Wednesday, June 11, 2008

Tazkirah untuk Exam: Tawakal (dalam majlis solat hajat MASCA)

Tawakal merupakan salah satu cara yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya dalam mereka mencari jalan dalam mencapai sesuatu. Tawakal ini adalah satu elemen yang penting dalam kehidupan seorang Muslim.

Rasulullah SAW bersabda, "Jika kamu bertakwa kepada Allah dengan sebenar-sebenar tawakal, maka Allah memberikan rezeki kepadamu sebagaimana Allah memberikan rezeki kepada burung, pagi-pagi keluar sarang dalam keadaan lapar, dan petang hari pulang ke sarang dalam keadaan kenyang" (At Tarmizi, Ahmad, Ibnu Majah)

Allah SWT juga berfirman,
".... Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya, dan barangsiapa yang berTAWAKAL kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) Nya, sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki) Nya, sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu" (At Thalaq, 65: 2-3 - aka Ayat Seribu Dinnar).

Maka dapat dilihat di sini yang barang siapa yang bertawakal kepada Allah dengan sesungguh-sungguh tawakal, maka Allah akan memberikan rezekiNya kepada hambaNya, sama ada dari jalan yang dijangkakan atau yang tidak disangka-sangka.

Tapi sebelum tu, kita kena tahu dulu apa maksud tawakal.

Dari segi bahasanya, perkataan tawakal itu berasal dari kata 'wakalah', yang bererti mewakilkan urusan kepada pihak lain. Dari segi syaraknya, ia bermaksud: Kepercayaan hati kepada wakil satu-satunya, iaitu Allah SWT.

Dengan kata lainnya, tawakal itu ialah kita serahkan secara sepenuhnya kepada Allah tentang natijahnya/hasilnya, setelah kita berusaha dan berdoa kepadaNya.

So, apa significant nya tawakal ini?

Dalam kehidupan kita, kita perlu ada perasaan: 1. takut dan 2. harap. Dan tawakal itu merupakan salah satu manifestasi kita dalam menyatakan pengharapan kepada Allah SWT.

Ibnu Taimiyah pernah berkata, hubungan antara kita dengan Allah adalah umpama seperti seekor burung, di mana takut merupakan sebelah sayap burung itu, dan sebelah lagi sayapnya adalah harap.

Perasaan takut dan harap ini amat penting dalam hidup seorang Muslim. Dengan ada perasaan takut kepada Allah, seseorang hamba tidak akan melakukan sesuatu yang dilarang olehNya disebabkan takut akan seksaNya yang bakal menimpa mereka yang melanggar laranganNya. Begitu juga dengan perasaan berharap, kerana dengan adanya sifat pengharapan kepada Allah, maka seseorang itu tidak akan penat dan berputus asa untuk melakukan apa yang disukai olehNya, sebab memang berharapkan agar Allah memberi kurnia kepadanya, iaitu kesenangan di dunia dan juga di akhirat, dengan balasan Syurga yang abadan abada.

Seperti Saidina Umar pernah berkata, katakan ada suatu suara dari langit datang dan mengatakan bahawa:
1) semua orang di dunia ini akan masuk syurga kecuali seorang, dia TAKUT dialah orang yang akan ke neraka itu. 2) semua orang di dunia ini akan masuk neraka kecuali seorang, dia HARAP dialah orang yang akan ke syurga itu.

Kita lihat kan, Saidina Umar Al Khattab, seorang yang sangat hebat, bukan calang-calang orangnya, pun masih bersandarkan hubungannya dengan Allah dengan suatu perasaan TAKUT dan HARAP kepadaNya.

Kita berbalik semua kepada kata-kata Ibnu Taimiyah tadi. Maka antara kedua-dua sayap takut dan harap itu, badan kepada burung itu adalah CINTA kepada Allah. Maka dengannya burung itu dapat terbang tinggi, tanpa ada sebarang ikatan yang membataskannya ke mana sahaja, dan dengannya dapat terbang dan menuju kepada Allah SWT.

Begitu juga dengan kita. Kita datang sini kan sebab nak studi. Kita tanya balik diri, sebab apa kita studi? Adakah sebab semata-mata kerana sponsor hantar kita ke sini untuk studi? Adakah sebab kita dihantar ke Adelaide untuk studi sebab mak ayah kita hantar ke sini dengan harapan yang besar? Adakah kita ke sini studi sebab kita nak masa depan yang cerah, dapat pekerjaan yang bagus, gaji yang besar etc?

Semua sebab itu memanglah sangat baik. Tapi kalau kita letak tujuan atau sebab kita datang ke sini dengan satu tujuan yang lebih besar, iaitu kita studi bersungguh-sungguh sebab kita tahu Allah suka orang yang bersungguh-sungguh berusaha (studi kan kena bersungguh2 berusaha), maka itu lebih baik di sisi Allah SWT. Maka kita studi ini, kita akan jadikan satu manifestasi KECINTAAN kita kepada Allah SWT. Supaya dalam balasannya, kita mendapat cinta atau redha daripadaNya.

Seperti dalam ayat Al Quran, surah Al-Ankabut, 29, ayat 69, yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang berjihad (berusaha) untuk (mencari keredhaan) Kami, akan benar-benar Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik".

So, ada orang berkata, kalau macam tu kita bertawakal aje ke? Tak payah la penat-penat berusaha ya?

Dalam pendapat ahli Sunnah Wal Jamaah, dalam melakukan sesuatu, kita perlulah berusaha/berikhtiar dahulu, dan kemudian barulah kita bertawakal. Sebab ia berbalik kepada soal qada' dan qadar, iaitu rukun Iman kita yang keenam. Qada' dan qadar adalah kita percaya bahawa setiap apa yang telah, sedang atau akan berlaku semuanya telah ditentukan oleh Allah.

Kemudian adalah orang bertanya, kalau semuanya dah ditentukan oleh Allah, maka buat apa lagi nak berusaha?

Saya berikan satu analogi. Kalau kita lapar, kita takkan jadi kenyang kalau kita just fikir-fikir utk kita kenyang tanpa kita buat sesuatu...Dan tiba2 aje kita kenyang! (tak semudah tu..). Tapi kita kena cari makanan, masukkan dalam mulut, kunyah-kunyah, dan telah, dan kemudiannya dihadam oleh sistem penghadaman kita, barulah badan rasa kenyang. So, perlulah ada usaha.

Usaha ini adalah SUNNATULLAH Nya. Maksudnya Allah sediakan jalan kepada manusia untuk mencapai sesuatu, supaya manusia tak ada le pening-pening kalau nak buat sesuatu. Takde la dia pening2 macam mana la nak pass exam.. Maka Allah beri sunnatullah untuk pass exam adalah dengan studi bersungguh-sungguh. Kalau demam, sunnatullah dia adalah kita pergi telan paracetamol.

Tapi tak semestinya natijah/hasil yang kita tuju itu kita dapat. Kadang-kala apa yang kita nak tu kita tak dapat.

Tapi kan..

Allah sebenarnya menilai kita bukan atas natijah apa yang kita dapat, tapi apa yang kita usahakan.

Analoginya adalah seperti kertas yang ditulis dengan carbon copy di bawahnya. Walaupun kita tulis selawa mana, semahal mana ink yang digunakan untuk menulis tu, tapi yang dinilai ialah tinggalan carbon copy di bawah kertas yang telah ditulis. Sama juga, Allah menilai apa yang kita usahakan (tinggalan carbon copy tu), dan bukannya tulisan yang dihasilkan atas carbon copy tu.

Sebab itu dalah kehidupan kita, 1+1 selalunya 2, tapi tak semestinya 2 setiap masa, sebab boleh aje Allah tukar Sunnatullah nya itu.

Dan oleh sebab itulah kita kena bertawakal, supaya apa sahaja natijah/hasil yang kita dapat nanti, itu adalah terbaik untuk kita, dan kita redha kepadaNya terhadap apa juga yang mendatang.

"..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Al-Baqarah, 2: 216)

Takdelah rasa down, kecewa, frust, etc.. Tapi dengan sebab itu juga kita akan jadi bersungguh-sungguh dalam berusaha, sebab itu adalah jalan natural yang Allah sediakan, dan itulah jalan yang boleh kita buat untuk mencari CINTANYA.

Sebab bila kita berjaya mencapai cintaNya, seperti dalam hadis 38 dalam Hadis 40 Imam Nawawi,

".... Apabila Aku sudah mencintainya, maka jadilah Aku pendengarannya yang dia mendengar sesuatu dengannya, jadilah Aku penglihatannya yang dia melihat sesuatu dengannya, jadilah Aku tangannya yang dengannya dia melakukan kerja, jadilah Aku kakinya yang dengannya dia berjalan. Sekiranya dia meminta daripadaKu Aku akan kurniakannya dan sekiranya dia meminta perlindungan dariKu nescaya Aku akan melindunginya. "

So, tawakal itu adalah sangat penting dalam kehidupan kita, bukan sahaja ketika kita nak exam, tetapi sepanjang masa, sama ada ketika susah mahupun senang, ketika miskin mahupun kaya. Sebab apa? Sebab kita tak nak jadi orang yang melampaui batas.
"Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk ataupun berdiri. Akan tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan". (Yunus, 10:12)

So, kita sama-sama berdoa pada setiap masa dan ketika, tambah-tambah lagi la bila dah dekat dengan exam ini. Kita bertawakal bersungguh-sungguh kepadanya, dan kita berusaha bersungguh-sungguh keranaNya.

Dan sebagai pengakhiran, kalau kita rasa down dlm studi, atau rasa studi kita susah, ketahuilah bahawa setiap kesusahan ada kesenangannya
"Oleh itu, setiap kesusahan akan disertai kesenangan. Setiap kesusahan akan disertai kesenangan. Kemudian apabila selesai (daripada sesuatu amalan), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha. Dan kepada Tuhanmu sahajalah tempat engkau bermohon." (Al- Insyirah, 94: 5-8)

Dengan ini, kita sama-sama berdoa moga Allah memberi hidayah dan keberkatan dalam usaha kita, terutama dalam kita menghadapi exam yang bakal menjelma. Moga dipermudahkan olehNya juga.

Selamat menghadapi exam!

Moga kita sama-sama cemerlang!

4 comments:

Anonymous said...

selamat2.. :p

selamat maju jaya~ :D

ma'at taufiq wan najah fil imtiham.. :)

Anonymous said...

slm. jazakallah. ana amek artikel ini utk dijadikan bhn usrah ana. mtk diizinkan..

Anonymous said...

saya tertarik dengan penyataan anda..
saya ingin mengetahui tntang angan-angan kosong pula..apa pandangan anda?

esanstudio said...

Terima kasih.
Semoga murah rezeki.