Saturday, January 03, 2009

Gaza & Sambutan Tahun Baru 2009 (dari laman Al Qassam III)


Saya ingin menyatakan kekecewaan yang teramat sangat terhadap penyambut-penyambut tahun baru 2009 dari kalangan rakyat Malaysia yang beragama Islam. Sedih, terutama dalam keadaan saudara-saudari Muslim kita di Gaza yang sedang dizalimi, dibelasah, disembelih, dan dihancurkan negara mereka seteruknya dalam massacre rakyat tidak berdosa dan pertempuran dahsyat yang tidak seimbang, paling teruk yang belum pernah disaksikan sejarah.

Tiba-tiba, jauh di sudut timur dunia, terdapat segolongan manusia yang mengaku bersaudara dengan mangsa pembunuhan ini sedang bersoronok merayakan hari kebesaran penyokong & penyumbang terbesar musuh yang sedang melakukan aksi barbarik paling jijik dalam sejarah kemanusiaan. Format dan metod sambutannya juga tiada beza sebagaimana ia disambut oleh mereka di negeri-negeri mereka yang mengkufuri Allah. Apalah gunalah gunanya kenyataan-kenyataan simpati dan bantahan. Apalah gunanya kesukarelaan menyebarkan sms-sms memohon sumbangan. Apalah gunanya qunut nazilah. Namun, bila tibanya peluang untuk menzahirkan keikhlasan, yang tersingkap hanyalah hipokrisi.

Banyak seruan dari pelbagai pihak telah dilontarkan kepada penganjur-penganjur dan rakyat Malaysia khususnya agar membatalkan sebarang bentuk sambutan tahun baru untuk mempamerkan solidarity Malaysia dengan Gaza yang sedang dizalimi, sebagaimana Malaysia membatalkan sambutannya pada 2005 ketika Acheh dilanda tsunami.

Namun, sambutan tahun baru 2009 yang terus dianjurkan serata Malaysia, terutama yang dianjur dan disertai pemerintah Malaysia, malah mencatat kehadiran yang amat besar, jelas menunjukkan tiadanya kesatuan hati diantara kebanyakan rakyat Malaysia dan Palestin. Yang ada mungkin hanyalah rasa "kesian" (kasihan?), yang akan hilang sekelip mata bila dihidangkan dengan wayang, nyanyian, bolasepak dan bunga api. Tiadanya rasa kesatuan aqidah, kesatuan kiblat, bahkan kesamaan hak asasi, lalu mendorong kita mengendahkan mereka di Gaza. Mungkin kerana faktor jarak, yang mana ketika matahari terbit di sini, bulan masih belum surut di sana. Atau faktor rumpun bangsa, yang mana orang di sini lebih coklat kulitnya dari orang di sana.

Apapun perbezaannya.. di dalam Islam, Allah SWT berpesan bahawa "Orang-orang beriman itu bersaudara.." [maksud 49:10], Nabi S.A.W. juga mengingatkan bahawa "tidak beriman seseorang sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya"

Jadi, orang-orang yang akan bersatu hati dengan Gaza, yang akan mendoakan Gaza, yang akan menangis kerana Gaza, yang akan menyumbang kepada Gaza, yang akan benci Zionis dan penyokong-penyokongnya.. hanyalah orang-orang yang beriman.

Wahai negaraku Malaysia, berimanlah..



No comments: