“Mereka tidak akan memerangi kamu dengan bersatupadu melainkan di kampung-kampung yang berkubu kuat atau di sebalik tembok-tembok. Perseteruan di antara sesama mereka begitu hebat. Kamu fikir mereka bersatupadau, tetapi hati mereka berpecahbelah. Sebabnya kerana mereka adalah golongan manusia yang tidak berfikir.“ - Al-Hasyr:14


Pemandangan-pemandangan dari luar kadang-kadang mengelirukan. Kita nampak orang-orang kafir dari golongan ahli kitab itu bersatupadu sesama mereka. Kita nampak semangat perkauman mereka begitu teguh di antara sesama mereka, begitu juga kita nampak golongan Munafiqin bersatupadu dalam satu khemah, tetapi berita yang sebenar dari langit memberitahu kita bahawa keadaan mereka yang sebenarnya bukan begitu.
Apa yang kita nampak itu hanya pemandangan dari luar yang mengaburi mata sahaja.
Dari satu masa ke satu masa tabir yang mengelirukan itu tersingkap dan kelihatanlah di belakangnya kebenaran berita langit yang dapat dilihat di alam kenyataan, dan terdedahlah keadaan mereka yang sebenar yang berpecah belah di dalam satu khemah itu. Mereka berpecah dan berseteru kerana perbezaan kepentingan, perbezaan kehendak dan kemahuan dan kerana pertentangan tujuan. Bila sahaja orang-orang Mukmin berdiri teguh dan benar-benar bersatu kerana Allah, maka khemah orang-orang kafir di hadapan mereka akan tersingkap memperlihatkan perselisihan-perselisihan dan perpecahan-perpecahan di antara mereka. Bila sahaja orang-orang Mukmin bersabar dan bersatu kukuh, mereka akan melihat perpaduan di antara orang-orang yang memperjuangkan kebatilan itu pecah dan roboh dan tembelang perpecahan dan perseteruan di antara sesama mereka itu akan terbuka.

Al-Quran menanamkan hakikat ini dalam hati orang-orang Mukmin untuk memperkecilkan kedudukan musuh-musuh mereka dan untuk menghapuskan kehebatan mereka. Ia merupakan saranan yang didasarkan di atas hakikat yang benar. Ia merupakan penggemblengan semangat yang berasaskan realiti yang benar dan kukuh. Apabila orang-orang Islam berpegang teguh dengan kitab suci mereka al-Quran, maka kedudukan musuh mereka dan musuh Allah akan dirasa kecil dan kerdil di sisi mereka, dan seluruh hati mereka akan bersatupadu dalam satu barisan, dan ketika itu tiada kekuatan dalam hidup ini yang dapat menentang mereka.

Peristiwa Bani an-Nadhir ini bukanlah peristiwa pertama yang seumpamanya, malah ia telah didahului oleh peristiwa Bani Qaynuqa’ yang diisyaratkan oleh ayat berikut: “(Mereka) adalah seperti nasib orang-orang Yahudi (Bani Qaynuqa’) yang tidak lama sebelum mereka yang telah merasa akibat buruk dari perbuatan mereka. Dan untuk mereka disediakan azab yang amat pedih.” - Al-Hasyr: 15
..dan demikian jugalah sifat bangsa Yahudi sepanjang zaman..
Rujukan & sumber: Fi Zilalil Quran
Dari Blog ISMA DHL
No comments:
Post a Comment