Saturday, June 11, 2011

Antara Dua Mus'ab

“Mus’ab, oit..! Bangun la! Dah pukul 7.45 pagi ni. Kau tak nak pergi kelas seminar ke pagi ni?,” kata Manap kepada sahabat serumahnya Mus’ab. “Aku tak larat la.. Semalam aku stay up sampai pukul 2 pagi. Study… Lepas tu ada la aku main game sikit, tengok series sikit.. Release tension!” jawab Mus’ab. “Wei, hari ni seminar tajuk penting, pasal jaundice.. Rugi kalau kau tak pergi,” sampuk Aidil rakan serumah mereka. “Ala, takpe.. Dr Win Soe aje pun.. Nanti aku ambil la slides dari presenter hari ini,” jawab Mus’ab lagi. Lalu selimut tebal ditarik dan, sunyi sepi keadaan di bilik itu. Manap menggeleng-geleng kepalanya melihat gelagat teman serumahnya itu. Memang, ditambah dengan hari yang gelap serta hujan gerimis di luar rumah, memang bertambah-tambahlah susah untuk keluar dari selimut pagi itu.

Mus’ab dan rakan-rakannya merupakan pelajar di sebuah kolej perubatan di negeri Perak. Memang menjadi satu norma kehidupan di sini di mana pelajar perubatan stay up hingga ke malam – untuk studi subjek perubatan mereka. Medicine, surgery, orthopaedic, paediatrics, psychiatry.. “Ah, memang memeningkan kepala bila memikirkan betapa banyak ilmu yang perlu diisi dalam kepala ini! Kalau kau tak studi kuat, mana la kau nak jadi doktor” kata hati Mus’ab. Memang diakui Mus’ab adalah seorang pintar. Lahir di dalam keluarga yang berada, di mana kedua-dua ibu bapanya merupakan doktor pakar di sebuah pusat perubatan terkemuka di Kuala Lumpur, dan dengan keputusan akademik yang senantiasa cemerlang sejak dari UPSR lagi, Mus’ab sememangnya layak berada di mana dia berada sekarang. Pelajar perubatan tahun 3, tinggal lagi beberapa ketika sebelum segulung ijazah MBBS digenggam dalam genggamannya.

Mus’ab kembali melabuhkan tirai mimpinya. Sejuk dan nyaman sekali.

********************

Mus’ab bersama-sama dengan Muslimin lain dalam perjalanan mereka meuju ke Habsyah. Bersama-sama dengan Jaafar bin Abi Talib serta sahabat-sahabat yang lain, mereka berjalan berhati-hati agar pihak Quraisy tidak mengetahui tentang penghijrahan mereka, untuk menyelamatkan akidah dan iman mereka. Dari apa yang mereka dengar, raja Najasyi, pemerintah di Habsyah adalah seorang pemerintah Nasrani yang adil. Dan di situ, mereka mampu menyelamatkan akidah dan nyawa mereka dari kejahatan bani Quraisy.

Teringat kembali akan saat Mus’ab memeluk Islam. Ya, sungguh indah dan damai dirasakan dalam hatinya tatkala beliau melafazkan syahadah di dalam rumah Arqam bin Abi Al Arqam, di hadapan Rasulullah SAW. Keislaman yang diterimanya itu merupakan suatu nikmat yang menyuci, meluhur, dan memberkati kualiti hidupnya. Dilahirkan di tengah-tengah keluarga yang kaya raya, Mus’ab bin Umair tidak pernah lekang dari nikmat kekayaannya - baju terbaik di antara remaja-remaja dalam masyarakatnya, memakai bau-bauan yang mahal harganya, sehingga beliau menjadi jejaka siulan para gadis di sekitar Mekah. Namun, nikmat Islam yang meresap ke dirinya ini lain… Lain dari yang lain…

Tetapi dengan nikmat ini beliau dihumban keluar oleh bangsanya sendiri. Yang paling ditakutinya adalah tatkala beliau perlu berhadapan dengan ibunya sendiri, iaitu Khunnas binti Malik. Segala cabaran yang mendatang dari orang lain, beliau yakin beliau mampu menghadapinya tatkala hatinya terbuka untuk Islam. Tetapi dengan ibunya… Ibunya yang melahirkannya, menyusuinya, membesarkannya, menenangkannya ketika beliau menangis diganggu oleh anak-anak nakal Quraisy, dan menatangnya seperti minyak yang penuh dengan memberikan segala harta kekayaan untuk anak kesayangannya itu. Ya, ibunya seorang figur yang sangat berpengaruh, bukan sahaja dalam kehidupan Mus’ab, tetapi di kalangan pemimpin Quraisy sendiri.

Mus’ab telah mencuba beberapa kali untuk menerangkan tentang Islam kepada ibunya. Dan telah beberapa siri itu jugalah beliau terpaksa berhadapan dengan keengganan ibunya untuk memeluk Islam. Pintu hati ibunya tidak Allah buka untuk menerima Islam. Pernah ibunya mengikatnya, supaya beliau tidak bertemu dengan Rasulullah. Pernah juga ibunya mogok lapar. Tak mahu makan. Supaya anaknya kasihani dirinya lalu meninggalkan Islam.
“Ibu, aku ingin menasihatmu dengan ikhlas, tulus dari hatiku. Aku amat bimbang akan dirimu. Maka ucapkanlah dua kalimah syahadah, ya ibu,” pujuk Mus’ab. Namun rayuannya tidak diendahkan, malah diherdik kasar oleh ibunya. “ Aku bersumpah demi bintang di langit, aku tidak akan masuk Islam walaupun pendapatku sudah lagi tidak betul dan mindaku sudah tidak lagi waras!”Dengan nada sedih, Mus’ab berkata “Maka ketahuilah ibu, sekiranya ibu diberi 100 nyawapun, dan satu-satu nyawa ibu melayang, aku tidak akan meninggalkan agama Islam yang aku anuti ini, ibu.”

“Sesiapa yang diberi hidayah oleh Allah maka tidak seorangpun yang boleh menyesatkannya. Sebaliknya, siapa yang disesatkan oleh Allah maka tidak seorangpun yang boleh memberinya petunjuk.”
(HR. Ahmad, Abu Dawud, at Tirmidzi dan lainnya)


********************

“Mus’ab, ibu tahu kau adalah seorang anak yang pintar, tetapi kau tak sepatutnya hanya merasa cukup dengan kepintaranmu ini. Kau kena jadi medical student yang outstanding!”. “Kenapa pula ibu kata macam tu? Kan Mus’ab pass semua exam Mus’ab sebelum ni”.

“Ibu tahu. Tapi kalau kau tengok sekarang, berlambak-lambak medical students dihasilkan tiap-tiap tahun. Di Malaysia saje dah ada 30 lebih medical schools. Belum ditambah lagi dengan graduan overseas, dari Australia, UK, Indonesia, India, Rusia, Mesir dan lain-lain. Mesir aje satu batch dah dekat dalam lima ratus ke seribu lebih. Boleh jadi satu masa nanti, medical graduates takkan dapat kerja di Malaysia!”. Mus’ab tergamam. “Yeke ibu? Isk, takut la Mus dengar.” “Sebab tu, kau harus ada add-on value pada diri kau selain jadi medical student ni. Mak tak tau la apa yang kau boleh buat, contohnya kau boleh terlibat dalam persatuan-persatuan, macam yang buat kerja amal, masuk hutan dan merawat orang Asli, ataupun persatuan yang boleh menambahkan kesedaran kau tentang Islam. Semua tu boleh memberi add-on value kepada diri kau.” “Macam mana persatuan Islamik tu mampu memberi add-on value? Mus taknak la jadi ustaz. Jadi doktor nak la.” “Mus, masyarakat kita kat luar tu banyak sangat masalah. Mus pun sendiri tahu, especially bila Mus pergi hospital kan? Dengan buang anaknya, gejala zinanya, gangsterism nya, dan bermacam-macam lagi. So, kalau kita ada kesedaran tentang agama kita, kita akan yakin bahawa mereka ini perlu kita sama-sama bantu dan selamatkan. Dari situ kita belajar bagaimana nak bersama-sama dan masuk dengan masyarakat. Doktor penting ada skill-skill tersebut tau!” “Mak dulu ada ke join persatuan-persatuan Islam?” “Ada, itu yang mak banyak belajar tentang erti kehidupan kita sebagai orang Islam. Sebagai orang Islam yang faham dengan nikmat Islam ini, kita bukannya simpan Islam yang kita faham ini, tetapi nikmat yang kita ada ni, kita sampaikan kepada orang lain”. Mus’ab mengangguk-ngangguk.

“Kau tahu sebab apa ibu beri nama kamu Mus’ab?” Mus’ab termangu seketika. Tak pernah pula dia terfikir akan apa sangat kelebihan dan istimewanya nama Mus’ab itu. “Mak masa lahirkan kau, mak dan ayah nak kau menjadi seperti Mus’ab bin Umair, seorang pemuda Islam yang bersama-sama Rasulullah ketika datangnya Islam di bumi Mekah. Kami sangatlah berharap Mus jadi sepertinya.” Wah, hebat sekali Mus’ab bin Umair tu. Tapi tak pernah pula Mus’ab mendengar kisah Mus’ab yang satu lagi ini. “Isk, aku tak kenal siapa pemuda yang ibu dan ayah aku jadikannya sebagai kekuatan pada namaku. Tak boleh jadi ni… Aku kena cari siapa dia,” getus hati Mus’ab berseorangan.

********************

Mus’ab tahu bahawa tugas yang diberikan Rasulullah bukannya senang. Selepas perjanjian Aqabah pertama, Rasulullah ingin supaya penduduk di Yathrib, yang terdiri dari suku Aus dan Khazraj, merasai akan nikmat Islam tersebut. Maka,dalam usia yang semuda dua puluhan tahun itu, Rasulullah menghantar Mus’ab bagi mengajak penduduk Yathrib mengakui keesaan Allah, Tuhan yang Maha Satu. Sampainya beliau di Yathrib, beliau duduk dan menjadi tetamu kepada Sa’d bin Zurarah dari suku Khazraj. Maka bermulalah siri untuk mengajak penduduk Yathrib memeluk Islam.

Satu ketika Mus’ab dan Sa’d sedang duduk di taman buah-buahan bersama dengan beberapa individu yang mahu mendengar tentang Islam. Tiba-tiba datangnya seorang bangsawan Yathrib bernama Usayd bin Khudayr bersama-sama dengan lembingnya, datang menerpa ke arah mereka. Sa’d sempat berbisik kepada Mus’ab, “Ini adalah ketua kepada penduduknya. Moga Allah membuka hatinya ke arah kebenaran.” “Sekiranya dia duduk tenang, aku akan berkata kepadanya,” ujar Mus’ab kepada Sa’d. Usayd dalam keadaan pelik itu berkata, “Kenapa kamu berdua datang kepada kami untuk mengucar-kacirkan golongan yang lemah antara kami? Pergi jauh dari sini sekiranya kamu mahu hidup!” Mus’ab tersenyum, dan dalam senyuman yang lembut itu, beliau berkata, “Apa kata kamu duduk dan dengar dahulu? Sekiranya kamu suka dan berpuas hati dengan apa yang akan kami katakan, kamu terima, tetapi sekiranya aku tidak suka, kami akan berhenti berkata apa yang tidak kamu suka.” “Baiklah, aku terima,” lalu Usayd pun duduk lalu memacakkan lembingnya di atas tanah. Mus’ab mula menceritakan tentang Islam, dan membacakan beberapa ayat Al-Quran kepadanya. Walaupun tiada kata-kata terpancar dari mulut Usayd, namun jelas dari pandangan mukanya yang jernih pada tika itu, yang hatinya telah dibuka untuk menerima Islam. Beliau berkata, “alangkah indahnya kata-kata ini, dan ternyata kata-kata ini adalah benar! Apa yang seseorang harus lakukan untuk masuk ke dalam Islam?”. Dengan nada kegembiraan, Mus’ab berkata, “mandi dan bersihkan dirimu dan pakaianmu. Kemudian datang kembali dan bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah, dan Muhammad adalah pesuruh Allah, dan selepas itu lakukanlah solat.”

Beliau berlalu, tetapi tidak lama kemudian, beliau kembali untuk mengucap dua kalimah syahadah, lalu mendirikan solat sunat dua rakaat. “Selepas aku, ada seorang lelaki yang sekiranya dia mengikutimu, maka seluruh anggota masyarakatnya akan mengikutinya. Akan aku hantarnya ke mari kepadamu saat ini juga. Namanya adalah Sa’d bin Mu’adh.” Lalu datanglah Sa’d bin Mu’adh mendengar, lalu beliau pun memeluk Islam. Kemudian seorang demi seorang penduduk dari bani Aus dan Khazraj datang dan memeluk Islam. “Sekiranya Usayd in Khdayr, Sa’d bin Mu’adh, dan Sa’d bin Ubadah menerima agama baru, mengapa pula kami tidak? Mari pergi berjumpa Mus’ab dan bersama-sama dengannya. Setiap kata-kata yang keluar dari bibirnya adalah kebenaran semata-mata.”

Duta pertama yang dilantik Rasulullah SAW berjaya melaksanakan misi agungnya. Rasulullah telah memilih Mus’ab sebagai pilihan yang terbaik. Mus’ab terus memainkan peranannya dalam pembinaan negara Yathrib, yang akan dikenali lebih mendalam sebagai Madinah nanti. Setiap pintu-pintu di Madinah, tidak pernah ada yang dilupakan dan ditinggalkan dalam beliau membawa mesej Islam ini. Sehinggakan ke perjanjian Aqabah yang kedua, di mana Rasulullah dijemput ke Madinah, beliau tidak pernah lelah dalam menjalankan tugasnya, menyediakan ruang terbaik untuk Islam berkembang dengan lebih pesat lagi.

********************

Mus’ab merasa seronok dapat menghadiri kelas agama bersama-sama dengan rakannya. Hari ini naqib usrahnya ada menceritakan tentang kehebatan seorang anak muda yang terbilang ketika kenaikan Islam di Madinah, iaitu Mus’ab bin Umair. Lalu bertambah bersemangat dirinya untuk menjadi seperti dirinya yang satu lagi.

“Hebatnya Mus’ab bin Umair tu. Muda-muda lagi, dah macam-macam dia buat. Jadi duta pertama Islam la. MengIslamkan hampir seluruh penduduk Madinah. Fuiyoo.. Aku boleh ke buat macam tu? Alahai, rugi aku awal-awal tak kenal siapa diri aku yang satu lagi tu,” kata Mus’ab bersendirian.

“Kata naqib usrahku tadi, Mus’ab meninggalkan segala kemewahan yang dia ada, untuk menjadi seorang yang hebat dalam Islam. Harta itu sedikitpun tak dipandang. Walaupun cabaran-cabaran yang besar dihadapinya, termasuk terpaksa berpisah dengan ibu yang disayanginya, itu tidak menghalang dirinya untuk menjadi hebat. So macam mana aku nak menjadi hebat? Aku bukannya boleh nak ajak member-member aku tu masuk Islam. Aduh..”. “Kau tu buat apa bersendirian tu? Ingat makwe ye?” tiba-tiba Aidil menyapanya dari belakang. “Takde la, aku teringat kata-kata abang Ahmad tadi masa usrah PEMBINA tadi. Rupanya mak dengan ayah aku bagi nama yang hebat kat aku. Tapi boleh ke aku jadi hebat macam Mus’ab yang satu lagi tu?” “Apa yang tak bolehnya? Setiap individu ada potensi diri masing-masing yang hebat. Cuma kita kena cari aje apa potensi kita tu untuk kita sumbangkan kepada masyarakat. Kau kena mula dengan bina kekuatan diri kau. Dengan tarbiyah atau pendidikan Islam. Dengan kau faham tentang Islam secara total, baru boleh kau menyampaikan. Dakwah la orang kata. Dakwah tu bukan hanya memberi tazkirah atau membawa usrah tu baru kata dakwah,” kata Aidil bersemangat.

Betul. Hanya perlu kenali potensi diri. Dakwah itu bukan hanya berkata-kata. Kehidupan itu adalah dakwah. Dari cara bergaul dengan ibu bapa, rakan-rakan, akhlak masa nak makan, akhlak masa beriadah bermain bola. Tulis blog, buat poster guna Photoshop, hasilkan video Islamik. Semua itu adalah projek dakwah yang boleh disumbangkan kepada masyarakat.

Mus'ab berfikir-fikir sendirian. Lalu ketiduran….

********************

Peperangan Uhud kian memuncak. Para pemanah yang dipusatkan di kawasan Bukit Uhud meninggalkan posisi masing-masing untuk mendapat harta yang ditinggalkan musuh, yang mana bercanggah dengan arahan Rasulullah SAW. Maka, datanglah serangan balas dari Jeneral Khalid Al-Walid yang mengetuai tentera berkuda Quraisy menyerang mereka kembali dari arah bukit yang bertentangan. Tiada pertahanan untuk menghalang mereka mara dari membuat serangan balas setelah pemanah-pemanah meninggalkan posisi mereka.

Walaupun pihak Islam dilihat sudah diambang kemenangan, Khalid nampak peluang bagi membuat serangan balas kepada pihak Islam. Maka berlakulah kucar kacir di medan Uhud itu. Semua orang lintang pukang tidak tersusun dalam mempertahankan diri mereka. Dan yang paling penting sekali, mempertahankan Rasulullah. Kerana mereka tahu, Rasulullah adalah insan yang paling dibenci oleh orang Quraisy, dan nyawanya menjadi aset yang paling diminta-minta oleh pihak Quraisy.

Mus’ab sedar akan bahaya yang bakal menimpa sekiranya Rasulullah tidak dipertahankan. Beliau mengibarkan panji-panji Islam tinggi, dan mengungkapkan Takbir sekuat hatinya, supaya moral tentera Islam tidak jatuh. Dengan panji di sebelah tangan dan pedang di tangan yang lain, beliau bergegas masuk ke dalam medan peperangan. Kekuatan Quraisy tidak dapat disangkal lagi. Seorang tentera berkuda merapatinya dan memotong tangan kanannya. Kedengaran kata-kata Mus’ab ketika itu, yang kemudiannya dirakamkan dalam sepotong ayat dari Al-Quran:

“Muhammad hanyalah seorang Rasul. Telah berlalu Rasul-rasul yang pergi sebelumnya” (Ali-Imran, 144)


Panji dipegang dari jatuh dengan tangan kirinya. Mus’ab terus melaungkan kata-katanya, kerana tidak sanggup berpisah dengan kekasihnya, Rasulullah SAW, yang sangat dicintainya. “Muhammad hanyalah seorang Rasul. Telah berlalu Rasul-rasul yang pergi sebelumnya.” Lalu dipotong tangan kirinya, namun Mus’ab tetap teguh meletakkan panji yang diamanahkan kepadanya diantara dada dan dagunya. Kemudian beliau ditikam dengan tombak di dadanya. Mus’ab rebah. Bersama-sama dengan panji. Kedengaran sayu suaranya melafazkan “Muhammad hanyalah seorang Rasul. Telah berlalu Rasul-rasul yang pergi sebelumnya,” sehingga nyawanya meninggalkan jasadnya. Perginya Mus’ab sebagai seorang syuhada.

Selepas peperangan, Rasulullah dan para sahabat pergi di kawasan medan untuk mencari sahabat-sahabat yang syahid. Tatkala bertemu dengan jenazah Mus’ab, bercucuran air mata Rasulullah dan para sahabat melihatkan keadaan diri Mus’ab. Mereka tidak dapat mencari kain yang dapat menutup jenazah Mus’ab, kecuali kain yang dipakai oleh Mus’ab. Apabila ditarik ke atas kain tersebut untuk menutup kepala Mus’ab, terbukalah kakinya, namun apabila ditarik ke bawah kain tersebut, maka terdedahlah kepala Mus’ab. Rasulullah memberi arahan, “Letakkan kain tersebut menutupi kepalanya, dan tutuplah kakinya dengan daun-daun tamar.” Alangkah hibanya melihat Mus’ab ketika itu. Seorang yang lahir dari kalangan bangsawan, di akhir kehidupannya, tidak cukup kain hatta untuk menutupi dirinya sendiri.

Rasulullah SAW dan para sahabat berdiri di hadapan para syuhada Uhud. Perasaan hiba dan sedih tidak dapat dikawal oleh mereka. Antara yang menghadap Allah pada peperangan ini adalah ayah saudara Nabi sendiri, iaitu Hamzah yang banyak mempertahankannya selama ini. Namun, di hadapan Mus’ab ini, Rasulullah berdiri dengan perasaan yang sukar digambarkan kesedihannya. Baginda teringatkan ketika mana Baginda mula bertemu dengan Mus’ab di Mekah, Mus’ab adalah seorang yang bergaya dan segak dengan pakaian yang mewah, dan tatkala Mus’ab meninggal, beliau hanya berbekalkan dengan kain yang tidak mencukupi untuk menutup dirinya.

Rasulullah SAW kemudiannya membaca sepotong ayat Al-Quran:

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu- nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya)” (Al-Ahzab,23)


********************

Mus’ab menangis. Beliau bermimpikan akan satu pertemuan dengan Mus’ab bin Umair. Betapa besarnya pengorbanan yang dilakukan olehnya.

“Aku tidak seharusnya kekal dalam keadaan sebegini. Aku harus keluar dari hanya menjadi seorang pelajar, belia yang tipikal. Aku… Aku akan jadi seperti Mus’ab bin Umair. Mus’ab ini akan berusaha untuk mengikuti jejak langkah Mus’ab. Insya Allah.

Kehidupan sebagai seorang pelajar tidak semestinya tipikal. Banyak peluang yang mampu diceburi. Maka, aku harus lengkapkanlah diri dengan ilmu serta skil-skil supaya aku mampu menyampaikan nikmat yang aku rasai ini kepada semua orang. Isi diri dengan tarbiyah. Kemudian bina asas-asas kekuatan diri serta orang lain dengan dakwah. Kenalkan semua manusia tentang Islam. Islam ni satu nikmat yang maha hebat. Maha suci. Maha membersihkan. Biar semua orang sama-sama merasai nikmat Islam ini, dan semua orang terselamat dari gelombang arus yang kuat, yang merosakkan masyarakat pada masa ini.

“Mulai hari ini, aku tidak akan menjadi medical student yang tipikal… Insya Allah!!”







AHMAD KHAIRI ZAZALI

Aktivis ISMA dan PEMBINA


4 comments:

ummu to said...

Salam,
kisah yang baik sebagai peringatan untuk kita menggunakan sebaiknya potensi yang dianugerah Allah, bukan mengguna kekurangan sebagai alasan tidak mampu beramal..
ada kesilapan : ayat yg bermakna 'Muhammad hanyalah seorang rasul, telah berlalu rasul-rasul sebelumnya' ialah surah ali imran ayat 144

aie144 said...

Terima kasih.. Sudah dibetulkan.. Jzkk

Unknown said...

Subhanallah. Terbekk. 4 Thumbs up

Amin Baek said...

mantap mantap..

subhanaallah