Saturday, May 30, 2009

Memaling diri dari orang bodoh

Ya Allah! Ampunilah kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui’ Amin! Amin! Amin! Ya Rahman! Ya Rahim! Ya Ghafur! Ya Rab bal A’lamin!.

Antara akhlak mulia Rasulullah saw adalah beliau tidak pernah marah kerana urusan peribadinya. Akhlak ini mewajibkan seorang daie supaya tidak emosi, sekiranya ia mendengar sindiran, tohmahan dan celaan terhadap dirinya, kerana ‘tipu helah kejahatan tidak akan menimpa kecuali ke atas pelakunya sendiri’ rujuk surah Fathir ayat 43. Bahkan Allah memberi jaminan akan melindungi para hambaNya yang soleh. ‘dan dia melindungi orang-orang yang soleh’ rujuk surah al A’raf ayat 196.

Jadi berpaling dari orang-orang yang jahil termasuk diantara salah satu makna kesolehan. Justeru itu seorang daie perlu menyedari bahawa cara menghadapi seteru dalam hal seperti ini tidaklah sekeras menghadapi musuh dalam medan pertempuran. Begitu juga dalam menghadapi musuh di medan perang tidak semestinya dengan cara menyerang saja, kadangkala dengan cara bersembunyi dan diam.

Ketika Abu Sufian berteriak dengan suaranya yang keras dan lantang terhadap kaum muslimin di perang Uhud; Apakah Muhammad masih ada di kalangan kamu? Apakah Abu Bakar masih hidup di kalangan kamu? Apakah Umar masih hidup di kalangan kamu? Tidak ada seorang yang menjawab, pada hal jawapan pada masa itu akan lebih membangkitan kemarahan Abu Sufian dari berdiam tanpa menjawab. Keadaan atau suasana ketika itu mengharuskan kaum muslimin untuk diam. Sikap berdiam ini di bolehkan ketika dalam medan peperangan, maka dalam kehidupan sehari-hari tentu adalah lebih utama lagi.

Wahai saudara-saudaraku yang dikasihi! Sesungguhnya kita adalah pendakwah, janganlah kita menjatuhkan darjat dakwah kita yang tinggi ke dalam lembah saling melemparkan ucapan-ucapan yang buruk. Allah swt tidak akan memaafkan kita apabila kita meninggalkan darjat kemuliaan yang telah dikurniakanNya kepada kita dengan alasan orang lain telah mengheret kita kepada kehinaan.

Ini kerana seorang mukmin tidak akan meninggalkan darjat keimanannya disebabkan oleh tipu rayu syaitan atau kejahilan orang-orang jahil. Kita mesti menggagalkan tujuan mereka dengan cara diam dan tidak menghiraukan hasutan mereka, disamping memandang mereka dengan rasa kasihan dan kasih sayang. Kita wajib berkata kepadanya ‘Ya Allah, ampunilah kami dan dia, tunjuklah kepada kami dan dia, janganlah Engkau menjadi kami marah kerana urusan peribadi dan janganlah Engkau jadikan sesuatu amal kami atas dasar hawa nafsu’

Mudah-mudahan dengan kita mengucapkan doa tersebut, hati kita akan dipenuhi oleh ketenangan dan ketenteraman, bahkan kita semakin merasakan nikmat dalam tugasan dakwah.


USTAZ Muhammad Bin Ismail
Blog 'Renungan'
http://ustmuhammad.wordpress.com/

Friday, May 29, 2009

Era Zionis Kian Berakhir

Gerakan Zionis adalah satu gerakan yang telah ditubuhkan di Eropah bagi memperjuangkan cita-cita dan nasib bangsa Yahudi yang berhadapan dengan pelbagai masalah di merata tempat dan negara terutamanya di Eropah. Gerakan ini adalah gerakan politik rasis yang menggunakan alasan agama dan semangat bangsa Yahudi yang menyeru untuk membina sebuah negara yang dikhususkan untuk orang Yahudi sahaja iaitu di Palestin. Kewujudan dan kemunculan gerakan ini sebenarnya telah disemarakkan lagi dengan permasalahan ideologi kebangsaan, kebangkitan golongan Protestan dan idea negara bangsa di Eropah terutamanya pada abad ke-19.

Tidak jauh perbezaan di antara kelompok penganut fahaman zionisma walaupun ada di kalangan mereka adalah dari golongan sekular, sosialis, athies mahupun golongan yang kuat beragama kerana hampir keseluruhan mereka memperjuangkan fahaman zionisma yang bertujuan untuk menguasai keseluruhan negara Palestin dan membina wilayah yang dikenali sebagai ‘Israel Raya’ di Asia Barat. Faktor kejayaan projek Zionis ini adalah bergantung kepada penindasan dan penjajahan yang mereka lakukan kepada rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Photobucket

Penganjuran Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis (KBAZ) oleh Aman Palestin dan PEMBINA semarakkan perjuangan membela Palestin di Malaysia.


Pencetus Penubuhan Negara Yahudi

Cadangan penubuhan negara khas untuk orang-orang Yahudi telah dibuat oleh seorang wartawan Hungari, Theodore Hertzl yang merupakan salah seorang pengasas gerakan Zionis di dalam gagasannya yang telah dibukukan di dalam Die Judem Stat (Negara Yahudi) pada 1896. Kewujudan Pertubuhan Yahudi Antarabangsa (WZO) melalui persidangannya yang pertama di Basle, Switzerland pada 27-29hb Ogos 1897 di bawah pimpinannya telah membuka era aktiviti politik Zionis, mengorak langkah kepada pembentukan negara Yahudi di Palestin.

Deklarasi Balfour

British yang merupakan sekutu kuat gerakan Zionis telah sentiasa menyebelahi mereka dengan mengisytiharkan Deklarasi Balfour pada 2hb November 1917 apabila kerajaan British telah memberikan sokongan dan jaminan bagi mewujudkan sebuah negara yang dikhususkan untuk bangsa Yahudi di Palestin. Selepas itu berlakulah penghijrahan beramai-ramai yang sistematik yang melibatkan ratusan ribu Yahudi Eropah dan Rusia ke Palestin. Sedikit demi sedikit tanah milik penduduk Palestin dirampas samada dengan cara kekerasan mahupun dengan cara penipuan oleh pendatang Yahudi.

Peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

Isu Palestin telah dibawa ke peringkat antarabangsa di atas tuntutan British yang meminta supaya PBB memasukkan isu tersebut ke dalam agendanya. Namun rentetan duka Palestin berpanjangan apabila sidang pleno PBB yang dipengaruhi Zionis telah mengeluarkan ‘Ketetapan 181’ yang malang pada 29hb November 1947 dengan membahagikan 2/3 tanah negara Palestin kepada pendatang haram Yahudi manakala bakinya yang kecil itu diberikan kepada rakyat Palestin yang sah.

Kelemahan Liga Negara Arab

Rakyat Palestin adalah di kalangan bangsa yang paling malang di dunia kerana mereka dilupakan oleh PBB, negara-negara Arab dan juga umat Islam sendiri. Ketika Zionis erat bekerjasama dengan British dan PBB demi mencapai cita-cita mereka, Liga Negara Arab pula gagal membantu perjuangan rakyat Palestin bagi mempertahankan hak-hak asasi mereka dalam mempertahankan kedaulatan Negara Palestin yang telah mereka diami sejak 4500 tahun lamanya. Dengan kekalahan yang mengaibkan tentera Arab di dalam peperangan ini dan diikuti dengan penaklukan 78 % bumi Palestin, Yahudi Zionis telah mengumumkan Negara “Israel” pada petang 14hb Mei 1948. British mengundurkan tentera dan pemerintahannya ke atas Palestin apabila Negara Israel yang merdeka diisytiharkan secara rasminya pada 15hb Mei 1948 dalam peristiwa yang dikenali sebagai Nakbah.

Photobucket

Detik-detik kekalahan rejim Zionis Israel semakin hampir.


NAKBAH Palestin

Kesan langsung dari Nakbah atau malapetaka 1948 ini ialah kekejaman pasukan tentera rejim Zionis yang telah bertindak mengusir lebih daripada 60 % rakyat Palestin (lebih kurang 800,000 orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar negara. Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin. Bahkan yang lebih perit lagi apabila nama Palestin telahpun lenyap dari peta dunia mulai tarikh tersebut.

Nakbah 1948 telah memusnahkan kehidupan rakyat Palestin yang telah hidup di Palestin sejak ribuan tahun lamanya. Adalah amat tidak adil apabila Zionis menjadikan Holocaust yang dilakukan oleh Nazi Jerman sebagai alasan untuk mereka membina rejim mereka di atas keperitan rakyat Palestin.

Jenayah ini disahkan lagi apabila PBB yang telah mengeluarkan lebih daripada 110 resolusi mereka supaya mengembalikan hak kira-kira 6.8 juta pelarian Palestin supaya dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka. Namun tiada satu pun daripada resolusi ini dilaksanakan oleh rejim Zionis.

61 Tahun Nakbah

Kini 61 tahun telah berlalunya Nakbah Palestin, namun rakyat dan negara Palestin terus diganyang rejim Zionis sehinggakan lebih daripada 90 % daripada tanah Palestin dikuasai Zionis, Masjid al-Aqsa yang diberkati terus dicabul kesuciannya, ribuan rakyat Palestin yang tak berdosa merengkok di dalam penjara Israel, ekonomi mereka disekat, jutaan di kalangan mereka menjadi pelarian dan tragedi demi tragedi dilakukan dengan penuh kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Penindasan, penodaan dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis ini terhadap rakyat dan negara Palestin telah berlarutan dalam tempoh yang amat panjang. Sudah tentulah ianya tidak harus dibiarkan begitu sahaja.

Entiti Zionis di Timur Tengah

Kewujudan entiti Zionis di tengah-tengah negara Arab dan dunia Islam itu didokongi dengan senjata-senjata pemusnah massa (WMD) termasuk lebih 200 bom nuklear dan kemampuan mereka mengumpulkan bala tentera lebih dari 700 ribu orang dalam masa 72 jam. Semua ini boleh diibaratkan sebagai bom jangkamasa yang boleh meledakkan keamanan dunia sejagat serta pencetus kepada Perang Dunia ke-3. Walau apa pun kelemahan negara-negara Arab dan dunia Islam kini, mereka akan tetap memiliki kekuatan dan kekuasaan. Umat Islam tidak akan berkompromi dengan penjajahan tanah negara-negara umat Islam atau menerima entiti Zionis yang terus berusaha untuk memecah-belahkan mereka. Mereka akan cuba bangkit menentang penjajahan tersebut serta menghapuskannya sebagaimana pernah berlaku kepada penjajahan-penjajahan sebelum ini.

Intifadah Palestin

Intifadah Palestin merujuk kepada kebangkitan rakyat Palestin dalam rangka menentang penindasan dan penjajahan yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas tanah dan penduduk asal penduduk negara tersebut.

Siri kebangkitan dan penentangan sebenarnya telah bermula seawal tahun 1920-an apabila British bertindak sebagai agen penjajahan Palestin oleh Yahudi Zionis. Siri penentangan telah dilakukan oleh rakyat Palestin yang telah dipimpin oleh tokoh-tokoh pejuang seumpama Sheikh Izzudin al-Qassam, Abdul Qadir al-Husaini, Mufti al-Haj Amin Husaini dan lain-lain lagi. Namun kekalahan demi kekalahan dialami oleh perjuangan rakyat Palestin di atas pelbagai sebab dan masalah-masalah yang tersendiri.

Intifadah yang terbesar yang dipanggil Intifadah Mubarakah berlaku pada 9hb Disember 1987. Ini adalah tarikh bermulanya Intifadah Palestin yang paling bermakna terhadap mereka semua samada di kalangan rakyat yang tinggal di Palestin mahupun di kalangan mereka yang terpaksa menjadi pelarian di negara-negara yang lain.

Photobucket

Pemimpin dan rakyat Palestin tidak akan sama sekali tunduk kepada ancaman dan serangan Zionis Israel.


Objektif Intifadah

Intifadah tersebut didokongi oleh ribuan rakyat Palestin yang bangkit untuk mengembalikan hak dan maruah mereka yang telah dirampas oleh rejim Zionis. Senjata tunggal yang digunakan mereka untuk menentang kecanggihan dan kekuatan rejim Zionis hanyalah dengan batu-batu di jalanan. Kanak-kanak, remaja dan pemuda bangkit dengan penuh keberanian untuk berhadapan dengan kereta-kereta kebal Israel. Intifadah telah menghilangkan rasa takut dan rendah diri di kalangan mereka malahan telah membawa perubahan baru yang sangat bermakna buat mereka semua.

Intifadah juga telah membangkitkan semangat dan memperkuatkan keyakinan mereka terhadap keadilan Allah dan kekuatan Islam, membuang rasa putus harapan dalam berhadapan dengan penjajahan musuh, menggoyah rasa ego Israel serta menggoncang psikologi mereka, menyekat kekuasaan ekonomi Israel dan mengurangkan penghijrahan Yahudi ke Palestin serta memantapkan identiti Islam di kalangan orang Palestin dan menyuntik semangat perjuangan di atas dasar yang mulia.

Kesan Intifadah Kepada Agenda Zionis

Rakyat Palestin terpaksa membayar dengar harga yang terlalu mahal dengan berlakunya Intifadah tetapi fasa yang berlalu juga turut digunakan untuk membersihkan masyarakat Palestin daripada penyakit-penyakit sosial yang turut menyerang masyarakat mereka. Semakin ramai di kalangan masyarakat awam menginsafi situasi sebenar yang menimpa mereka dan kini gigih bekerja demi survival umat serta kedaulatan bumi Palestin.

Intifadah juga turut membuka tembelang Israel di pentas dunia apabila mereka selama ini sentiasa mencanang dakwaan bahawa Israel adalah oasis demokrasi di timur tengah. Dunia antarabangsa dipersembahkan dengan sikap sebenar kuasa kolonial Israel yang dibina di atas penindasan dan kezaliman yang tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin. Isu Palestin yang pernah sejuk buat seketika dulu kembali hangat diketengahkan di dalam forum politik global.

Orang-orang Palestin turut mengambil kesempatan demi menyusun kembali perekonomian mereka dalam menghadapi perjuangan yang berpanjangan. Produk Israel yang membanjiri pasaran mereka telah diboikot dan digantikan dengan produk alternatif mereka yang turut membina peluang-peluang pekerjaan yang baru. Secara umumnya, ekonomi Israel juga goyah dengan Intifadah yang berpanjangan. Lebih 4000 supermarket mereka telah ditutup. Kadar kedatangan dan aktiviti pelancongan di Israel turut merudum kesan dari kebangkitan generasi muda Palestin. Mereka mengalami kerugian yang melebih 20 billion USD dalam tempoh beberapa tahun pertama sahaja.

Buat kali pertamanya, Israel merasakan bahawa mereka telah hilang rasa keselamatan dan semakin ramai daripada pendatang Yahudi membawa diri mereka kembali ke negara asal mereka di Rusia, Poland, Amerika Syarikat dan lain-lain. Sebagai contohnya, di antara tahun 1989-2000 sahaja, lebih sejuta Yahudi Rusia telah berhijrah ke Palestin. Namun kesan dari Intifadah, kadar penghijrahan berkurangan dan lebih daripada 700 ribu orang Yahudi telah melarikan diri dari Palestin. Berita ini tidak diumumkan di media antarabangsa kerana ianya hanya akan menjatuhkan maruah mereka.

Pemerkasaan Intifadah

Kalau 22 tahun dahulunya HAMAS hanya berbekalkan sokongan pemuda dan remaja yang melontarkan batu, namun kini mereka mempunyai briged ketenteraan yang mampu melancarkan roket sejauh 50 km. Kalau dahulunya mereka hanya menggunakan kamera usang, namun kini mereka punyai stesen televisyen yang berpusat di Amman, Beirut dan London. Kalau dahulunya mereka hanya punyai pusat tukaran wang, namun kini mereka mampu melancarkan bank nasional walaupun di bawah runtuhan bangunan akibat serangan terbaru. Bahkan media perdana barat kini mengakui peningkatan sokongan masyarakat Palestin yang semakin mantap dan tidak berbelah bagi kepada kepimpinan mereka yang dibarisi oleh golongan pemimpin yang kental lagi kukuh kepimpinannya.

Photobucket

Umat Islam di seluruh dunia kian sedar dan prihatin dengan tanggungjawab untuk membantu rakyat Palestin.


Era Zionis Kian Berakhir

Perkembangan mutaakhir memperlihatkan kepada dunia luar tentang senario yang sangat merisaukan rejim Zionis yang kini merasakan bahawa agendanya kini hampir sampai ke penghujungnya. Di antara faktor yang dominan adalah:

1. Penentangan dan kebangkitan yang berterusan di kalangan rakyat Palestin.
2. Kebangkitan dan sokongan kepada Hamas secara massa serta kecenderungan kepada kelompok Islam yang bertegas untuk tidak mengiktiraf negara Israel.
3. Peningkatan kesedaran di kalangan umat Islam dan dunia antarabangsa tentang bahayanya agenda Zionis serta meningkatnya sokongan kepada Palestin.
4. Berkurangnya bilangan penghijrahan beramai-ramai Yahudi ke Palestin.
5. Generasi muda Israel tidak lagi menunjukkan minat untuk menyokong apatah lagi berjuang demi agenda politik Zionis.
6. Pertambahan jumlah rakyat Palestin yang tinggal di tanah jajahan Palestin 1948.
7. Kegagalan Zionis untuk melemahkan semangat juang rakyat Palestin walaupun mereka telah mencuba dengan pelbagai cara yang kejam dan tidak berperikemanusiaan termasuklah dalam peristiwa yang terkini di Gaza pada awal Januari 2009 yang lalu.

Negara regim Zionis ini juga tidak akan aman dengan permasalahan dalamannya yang semakin memuncak. Apatah lagi dengan suasana sekelilingnya yang sentiasa hangat dengan pertembungan di antara kelompok yang hak dengan kelompok yang batil. Keganasan dan kekejaman rejim yang luar biasa ini menunjukkan tanda jelas isyarat panik lagi terdesak mereka. Agenda Zionis kian berakhir.

Peranan Masyarakat Antarabangsa

Fakta-fakta sejarah, kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa sebenarnya amat memihak kepada rakyat Palestin yang berhak memiliki ketuanan dan kedaulatan di bumi mereka sediri. Masyarakat dan dunia antarabangsa harus sentiasa memperjuangkan keadilan dan teguh dalam membuat pendirian serta tidak dipengaruhi oleh lobi Zionis di dalam membuat dan melaksanakan keputusan-keputusan mereka.

Peranan Umat Islam

Bagi umat Islam, Palestin adalah tanah yang mulia untuk seluruh umat Islam kerana di situlah letaknya Masjid Al-Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat, tempat berlakunya peristiwa Isra dan Mi’raj, Tanah Suci umat Islam yang ketiga yang juga merupakan bumi para Nabi. Isu Palestin bukanlah sekadar isu orang-orang Palestin atau orang-orang Arab sahaja bahkan ianya adalah isu umat sejagat. Umat Islam di seluruh dunia harus bersatu bagi memperjuangkan isu ini yang merupakan isu induk umat di abad ini. Perselisihan dan perbezaan mesti diketepikan demi menjayakan misi agung dalam menyelesaikan permasalahan ini.

Photobucket

Bantuan dan sokongan umat Islam termasuk rakyat Malaysia sangat-sangat diharapkan untuk meringankan kepayahan penduduk Palestin.


Sokongan dan Sumbangan dari Malaysia

Isu Palestin dan bahayanya agenda Zionis semakin mendapat tempat di sanubari rakyat Malaysia. Namun kefahaman mengenai isu ini masih perlu diperkasakan lagi melalui penulisan di akhbar dan majalah, ceramah dan pameran serta di media perdana dan alternatif. Sumbangan kemanusiaan, suara di Parlimen serta medan politik antarabangsa pula mesti dipertingkatkan lagi bagi membantu rakyat Palestin yang telah sekian lama tertindas. Tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa Malaysia seharusnya menjuarai isu sejagat ini, bukan sahaja di kalangan masyarakat tempatan bahkan di persada antarabangsa.

Persoalannya, apakah yang telah dan akan kita lakukan bagi mempastikan berkuburnya agenda Zionis ini?


Prof Madya Dr Zainur Rashid Bin Zainuddin,
Naib YDP ISMA Cawangan Seremban.
Sumber: Blog ISMA Negeri Sembilan


Rujukan:

* Azzam Tamimi. The End of Zionist Agenda. KBAZ PWTC, Kuala Lumpur 2009.
* Francis A. Boyle. Palestine, Palestinians and International Law. Crescent News, Kuala Lumpur 2007.
* Harun Yahya. Palestine – Zionisme and Israel Terorisme. Islamic Book Service, Delhi 2003.
* Mohsen Saleh. History of Palestine. A Methodical Study of the Palestinian Struggle. Al Falah Foundation, Cairo 2005.
* Mohsen Saleh. Revival of Islam in Palestine and Facing the Zionist Agenda. KBAZ PWTC, Kuala Lumpur 2009.
* Tareq M. Suwaidan. Palestine – Yesterday, today and tomorrow. Ebbad Co., Kuwait 2006.
* Yusuf Al Qardawi. Baitul Maqdis – Tanggungjawab setiap Muslim. Pustaka Syuhada, KL 1999.

Thursday, May 28, 2009

10 Wasiat Hassan Al Banna

1. Apabila mendengar azan maka bangunlah bersolat serta merta walau apa jua keadaan sekalipun.

2. Bacalah al-quran atau tatapilah ilmu atau pergilah mendengar perkara yang baik atau berzikir.jangan sama sekali membuang masa dalam perkara yang sia-sia.

3. Berusahalah sedaya upaya bertutur dalam bahasa arab fushah kerana ianya salah satu syiar islam.

4. Janganlah banyak berdebat dalam apa perkara sekalipun kerana pertengkaran kosong tidak mendatangkan sebarang kebaikan.

5. Janganlah bergurau kerana umat yang berjihad sentiasa bersungguh- sungguh dan serius dalam setiap perkara.

6. Jangan banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah adalah sentiasa tenang lagi tenteram.

7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada yang dikehendaki oleh pendengar kerana ia menjemukan dan boleh menyakiti pendengaran

8. Jauhi daripada mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan- pertubuhan dan jangan bercakap melainkan perkara yang mendatangkan kebaikan.

9. Berkenalanlah dengan setiap rakan yang ditemui sekalipun tidak diminta berbuat demikian kerana asas dakwah ialah berkasih sayang dan berkenalan.

10. Kewajipan lebih banyak dari waktu, oleh itu bantulah rakan untuk memanfaatkan waktu dan jika berurusan maka singkatkanlah masa perlaksanaannya.

Tuesday, May 26, 2009

Saturday, May 23, 2009

“PM” angkat sumpah depan Presiden-tamat-tempoh

Abbas dpn Fayyadh

“Perdana Menteri” dan “Menteri-menteri Kabinet” mengangkat sumpah di hadapan “Presiden” yang dah tamat tempoh kuasanya. Begitulah yang berlaku semalam di Tebing Barat, Palestin. Hasbunallah wa nikmal Wakeel (Cukuplah Allah pada kami. Dialah sebaik-baik tempat mengadu).Tempoh kuasa presiden bagi Mahmud Abbas (Gerakan FATAH) telah tamat 8 Januari 2009 lalu (lebih dari 4 bulan lalu). Sepatutnya pilihanraya memilih presiden telah lama berjalan akan tetapi oleh kerana populariti FATAH nyata rendah seperti yang ditunjukkan dalam keputusan Pilihanraya Umum Palestin 25.1.2006 (hanya 27% berbanding Gerakan HAMAS 65%), maka FATAH bekerjasama dengan Amerika dan Israel melancarkan Perang Gaza bermula 27.12.2008 iaitu 2 minggu temat tempoh Presiden, agar presiden yanag baru nanti dinaikkan melalui peperangan dan kehancuran HAMAS dan bukannya melalui Pilihanraya. Sampai berita bahawa apabilan Perang Gaza bermula, beberapa pimpinan FATAH telahpun berada di Mesir sebagai persediaan untuk ditabal menjadi Kabinet Baru di Gaza, sekiranya Gaza jatuh ke tangan Israel. Sangkaan dan harapan mereka meleset kerana setelah 22 hari Perang Gaza, HAMAS dan umat Palestin masih utuh dengan pilihan mereka untuk hidup merdeka.

Abbas dan Fayyadh 2

Semalam, tanpa mengendahkan tempoh jawatan Presiden telah tamat 4 bulan lalu, sidang damai dan perpaduan diantara HAMAS dengan FATAH yang sedang berjalan di Kaherah, Parlimen Palestin yang masih dalam tempoh sahlaku (baru berlalu 3 tahun dan baki 1 tahun), HAMAS yang telah menang sepatutnya mentadbir kesemua dua wilayah Palestin, iaitu Gaza dan Tebing Barat, akan tetapi Mahmud Abbas membentuk pula kabinet baru di Tebing Barat mengikut seleranya sendiri.

Faruq Al-Qadumy

Faruq Al-Qadumy, Ketua Biro Politik PLO, menyelar mainan sia-sia Mahmud Abbas. PLO dikuasai Gerakan FATAH sejak mula ia ditubuhkan pada tahun 1964. Kutua Umum FATAH hari ini ialah Mahmus Abbas sendiri.

Seorang pimpinan FATAH, Faruq Al-Qaddumy yang juga Ketua Biro Politik, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang beribu pejabat di Tunis sejak tahun 1982, mengkritik hebat tindakan yang diambil Mahmud Abbas. Beliau menyifatkan apa yang berlaku sebagai mengenepikan pandangan ahli-ahli Parlimen FATAH dan asas-asas demokrasi, bahkan menyelar Mahmud Abbas dan menuduhnya melakukan perkara yang sia-sia, diktator dan cuba memaksakan pendangan sendiri ke atas orang lain. Ia juga sekadar sebuah kerajaan tempatan yang digunakan oleh Barat yang menaja dengan wang kepada Palestin untuk menjauhkan masyarakat dari pimpinan mereka agar mudah diperkotak katikkan oleh General Keith Dayton, Penyelaras Amerika dalam “Biro Hal Ehwal Keselamatan Palestin”.

Tidak pelik, kerana pada ramai pimpinan Arab dan Islam zaman kini, pengiktirafan yang lebih penting adalah datangnya dari Amerika, Eropah dan Kuasa-kuasa Besar, dan bukannya dari rang undang-undang yang digubal oleh rakyat dan masyarakat Islam. “Perdana Menteri” Salem Fayyadh dan Kabinet Baru ini sudah pasti diiktiraf oleh Barack Obama, peneraju “D.e.m.o.k.r.a.s.i” dan Kuasa-kuasa Besar Dunia. Persoalannya adakah Negara-negara Umat Islam akan mengikut jejak langkah Amerika dan Barat kerana takut dan mengikut telunjuk, atau tidak mengiktiraf kepresidenan Mahmud Abbas dan kabinet haram Salem Fayyadh ? Ini akan dinilai oleh umat Islam dalam beberapa bulan dan tahun kedepan ini.

Moga melalui perjuangan umat Islam yang gigih, Allah swt menganugerahkan kita kebebasan, keadilan, kesejahteraan dan keagungan dalam hidup di dunia ini. Ameen.

Ustaz Halim INIJALANKU www.inijalanku.wordpress.com