Tuesday, May 15, 2007

Izinkan Pertanyaan…

(Dari blog Ustaz Hasrizal)

berdiskusi.JPG

Generasi yang suka berfikir dan bertanya, jangan dibantutkan potensi mereka

“Ustaz, sahabat saya ni sudah hilang keyakinan kepada Islam. Ustaz boleh bantu?”, tanya salah seorang pelajar yang menyertai ceramah saya.

“Kenapa sampai jadi begitu?”, saya mahukan penjelasan.

”Kawan saya ni suka bertanya. Soalannya memang pelik-pelik. Tetapi apabila dia bertanya soalan begitu di dalam usrah, dia akan dicantas”, sambungnya.

”Cantas?”, saya kurang pasti.

”Ya. Dituduh sesat, dimarahi kerana cakap benda merepek-repek”, jawab pelajar itu melengkapkan penjelasannya kepada saya.

”Apa antara soalan yang ditanyanya?”, saya mahu menyambung perbincangan.

”Emm, antara soalannya ialah dia mahukan kepastian apakah ada kehidupan lain di galaksi lain? Maksudnya, mungkin di satu alam yang lain itu, ada Nabi Adam lain, ada Nabi Muhammad lain, ada Padang Mahsyar lain, dan ada Syurga dan Neraka lain”, ulas pelajar yang menjadi naqibah itu.

”Dia juga pernah mempersoalkan, buat apa buat baik kalau dah memang dalam Qadha’ dan Qadar Allah, kita ni ditakdirkan masuk Neraka”, sambungnya lagi.

Saya termenung.

”Hmm… menyekat soalan tidak menyelesaikan masalah. Membebaskan fikiran pun tidak mengurangkan masalah”, saya memberikan sedikit reaksi kepada pertanyaan pelajar itu.

Ada yang tergaru-garu.

BUDAYA MEMBUNUH PERTANYAAN

Saya sedar, budaya menyekat pertanyaan ini memang diamalkan di pelbagai peringkat. Ayah sekat anak bertanya, tok guru dan ustaz sekat anak murid bertanya, naqib sekat anak buah bertanya… budaya biasa dalam masyarakat kita.

Saya teringat satu lawak jenaka yang saya pernah dengar, dan saya rasa kisah itu tidak benar. Sekadar penyedap telinga. Ada seorang ustaz yang agak kurang mahir membaca kitab Jawi lama mengajar kepada anak muridnya.

”Haram makan batang keladi!”, katanya.

Tercengang habis anak murid yang menadah. Puas seumur hidup makan asam pedas batang keladi, tiba-tiba hari ini haram pula hukumnya?

”Betulkah ustaz, haram makan batang keladi? Saya dah biasa makan batang keladi ni”, salah seorang anak muridnya memberanikan diri bertanya.

”Barangsiapa yang banyak bertanya, maka lemahlah akan imannya….!”, balas ustaz tersebut.

Habis terdiam semua anak muridnya.

Walhal ustaz itu yang salah baca. Kitab tu menyebut ”haram makan binatang keldai!”, tetapi dibacanya sebagai ”haram makan batang keladi”.

Penyelamatnya, sekat dari bertanya.

Kisah itu mungkin sekadar rekaan, tetapi budayanya memang ada.

MISTERI NUSANTARA

Mungkin ini punca mengapa rata-rata pelajar kita sangat sukar memberikan reaksi apabila guru dan pensyarah menyoal di dalam kelas. Saya menganggapnya sebagai sebahagian daripada Misteri Nusantara. Faham ke, tak faham ke, saya pun tidak pasti kerana tidak ada maklum balas yang diberi.

Berbeza sekali dengan pengalaman saya semasa menjadi guru di Belfast Islamic School. Pantang bertanya soalan, berebut-rebut anak murid saya mahu menjawab. Termasuklah beberapa orang anak Malaysia yang lahir dan membesar di sana.

Bukan salah genetik, pastinya…

Tetapi cara kita dibesarkan. Saya sendiri kadang-kadang terasa hilang sabar apabila anak-anak terlalu banyak bertanya.

Oleh kerana saya sendiri sering kecewa dengan peserta ceramah saya yang malas menjawab, saya cuba untuk tidak jemu dan marah kepada anak-anak saya jika mereka bertanya. Layan pertanyaan, dan jika saya sudah terlalu penat, saya akan tanya balik soalan yang ditanya si anak kepada saya. Biar dia pula mengambil giliran menjawab.

Untuk marahkan anak-anak dari bertanya, jangan dibiasakan. Anak-anak itu akan hilang potensinya.

kelasklasik.jpg

BENARKAN PERTANYAAN

”Pada pandangan ustaz, antum sebagai naqib dan naqibah tidak wajar mengambil sikap mematikan soalan. Ruang bertanya bukakan seluas yang mungkin. Antum pelajar terpilih, pengumpul koleksi A sejak UPSR. Jangan pula saling membunuh fikiran dengan menyekat pertanyaan. Sampai ada yang hilang keyakinan terhadap Islam. Subhanallah… agama yang paling menggalakkan berfikir dan bertanya, hilang seri dan wajah sebenarnya”, saya menyambung komen saya kepada soalan pelajar itu tadi.

”Tetapi saya tidaklah pula setuju jika fikiran dibiarkan berfikir sebebas-bebasnya. Ia harus disesuaikan dengan keupayaannya diri untuk berfikir. Akal tidak mampu membekal segala jawapan kepada segala soalan”, saya berkongsi pandangan.

”Macam mana nak tentukan batas berfikir itu, ustaz?”, tanya pelajar tadi.

”Prinsip saya dalam hidup, buat apa pun biar jelas tujuan. Hidup berkesedaran itu bermaksud, apa sahaja yang dilakukan, ia dilakukan dalam keadaan sedar akan tujuan perkara itu dibuat”, saya mengulas.

”Jadi dalam masalah bertanya… ingat tak kepada doa Nabi SAW yang memohon perlindungan dari sejenis ilmu. Ilmu apa tu?”, saya menyoal pula.

”Ilmu hitam?”, jawab salah seorang pelajar. Kami semua ketawa.

”Ilmu hitam tu dah tolak awal-awal. Ilmu yang saya maksudkan ialah, ilmu yang tidak bermanfaat”, saya menjawab,

اللهم إني أعوذ بك من علم لا ينفع ، ومن قلب لا يخشع ، ومن نفس لا تشبع ، ومن دعاء لا يسمع

“Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyu’, dari nafsu yang tidak pernah kenyang (puas), dari doa yang tidak didengari (tidak dipeduli)”


PERTANYAAN BERASASKAN TUJUAN

Saya cuba mengingatkan para peserta bahawa pertanyaan mestilah pertanyaan yang ada tujuan. Tujuan itu akan membimbing pertanyaan, agar kita tidak mencungkil ilmu yang menyusahkan tanpa sebarang manfaat.

Misalnya, jika pelajar berkenaan mahu tahu apakah ada kehidupan lain di alam lain? Jika persoalan itu mahu dibahaskan, memang ada jalannya. Malah boleh dikaitkan dengan pengetahuan Malaikat tentang perangai manusia, sebelum Adam dicipta. Bagaimana Malaikat tahu yang manusia ini sifatnya suka menumpahkan darah dan melakukan kerosakan di muka bumi, sedangkan Adam belum dicipta.

ayat_khalifah.JPG

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Al-Baqarah 2: 30)

Maka ada sahaja ilmuan yang mengandaikan bahawa telah ada satu generasi manusia yang ada Adamnya, ada Rasul-rasulnya dan sudah pun ada Mahsyar, dan sudah pun berlaku Kiamat ke atas mereka.

Namun, soal besarnya di sini, apakah manfaatnya hal ini dicari-cari? Apakah ia akan menambah kesungguhan kita beramal, dan adakah kejahilan kita terhadapnya akan menjadikan kehidupan kita hilang kualiti, kurang peranan dan sedikit pahala?

Nyata sekali TIDAK. Mengetahuinya tidak bermanfaat, jahil terhadapnya pun tidak memudaratkan.

Maka kebebasan akal untuk berfikir, mestilah bertitik tolak dari sebab yang jelas. Bukan fikir untuk fikir, tetapi fikir untuk mendapatkan sesuatu. Sesuatu itu adalah al-Haq, yang perlu dicari sebagai erti hidup di alam ini.

Sama juga dengan soalan yang berkaitan dengan Qadha’ dan Qadar. Pastikan dahulu, kita faham tujuan beriman dengannya dan tujuan kita mempelajari ilmu mengenainya.

Kita belajar tentang Qadha’ dan Qadar bukanlah untuk menyelidik cara Allah melakukan sesuatu. Di mana upaya kita untuk memahami kerja Allah sedangkan alam yang Allah ciptakan ini pun belum ketemu kesan sempadan hujungnya. Kita hamba dan Allah Tuhan dan Tuan kita.

Maka, Qadha’ dan Qadar dipelajari dengan tujuan membina keyakinan di dalam diri, bahawa apa sahaja yang berlaku di dalam hidup ini, sama ada ujian kesusahan atau pun kesenangan, semuanya ada dalam ilmu Allah. Maha Suci Allah dari sifat yang zalim, maka dengan Qadha’ dan Qadar itu, carilah hikmah kebaikan di sebalik SEMUA yang terjadi di dalam hidup ini.

Jika kita lupa akan tujuan ini, maka kita akan belajar dan menyiasat Qadha’ dan Qadar seperti kelakuan orang yang merenung matahari. Makin direnung makin kelam mata yang memerhati.

soalan_menyusahkan.JPG

Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu bertanyakan perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu. (Al-Maidah 5: 101)

Kata kunci jawapan saya kepada soalan yang ditanya oleh pelajar tadi ialah, bebaskan diri untuk bertanya, tetapi pandulah kebebasan itu dengan meletakkan tujuan yang jelas.

Nabi SAW pernah mengingatkan sahabat dengan hadith ini:

عن أبي هريرة عبد الرحمن بن صخر رضي الله عنه ، قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : ( ما نهيتكم عنه فاجتنبوه ، وما أمرتكم به فأتوا منه ما استطعتم ، فإنما أهلك الذين من قبلكم كثرة مسائلهم واختلافهم على انبيائهم ). رواه البخاري رقم : 7288 ، ومسلم رقم : 1337

Daripada Abu Hurairah Abd al-rahman bin Sakhr Radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “Apa yang aku larang kamu daripada melakukannya, maka hendaklah kamu jauhkan diri daripadanya. Dan apa yang aku perintahkan kamu melakukannya, maka hendaklah kamu lakukan ia dengan sepenuh keupayaanmu. Sesungguhnya golongan sebelum kamu telah menjadi binasa disebabkan oleh banyaklah permasalahan mereka, dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi (yang diutuskan) kepada mereka”

Hadith ini mengajar kita supaya tidak bertanya sesuka hati. Pertanyaan yang sekadar untuk memuaskan akal dan nafsu, tanpa bermaksudkan kebaikan dan kebenaran, hanya mengundang kebinasaan. Akibat ingatan ini, para sahabat menjadi agak berat untuk bersoal jawab ketika bersama Baginda S.A.W. Lantas datanglah Jibril dan membentangkan persoalan Iman, Islam, dan Ihsan, dengan tujuan untuk memberikan panduan kepada sahabat, bahawa bukan soal jawab yang dilarang, tetapi tanyalah soalan dengan TUJUAN yang jelas. Mencari kefahaman terhadap Iman kita kepada Allah, memahami dengan jelas erti Islam yang diberikan kepada kita, dan menyelami kualiti Ihsan yang diletakkan sebagai kemuncak Ibadah kita kepada-Nya.

Soal jawab, biar berasaskan TUJUAN.

gayevakfi.JPG

Setahun berhibernasi keluar dari alam Melayu, mengizinkan anjakan pemikiran saya berlaku. Terima kasih rakan-rakan di Gaye Vakfi, Istanbul

PENCERAHAN EROPAH BUKAN RIMBA FALSAFAH

Sebab itu, saya tidak gerun dan takut untuk mendekati perbahasan yang berbau falsafah oleh pemikir-pemikir era Pencerahan Eropah. Bagi saya, biar pun persoalan mereka itu kelihatan seperti agak ‘merewang’ tetapi jika kita faham motif persoalan-persoalan itu ditimbulkan, maka ia adalah kebebasan yang terpimpin. Kebebasan berfikir yang dipimpin oleh tujuan yang sangat tertentu.

Idea-idea yang mencetuskan pertembungan di antara Liberal dan Konservatif, memang rumit untuk difahami. Tetapi apabila kita faham, bahawa tujuan mereka adalah untuk mencari keseimbangan di antara hak peribadi dan identiti jama’ie, maka isunya boleh dipermudahkan. Ia jadi haru biru kerana reference point mereka iaitu agama, sudah dibinasakan oleh korupsi yang membunuh keyakinan mereka terhadap agama itu. Mereka tidak menolak Tuhan, tetapi mereka mempertikaikan Tuhan versi Kristian.

Maka perasaan berTuhan masih menguasai pengembaraan fikiran generasi itu. Lantas tidak hairan, pandangan-pandangan pemikir Pencerahan Eropah sangat berbau agama, bagi yang teliti membacanya. Mereka berfikir dan mengkaji kerana mahu mencari kembali Tuhan dan kebenaran. Bukan sengaja memuntahkan keserabutan tanpa tujuan.

SAYA DAN TULISAN FATHI ARIS OMAR

Apabila saya mengambil peduli malah mengajak kepada kepedulian terhadap tulisan-tulisan saudara Fathi Aris Omar, saya tidak bertindak demikian atas dorongan saya yang meminati bidang falsafah. Falsafah bukan minat saya.

Tetapi saya peduli terhadap apa yang diutarakan oleh beliau, kerana tujuan yang besar dan jelas. Apa yang diungkapkan oleh saudara Fathi Aris Omar adalah tentang cara berfikir kita yang tidak keruan, sehingga menjadi punca kepada gelaja “Pi Mai Pi Mai Tang Tu”. Dakwah kita tidak berkesan, manifesto kita tidak meyakinkan, hujah bidasan kita kedengaran dangkal dan tidak menepati sasaran, semuanya kerana satu sebab yang rumit.

Ia rumit kerana ia bukan soal pakaian yang boleh disalin. Ia bukan soal rujukan yang boleh diganti. Ia bukan soal kelemahan sarung dan bungkusan. Masalah kita adalah masalah pemikiran. Cara berfikir yang merugikan.

Maka, mahu tidak mahu, usaha membetulkan cara berfikir, tetap akan membabitkan falsafah kerana falsafah memang bertujuan mengatur disiplin berfikir.

Tetapi saya tidak akan membiarkan tulisan saya mengheret pembaca ke satu daerah yang tidak jelas tujuan kembaranya.

Saya berfikir, berbincang, menulis dan berceramah selepas saya menetapkan tujuan yang jelas.

Saya mahu dakwah kita diperbaiki. Saya mahu perjuangan kita sampai ke destinasi. Saya mahu hujah kita relevan dan meyakinkan. Saya mahu seruan kita dipeduli dan diberi perhatian.

Jika kegagalan semua itu berpunca dari paradigma dan pemikiran, maka paradigma dan pemikiranlah yang akan mendominasi usaha saya.

Izinkan saya untuk terus menimbulkan pertanyaan. Pertanyaan yang jelas tujuan.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

1 comment:

ihsan_huhu said...

xperlulah copy paste sume... letak link sudah mencukupi..

haih