Sayangnya, selalunya setiap kali bertemu pasti tidak lama. Baru hendak merasa belai kasih sayang dan rahmat bersamanya, pasti dia akan mula bergerak menjauhi dan akhirnya meninggalkan. Mana mungkin terlupa saat berpisah tahun lepas. Menitis air mata mengenang perpisahan yang menjengah. Aduh. Syahdunya.
Tapi kali ini kekasih ini datang lagi. Maka kali ini aku harus bersedia secukupnya. Untuk bersama dan menghayati setiap detik bersama. Sukar rasanya untuk melepaskannya pergi kali ini.
Tarikhnya pasti akan kutunggu. Dia akan datang…
Namanya Ramadhan..
Bukan mana-mana jejaka tampan atau gadis rupawan..tetapi sebuah bulan yang indah.. yang datang dengan terbukanya pintu syurga dan ditutupnya pintu neraka…yang menyeru aku kekasihnya agar bersiap sedia dan menyingkirkan keburukan yang dicemburuinya.
Sebagaimana sabda baginda
“Ketika datang bulan Ramadhan, dibukalah pintu syurga dan ditutup pintu neraka, dan diikat syaitan. Ada yang menyeru, wahai pencari kebaikan bersiap-siaplah, wahai pencari keburukan menyingkirlah.” (Hadith riwayat Al Khamsah kecuali Abu Daud)
Dialah bulan yang sekiranya aku menyambutnya dengan iman dan harapan kepada Allah akan diampunkan dosaku..
Persis apa yang disuratkan kekasihNya.
“Barangsiapa puasa bulan Ramadhan dengan iman dan mengharap Allah, akan diampuni dosanya yang telah lalu.” (Hadith Ahmad dan Ashabussunan).
Benarlah kasihnya tiada ganti..
Seperti apa yang dilafaz Khatimul Anbiya’
“barangsiapa yang berbuka satu hari dibulan ramadhan, tanpa ada rukhsah, tidak dapat digantikan dengan puasa satu tahun.” (Hadith riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan At Tirmizi).
Kekasihku sudah makin tiba, aku mahu bersedia menyambutnya. Kamu bagaimana pula?
(dari laman web MISSA)
No comments:
Post a Comment