Saturday, May 30, 2009

Memaling diri dari orang bodoh

Ya Allah! Ampunilah kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui’ Amin! Amin! Amin! Ya Rahman! Ya Rahim! Ya Ghafur! Ya Rab bal A’lamin!.

Antara akhlak mulia Rasulullah saw adalah beliau tidak pernah marah kerana urusan peribadinya. Akhlak ini mewajibkan seorang daie supaya tidak emosi, sekiranya ia mendengar sindiran, tohmahan dan celaan terhadap dirinya, kerana ‘tipu helah kejahatan tidak akan menimpa kecuali ke atas pelakunya sendiri’ rujuk surah Fathir ayat 43. Bahkan Allah memberi jaminan akan melindungi para hambaNya yang soleh. ‘dan dia melindungi orang-orang yang soleh’ rujuk surah al A’raf ayat 196.

Jadi berpaling dari orang-orang yang jahil termasuk diantara salah satu makna kesolehan. Justeru itu seorang daie perlu menyedari bahawa cara menghadapi seteru dalam hal seperti ini tidaklah sekeras menghadapi musuh dalam medan pertempuran. Begitu juga dalam menghadapi musuh di medan perang tidak semestinya dengan cara menyerang saja, kadangkala dengan cara bersembunyi dan diam.

Ketika Abu Sufian berteriak dengan suaranya yang keras dan lantang terhadap kaum muslimin di perang Uhud; Apakah Muhammad masih ada di kalangan kamu? Apakah Abu Bakar masih hidup di kalangan kamu? Apakah Umar masih hidup di kalangan kamu? Tidak ada seorang yang menjawab, pada hal jawapan pada masa itu akan lebih membangkitan kemarahan Abu Sufian dari berdiam tanpa menjawab. Keadaan atau suasana ketika itu mengharuskan kaum muslimin untuk diam. Sikap berdiam ini di bolehkan ketika dalam medan peperangan, maka dalam kehidupan sehari-hari tentu adalah lebih utama lagi.

Wahai saudara-saudaraku yang dikasihi! Sesungguhnya kita adalah pendakwah, janganlah kita menjatuhkan darjat dakwah kita yang tinggi ke dalam lembah saling melemparkan ucapan-ucapan yang buruk. Allah swt tidak akan memaafkan kita apabila kita meninggalkan darjat kemuliaan yang telah dikurniakanNya kepada kita dengan alasan orang lain telah mengheret kita kepada kehinaan.

Ini kerana seorang mukmin tidak akan meninggalkan darjat keimanannya disebabkan oleh tipu rayu syaitan atau kejahilan orang-orang jahil. Kita mesti menggagalkan tujuan mereka dengan cara diam dan tidak menghiraukan hasutan mereka, disamping memandang mereka dengan rasa kasihan dan kasih sayang. Kita wajib berkata kepadanya ‘Ya Allah, ampunilah kami dan dia, tunjuklah kepada kami dan dia, janganlah Engkau menjadi kami marah kerana urusan peribadi dan janganlah Engkau jadikan sesuatu amal kami atas dasar hawa nafsu’

Mudah-mudahan dengan kita mengucapkan doa tersebut, hati kita akan dipenuhi oleh ketenangan dan ketenteraman, bahkan kita semakin merasakan nikmat dalam tugasan dakwah.


USTAZ Muhammad Bin Ismail
Blog 'Renungan'
http://ustmuhammad.wordpress.com/

2 comments:

Nurdiyana said...

salam..
abg ke glenelg ke?

aie144 said...

tak la..dah lama dah tu.. 2 tahun lps..