti para Sahabat r.a. Lihatlah sikap Kaab bin Malik yang tidak menerima tawaran utusan kerajaan Ghassan ketika saat beliau dipulau akibat tidak turut serta dalam jihad. Beliau tidak menerima suaka politik dan perlindungan tersebut, bahkan tarbiyah menjadikannya thabat dan menanti pengampunan Allah dan rasul.


2. Panjang tapi asli (Thawil – ashil)

Jalan dakwah ini adalah jalan yang panjang. Jalan yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Ia merupakan siri mata rantai perjuangan yang saling berkesinambungan untuk mencapai sasaran dan matlamat dakwah. Dalam perang Khandak, Rasulullah SAW memberikan khabar gembira pembukaan Kota Rom. Namun sejarah telah menyaksikan bahawa Rom dibuka dan ditakluk oleh umat Islam pada masa kerajaan Uthmaniyah. Hakikat ini menunjukkan betapa panjangnya perjalanan dakwah ini dilalui, berapa banyak generasi dilewati, berapa banyak kader bersilih ganti, berapa banyak rijal dijualbeli fi sabilillah tetapi keasholahan dakwah dan tarbiyah tetap dijaga. Asas dan pasak yang telah dimulakan oleh Rasulullah dan kemudian dilanjutkan oleh para sahabat Rodiallahu ‘anhum wa rodhu’anhu.

Rijal yang memiliki asolah dakwah dan asolah tarbiyah adalah rijal yang telah teruji keasolahan fikrahnya, keasolahan manhaj amalnya hasil dari tarbiyah biar pun panjang perjalanan dakwah ini. Syeikh Mustafa Mahsyur menyatakan antara ciri dakwah Ikhwan ialah al-Asolah (keaslian dan ketulenan) manhaj dan fikrahnya. Sifat Asolah ini menjadikan rijal tadi tegar, utuh, thabat dengan mehnah dan ujian di jalan dakwah, sosok peribadi yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.

Sifat asolah dan tajarrud pada dakwah serta hasil tarbiyah yang berkualiti terkamir pada sosok tubuh Abu Talhah RA yang hidup hingga zaman Khalifah Uthman bin Affan. Apabila tiba panggilan semboyan jihad dan menuntut untuk mengharungi lautan bagi menghadapi Rom, beliau tanpa berlengah-lengah terus menyahut panggilan tersebut sehingga beliau gugur di perbatasan medan jihad sebagai syahid.

Dengan tarbiyah jualah telah menjadikan 10 orang para sahabat yang dijamin syurga, yang menjawat jawatan khalifah atau jawatan gabenor tidak merasa terpesona dengan dugaan duniawi, rasa besar atau gah tetapi merasa kerdil di sisi Allah swt.

Begitulah kita melihat ramai ikhwan yang telah dipenjara, ditangkap, dibunuh tetapi mereka tetap thabat, teguh bersama di atas jalan dakwah. Hakikatnya jalan ini panjang tapi terpelihara keasholahannya. Hanya dengan jalan tarbiyah dapat memaintainkan kita terus berada dalam kafilah dakwah.


3. Lambat tapi terjamin (Bathi’ – ma’mun)

Tabiat jalan dakwah ini lambat tetapi terjamin hasilnya. Dakwah ini ibarat larian marathon bukan larian sprint. Biarpun lambat tetapi akan sampai ke garisannya jua. Lihatlah dua anologi berbeza antara karektor kura-kura dan arnab. Sifat ghurur dan takjub pada diri serta berasa selesa akan membawa padah dalam perjalanan berbeza dengan kura-kura yang menyedari hakikat dirinya walaupun lambat namun kesabaran, kesungguhan mengusungnya sampai ke garisan penamat dan dia menjadi pemenang. Satu perjuangan yang memerlukan nafas panjang (nafsu thowil). Itulah jalan tarbiyah.

Jalan tarbiyah yang berbeza dengan jalan siasi. Jalan politik melihat kepada habuan segera, menggunakan kaedah matlamat menghalalkan cara, eksploitasi, penipuan yang akhirnya membawa bencana dalam perjuangan.

Mana-mana Harakah Islamiah yang mengabaikan aspek tarbiyah dan pembinaan dalaman akan membawa kepada kegagalan biarpun nampak hasilnya di peringkat permulaan. Kalau dapat pun, ia tidak kukuh dan bertahan lama. Memprioritikan amal politik dari amal tarbawi merupakan penyelewengan dari jalan dakwah. Seerah menunjukkan Rasulullah memberikan penekanan kepada jalan tarbiyah dan menolak metodologi siasi dalam amal dakwah baginda. Kita adalah du’at ilallah sebelum menjadi du’at siasi.

Cukuplah penolakan Rasulullah SAW kepada tawaran pembesar Quraish untuk berada di tampuk kekuasaan sebagai bukti bahawa dakwah ini berdiri di atas jalan tarbiyah. Dakwah ini perlu melalui kesukaran dan kepayahan bukan mengharap natijah yang segera dan cepat. Ingatlah pesanan al-Banna kepada golongan yang ‘isti’jal (tergesa-gesa), yang ingin memetik hasilnya sebelum tiba masanya sebagai panduan berguna untuk kita.

Ketika berlaku fitnah hadith al-Ifki terhadap Saidatina Aisyah RA, kita dapat melihat sikap isteri Abu Ayyub al-Ansori yang menjaga lisannya dari melemparkan kata-kata fitnah terhadap Saidatina Aisyah RA di saat ramai manusia menyebarluas finah keji ini. Inilah gambaran Sohabiyah yang terdidik dari madrasah Rasulullah yang mewakili contoh keperibadian tarbawi yang terjamin keasholahan dakwahnya. Hasil tarbiyah inilah yang membentuk isteri Abu Ayyub al-Ansori tidak tergamak untuk melakukan fitnah dan buruk sangka kepada Ummul Mukminin Aisyah RA.

Dari sudut taktikalnya, jalan tarbiyah ini dapat menyeimbangkan keperluan dakwah dengan bilangan kader. Tanpa tarbiyah tidak mungkin lahir kader-kader yang mampu menampung perluasan amal medan. Jadi, dengan jalan tarbiyah dapat mensejajarkan sokongan massa dengan potensi tarbiyah. Tanpa jalan tarbiyah ini, maka tidak akan wujud barisan du’at atau murabbi yang dapat memenuhi keperluan dakwah dan garapan umum.

Secara strateginya, jalan tarbiyah ini akan melahirkan pewaris dakwah baru bagi melengkapkan peta perjalanan dakwah dalam kerangka membina projek peradaban umat berpaksikan maratib amal 7. Jika tidak diberi perhatian akan wujud kesenjangan antara dua generasi yang berakhirnya dengan ‘Lose of Generation’. Penyakit kepupusan generasi atau hilang taurith adalah akibat penumpuan kepada gaya amal siasi dari menumpukan gaya amal tarbawi. Kata-kata Syeikh Muhammad Ar-Rasyid ‘attarkiz la attakshir’ (penumpuan bukan meramaikan) boleh dijadikan asas dalam amal takween (pembinaan).

Bayangkan ketika berlaku gerakan Riddah di zaman Saidina Abu Bakar RA, para sahabat yang ditarbiyah inilah menjadi Qaedah Sulbah mempertahankan Islam dan memerangi golongan yang murtad. Begitu juga, tenaga da’ie yang dibentuk pada zaman Saidina Umar al-Khattab, dalam tempoh tidak sampai satu tahun telah bersedia memikul tugas jihad dan berada di posisi hadapan sama ada sebagai komandan atau panglima perang. Semuanya ini adalah hasil produk jalan tarbiyah.

Justeru itu jalan tarbiyah adalah jalan yang paling selamat, terjamin kualiti, hasil produktif dan bertahan lama. Pilihlah jalan tarbiyah.

Photobucket
Ustaz Azizee bin Hasan,
YDP ISMA Seremban

Blog: Petunjuk Sepanjang Jalan

Monday, November 02, 2009

Deklarasi Balfour: 90 tahun sudah berlalu

Deklarasi Balfour (1917) ialah satu surat bertarikh 2 November 1917 dari Menteri Luar Britain yang bernama Arthur James Balfour kepada Lord Rothschild, pemimpin komuniti Yahudi Inggeris, untuk dikirimkan kepada Zionis.

Surat itu menyatakan polisi yang dipersetujui dalam mesyuarat kabinet Inggeris pada 31 Oktober 1917 iaitu antara lain menyebut bahawa pemerintah Inggeris menyokong rancangan-rancangan Zionis mewujudkan negara Yahudi di Palestin. Dalam erti kata lain, deklarasi tersebut telah memberikan hak kepada Yahudi menduduki dan menjajahi bumi Palestin serta membentuk negara haram Israel. Ia merupakan batu asas penjajahan ke atas bumi Palestin yang diletakkan oleh Britain dan bermulanya dengan rasminya penafian hak kewujudan rakyat Palestin ke atas bumi dan tanah air mereka sendiri.

Deklarasi Balfour sebenarnya dikeluarkan oleh pihak yang tidak memiliki apa-apa hak ke atas bumi Islam Palestin iaitu Inggeris kepada pihak yang tidak berhak menerimanya iaitu Yahudi untuk membina negara haram Israel. Ia adalah semata-mata untuk kepentingan Inggeris bagi menyelesaikan masalah Yahudi di Eropah, ingin memecahbelahkan kesatuan umat Islam di dunia Arab serta bermatlamat memudahkan negara-negara Barat membuat percaturan politik mereka di Timur Tengah dan merealisasikan kepentingan mereka setelah wujudnya negara Yahudi iaitu Israel.

Bumi Palestin adalah negara nenek moyang bangsa Arab dan umat Islam. Oleh karena itu, siapapun tidak boleh menyerahkan walau satu jengkal pun tanah yang sudah menjadi milik bangsa Arab dan umat Islam secara turun temurun sejak ribuan tahun yang lalu. Kesepakatan apapun dalam rangka menghapus hak rasmi bangsa Arab adalah tidak sah.

Pihak Inggeris wajib dipersoalkan dan mesti bertanggungjawab di atas segala bentuk pembantaian, pengusiran, penjajahan, pembunuhan dan seumpamanya terhadap bumi Palestin kerana pihak mereka yang telah menempatkan Israel di bumi Palestin tersebut. Begitu juga, dunia antarabangsa harus sama-sama bertanggungjawab dari sudut sejarah dan moral di atas apa yang terjadi akibat deklarasi Balfour itu.

Kejayaan Yahudi melaksanakan deklarasi tersebut bukan bererti kekuatan yang ada pada mereka tetapi kerana bangsa Arab khususnya pemimpin-pemimpin dunia Arab tidak bersatu, masalah bangsa Arab yang tidak memanfaatkan sumber daya yang ada pada diri mereka sendiri dan tidak memiliki keimanan yang mendalam dan mereka juga tidak serius dalam melakukan penentangan terhadap Israel.

Bagi terus menghadapi dan menentang penjajah Yahudi, semua pihak perlu jujur dan bersungguh-sungguh dalam menangani masalah bumi Palestin dan jangan sekali-kali menjalinkan hubungan dan menyokong pihak musuh Israel yang setiap hari membunuh dan menyembelih rakyat Palestin. Kesatuan amat penting bagi menghadapi konspirasi antarabangsa terhadap Palestin dan menyelesaikan masalah Palestin sekarang ini.

Berikut ialah kandungan teks surat deklarasi Balfour:

Photobucket

Sumber: Laman Web Aman Palestin

Bekas Mufti ditahan, mengajar tanpa tauliah

mazaa1

Bekas Mufti Perlis, As-Sohibus As-Samahah Dr Mohd Asri Zainal Abidin ditahan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) malam tadi kerana mengajar tanpa tauliah. Dr Asri atau juga dikenali Dr. MAZA, adalah graduan B.A (Hons) B. Arab/Syariah University Of Jordan, M.A Pengajian Islam USM, Ph.D Al-Quran And Sunnah Studies, UIA (2003), mendapat 5 ijazah sanad menerusi jalur ulama India (2001), menerima Anugerah Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis 1427H & 1429 serta anugerah Tokoh Ma’al Hijrah USM Tahun 1430H.

Sebaik saya tamat pengajian Islam & Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1997, saya dikurnia Tauliah Mengajar Agama oleh As-Sahibus As-Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Murtadza Syeikh Ahmad pada tahun yang sama. Surat Tauliah juga dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Oleh itu sefaham saya, Mufti sesebuah negerilah yang mentauliahkan guru-guru agama. Dengan itu umum beranggapan kedudukan Mufti dan keabsahannya melebihi guru-guru agama yang ditauliahkannya. Saya rasa alasan mengajar tanpa tauliah terhadap seorang tokoh dan ilmuan seperti Sahibus Samahah Dr Asri, adalah sukar diterima oleh masyarakat.

Beberapa bulan yang lalu, Dr Asri ditawarkan jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato Jamil Khir. Sejak jawatan itu ditawarkan, ada pihak-pihak yang kurang selesa lalu membuat bantahan dengan surat diserahkan kepada Yang Dipertuan Agung. Diantara isi kandungan surat tersebut ialah tuduhan Dr Asri tidak menganut aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah, keluar dari keempat-empat mazhab (Hanafi, Syafiemaka menolak hadis (riwayat) Al-Bukhary, mencerca Imam Al-Ghazali dan Imam An-Nawawi, mencerca/hina solat Hajat dan sebagainya.

Menurut beliau sebelum ini juga memang beliau mempunyai pandangan yang agak kontroversi seperti pandangan beliau terhadap pegawai pencegah maksiat mengintip kes-kes khalwat, penggunaan nama Allah di bible, tukar nama di ic disebabkan pertukaran agama, membelakangkan fatwa Majlis Fatwa tentang hukum yoga, tak bersetuju Majlis Fatwa berhimpun dalam perkara-perkara kecil seperti hukum memakai inai bercorak ditangan dan sebagainya.

Akon di KL 24.10.2009

Konsert artis tak berbaju Akon di Kuala Lumpur pada 24.10.2009 yang lalu berlangsung dengan jayanya dihadiri ribuan umat Malaysia. Bentuk didikan dan pengajaran ala-Barat kepada masyarakat di Malaysia oleh artis-artis tak bertauliah masih berleluasa setakat ini.

Saya menjangka untuk beberapa tempoh kedepan ini, umat Islam akan disibukkan dengan isu penangkapan Dr Asri, tawaran jawatan Yang Dipertua YADIM dan yang berkaitan, walaupun setelah Dr Asri dibebaskan dan jawatan tersebut telah ditolak. Ini adaah kerana kedudukan Dr Asri selaku bekas Mufti, YADIM mempunyai banyak NGO-NGO Islam dibawahnya, tawaran sebagai YDP YADIM dibuat oleh seorang menteri dalam program pimpinan UMNO yang dihadiri Perdana menteri sendiri, surat yang mebabitkan Yang Dipertuan Agung dan ditandatangani oleh Presiden Pertubuhan Peguan Syar’iyy sendiri dan sebagainya. Ia mungkin juga berkait dengan senerio politik di Malaysia, sejarah perselisihan diantara aliran tarikat-tarikat sufi dari zaman Abbasiyah di negara-negara Arab yang mengalir ke kumpulan-kumpulan Sufi di Malaysia hari ini, bertembung dengan aliran ulamak pro Ibu Taimiyah, Ibnu Qayyim, Asy-Syeikh Muhammad Abdul Wahab dan pengikutnya (Wahaby) yang mengalir ke kumpulan-kumpulan pro Salafi di tanahair kita hari ini.

Saya berharap agar isu dan pertembungan ini tidak memesongkan fokus umat Islam dalam membaiki dan meningkatkan iman dan akhlak mereka, berdepan dengan konspirasi musuh-musuh Islam di Barat dan Timur, dalam kita menuju cita-cita agar umat Islam mampu memimpin dan membimbing umat yang lain di Malaysia, rantau dan dunia ini.

Ustaz Halim www.inijalanku.wordpress.com

Friday, October 02, 2009

Isu Kebudayaan Malaysia-Indonesia: Di Manakah Harga Persaudaraan Akidah?

Pada masa kini, acap kali didengari tentang isu budaya yang ditiru-diciplak dari Indonesia oleh Malaysia. Sebelum-sebelum ini, sering kita dengar isu tentang batik, tarian pendet, kuda kepang dan pelbagai lagi kesenian dan kebudayaan yang mahu diakukan sebagai milik nasional negara mereka.

Baru-baru ini, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengarahkan setiap rakyat negara itu memakai batik atas menunjukkan gah kerana UNESCO telah mengumumkan hak perebutan warisan kebudayaan batik telah diberikan kepada negara Indonesia.

Media-media Indonesia juga banyak mewarwarkan tentang permasalahan tuntutan warisan kebudayaan yang mana, dikatakan banyak ditiru dan diambil oleh Malaysia. Banyak contoh-contohnya boleh dilihat dalam Youtube dan lain-lain. Sehinggakan rakyat Indonesia naik marah dan mahu mencari setiap rakyat Malaysia di Jakarta dan menghalau dengan buluh runcing. Bunuh? Mungkin?

Sebenarnya perkara ini merunsingkan hati setiap mukmin yang masih segar. Sedar akan nilai persaudaraan seIslam yang jauh... jauh ... jauh lebih bermakna dan lebih penting diutamakan dari ikatan kenegaraan dan kebudayaan sesama manusia.

"Sesungguhnya orang-orang beriman adalah bersaudara. Sebab itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan takutlah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat" (Al-Hujurat, 49: 10)

Sebenarnya isu ini dapat diselesaikan jika (dan hanya jika) setiap dari orang mukmin menjadikan mukmin yang lain sebagai saudara (ie. seperti adik-beradik, saudara sedarah sedaging etc.) mereka.

Mana mungkin saudara sanggup mencederakan saudara mereka sendiri. Kalau itu pun tidak sanggup, masakan sanggup untuk meleraikan ikatan ikatan yang telah tersimpul rapi dan kuat antara satu sama lain.

Isunya, bagi pandangan saya, bermula dari ukhuwah (ikatan hati) antara satu sama lain tidak kuat.

Kalau di Malaysia, kita mampu lihat akan kebenarannya (tidak perlu pergi jauh). Layanan kita kepada saudara seagama kita pun mungkin tidak sama. Pekerja-pekerja bangsa asing ini juga yang dikasari, dari segi fizikal ataupun spiritual. Orang Malaysia panggil bangsa lain (walaupun seakidah, seagama dengannya) dengan panggilan-panggilan yang tidak sedap didengari oleh orang itu sendiri.

"Indon! Bangla! Keling!"

Tidakkah mereka sedar yang barangkali orang yang mereka rasa tidak sama taraf dengan diri mereka sendiri. Padahal di sisi Allah, setiap mukmin adalah sama, kecuali takwa.

Maka, solusi terbaik adalah untuk kita merapatkan ukhuwah antara kita.

Malaysia dan Indonesia bukan sahaja disatukan oleh ikatan akidah, malah disatukan oleh ikatan bangsa, rumpun, dan bahasa yang sama. Asalnya orang Melayu. Dan orang Melayu, dari segi perlembagaan pun, adalah beragama Islam.

Tidak salah untuk mempunyai nilai kebudayaan yang sama, sebab orang Malaysia dan Indonesia datang dari rumpun yang sama. Asal yang sama. Malah sepatutnya nilai warisan kebudayaan yang sama inilah yang menyatu-padukan orang Melayu Islam, tanpa sempadan. Dan pada masa yang sama, kita saling menghormati.

Kita mampu melihat, khususnya di negara bukan Islam (contohnya di tempat saya, Adelaide, Australia) di mana ikatan ukhuwah antara orang Islam amat kuat sekali. Tambah-tambah lagi sesama orang Malaysia-Indonesia. Saling membantu dan melengkapi.

Oleh sebab itu, saya menyeru kepada bangsa serumpun saya, bersatulah atas dasar akidah kita yang serupa. Kerana Islam lah, kita hebat dan dipandang mulia oleh Allah SWT.

Insya Allah, kita mampu untuk bersatu.

Wassalam.