Sunday, March 21, 2010

Ingat Mati vs Wahn

Terkadang kita leka dan lalai dengan urusan semasa duniawi sehingga kita alpa, namun begitu mengingati kematian yang semakin hampir berikutan usia kita semakin bertambah menjadikan diri kita untuk merenung kembali serta bermuhasabah diri ke mana arah tujuan hidup ini dan apa yang kita dambakan sepanjang kehidupan di dunia ini.

Biasanya, bila kita bermuhasabah mungkin soalan-soalan seperti ini akan berlegar di minda;

Adakah Allah menerima setiap amalan kita di dunia?

Apakah sumbangan yang sudah kita beri pada Islam?

Sudahkah kita bersedia menjawab semua soalan yang akan diajukan pada kita oleh malaikat nanti?

Apa yang kita akan tinggalkan pada keluarga dan masyarakat kelak?

Aah… mungkin anda ada jawapannya

Teringat sedutan kisah seorang hamba Allah disyaki melakukan jenayah berat dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Dia hanya ada beberapa bulan sahaja untuk hidup dari tarikh yang telah ditetapkan. Lalu dia bertaubat dengan taubat nasuha.

Begitu juga dengan kisah seorang doktor dan pesakitnya. Katakan pesakit ini menghidapi penyakit yang agak kritikal dan doktor mengesahkan pesakit ini hanya dapat bertahan dalam masa beberapa bulan sahaja. Jadi dengan waktu yang masih ada ini dia teruskan kehidupannya yang berbaki dengan meletakkan sepenuh keyakinan, pengharapan serta pergantungannya pada Allah. Teringat ana akan syair Arab ini:

Makanya, bila ana melihat di sini, persamaan situasi di atas adalah dia tahu bila ajalnya walaupun masih dalam perkiraan dan perhitungan Allah tetapi terdetik pada hati ini bahawa bertuahnya hamba Allah ini menghabiskan sisa terakhir hidupnya dengan beribadah kepada Allah semahu-mahunya. Mungkin kita boleh jadi sepertinya dan cuba kita letakkan diri kita seperti keadaan dirinya. Boleh jadi ajal kita esok, lusa atau saat ini dan ketika itu kita akan bersungguh-sungguh melakukan ibadah dengan sebenar-benarnya sehinggakan kita mungkin boleh lupa akan kenikmatan dan kemewahan dunia yang terlalu menjerat kita. Teringat akan firman Allah swt:

“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal) sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh”. (Surah An-nisa’: 78)

Selalu kita mendengar kisah para sahabat serta salafussoleh terdahulu, bagaimana pengorbanan mereka dalam menegakkan agama Allah. Di akhir kehidupan mereka hanyalah mengimpikan mati syahid. Mungkin kita juga punya cita-cita sebegitu, inginkan pengakhiran yang baik (husnul khatimah) bila bertemu dengan Allah kelak. Namun begitu, pengakhiran yang baik ini perlukan perjuangan dan pengorbanan untuk kita persembahkan sesuatu yang terbaik di sisi Allah sepertimana kisah Habil dan Qabil (Surah Al-Maidah, 27-31). Firman Allah dalam Surah At-Taubah:

“Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh, sebagai janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Quran dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan demikian itulah kemenangan yang agung.”

Walaupun begitu, pernahkah kita terfikir setiap pengorbanan ini ada halangan, mehnah dan tribulasinya. Suka ana nak berkongsi mengenai penyakit wahn yang pernah disebut nabi dalam hadisnya seperti di bawah;

“Daripada Tsauban ra berkata; Rasulullah bersabda hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka. Maka salah seorang sahabat bertanya apakah dari kerana sedikit pada hari itu. Nabi saw menjawab: bahkan kamu pada hari itu banyak sekali tetapi kamu umpama buih dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan. Seorang sahabat bertanya, apakah wahan itu hai Rasulullah? Nabi menjawab, cinta pada dunia dan takutkan mati.”

Sedar tak sedar penyakit ini menular dalam diri kita. Percayakah kita penyakit wahn ada pada kita sedari kecil lagi. Mungkin kita tidak perasan, tapi inilah perancangan Yahudi sebagaimana analogi seorang guru meminta penyelesaian tepat dari anak muridnya, bayangkan sebuah buku diletakkan di tengah-tengah sebidang karpet, jadi bagaimana caranya untuk kita mendapatkan buku tersebut. Makanya, jalan terbaik adalah dengan cara menggulungnya sedikit demi sedikit. Begitulah dakyah mereka terhadap umat Islam. Melalui ‘ghuzwatul fikr’ mereka berjaya membuatkan umat Islam ketinggalan begitu jauh dari agama lain sama ada di bidang rohani, intelektual dan material. Disebutkan dalam buku ‘syubhah haulah islam’, antara sebab kenapa umat Islam terdahulu dan sekarang berbeza adalah hilangnya tarbawi Islam itu sendiri, cengkaman kuat dari musuh-musuh Islam, umat Islam yang melampaui batas dan tidak meletakkan keimanan sebagai asas tunjang utama.

Untuk akhirnya, suka ana nak mengajak sahabat semua untuk kita sama-sama fikirkan kematian sepertimana Saidatina Aisyah katakan ia sebagai satu nasihat serta peringatan terbaik untuk diri kita. Sama-sama juga kita letakkan dunia pada tempatnya dan cuba untuk tinggalkan penyakit wahn. Jadikanlah dunia ini bagaikan kita berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas seketika berehat untuk hilangkan penat maka beredarlah meninggalkan pohon tersebut dan meneruskan perjalanan. Walaupun begitu jangan kita abaikan dunia kerana dunia inilah ladang akhirat. Kecemerlangan dunia sebenarnya adalah bayangan kecemerlangan akhirat.

Nabi saw bersabda; berusahalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan berusahalah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari.

Sahabat seperjuangan, Islam perlukan rijal-rijal sejati yang kuat dari segi rohani serta jasmani. Tanamkanlah rasa takut kita pada Allah di samping kita genggam hati-hati ini di sepertiga malam dengan sepenuh ikhlasnya. Hadirkan dalam diri ini rasa kasih, cinta dan sayang semata-mata untuk Allah. Sama-sama juga kita alirkan roh jihad di segenap ruang jiwa kita dan sentiasalah kita berhati-hati dengan musuh Islam yang penuh dengan dendam mereka pada kita. Kalau di Palestin, kita melihat kanak-kanak kecil berani lontarkan batu pada musuh Islam, kenapa tidak kita lontarkan dakwah dan ilmu di tempat kita. Sebarkanlah serta bekerjalah untuk Islam. Ayuh dan bangkitlah wahai pemuda Islam untuk sama-sama kita berusaha tegakkan Islam kembali dengan cara yang terbaik. Moga-moga kita dapat membawa satu perubahan baru ISLAM di persada dunia yakni Islam yang lebih humanis, progresif dan global.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir Cawangan Mansurah

No comments: