Saturday, November 14, 2009

Teguran yang tidak merugikan

"Tolonglah saudaramu, samada dia zalim atau dizalimi. Apabila dia zalim, cegahlah. Bila ia dizalimi, menangkanlah." (HR Al-Bukhari)

Maha Suci Allah yang menciptakan alam ini dengan begitu sempurna. Malam dan siang silih berganti melayani keperluan hidup manusia. Terang dan gelap pun menjadi sebuah keperluan makhluk-Nya di seluruh pelusuk bumi. Oleh itu, tidak semua yang gelap boleh dibiarkan selama-lamanya begitu.


A. Anggaplah Teguran Sebagai Hadiah Rabbaniyah

Tidak ada dosa dan kesalahan yang tidak mempunyai balasan. Semuanya akan dibalas oleh Allah swt., samada dalam kehidupan ini atau di akhirat kelak. Bayangkan jika dosa dan kesalahan berjalan berterusan tanpa terasa apa-apa, tanpa ada teguran dan tanpa ada peringatan, nescaya akan berlaku kerosakan yang banyak dalam kehidupan manusia.

Menggunungnya dosa dan kesalahan boleh menyebabkan tersumbatnya semua cahaya kesedaran. Orang-orang seperti ini bukan hanya tidak menemui pintu kesedaran, bahkan ia merasa bahwa dirinya sahaja tergolong orang yang mendapat petunjuk.

Maha Benarlah Allah swt dalam firman-Nya, "Sebahagian diberi-Nya petunjuk dan sebahagian lagi telah pasti kesesatan bagi mereka. Sesungguhnya mereka menjadikan syaitan-syaitan pelindung (mereka) selain Allah, dan mereka mengira bahwa mereka mendapat petunjuk." (QS Al-A'raaf: 30)

Allah swt. sentiasa sayang pada hamba-hamba- Nya. Berbeza dengan orang kafir yang mendapat berbagai nikmat dan peluang sehingga tanpa segan silu melakukan maksiat, orang mukmin tidak begitu.

Sedikit sahaja bengkok, sentiasa ada teguran. Ada teguran secara langsung berupa musibah, bencana atau malapetaka dan ada pula teguran yang tidak secara langsung yang disuarakan melalui mulut manusia.

Bahkan Allah swt menamakan ciri mereka yang saling menegur sebagai generasi yang selamat dari bencana kerugian dunia dan akhirat.

Maha Agung Allah swt dalam firman-Nya, "Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian kecuali, orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran." (QS Al-Ashr: 1-3)


B. Anggaplah Teguran Sebagai Ungkapan Sayang

Kadang-kadang agak sukar menterjemahkan sebuah ungkapan dengan timbangan yang jernih dan lurus termasuk dalam soal teguran. Kebiasaannya, orang yang menegur diterjemahkan atau dianggap sebagai lawan yang menyusahkan bahkan ingin menjatuhkan.

Dalam timbangan akhlak Islam, nilai sebuah teguran adalah jauh dari anggapan tersebut. Bahkan kalau kita melihat secara positif :

1. Teguran bukan untuk menyusahkan melainkan untuk memudahkan.

2. Teguran bukan ungkapan marah apalagi permusuhan melainkan ianya adalah ungkapan sayang dan persaudaraan.

Rasulullah saw yang mulia pernah bersabda, "Tiga perbuatan yang termasuk sangat baik, iaitu berzikir kepada Allah dalam segala situasi dan keadaan, saling menyedarkan satu sama lain dan menyantuni saudara-saudaranya (yang memerlukan)." (HR Ad Dailami)

Teguran adalah ungkapan sayang yang sejati seorang saudara terhadap saudaranya yang lain yang mungkin terjebak dalam suatu kesalahan. Cinta kerana Allah dan benci pun kerana Allah. Kalau bukan kerana cinta, mungkin ia tidak akan peduli untuk menegur kerana usaha itu terasa begitu berat.


C. Anggaplah Teguran Sebagai Guru Di Medan

Teguran tidak selalunya berkaitan atau ada hubung kait dengan dosa. Tidak selalunya berkaitan dengan sesuatu yang prinsip. Ada teguran yang memang sangat diperlukan ketika sesuatu yang bersifat teori cuba diimplementasikan ke bumi nyata dalam wilayah aplikasi.

Dalam hal berumahtangga misalnya, ketika belum memasuki alam perkahwinan, seseorang merasa sudah faham betul dengan yang hal ehwal rumah tangga setelah mendapatkan informasi dari buku, ceramah dan sebagainya. Tapi, ketika rumahtangga sudah menjadi kenyataan, semua perkara menjadi sungguh berbeza. Realiti kadangkala tidak selalunya bertepatan dengan suasana ideal yang diimpikan.

Berlaku perbezaan di sana di mana wujudnya konflik antara suami dan isteri. Sesuatu yang dalam teori begitu indah, tetapi ternyata begitu gersang dalam kenyataan di medan. Tentunya, yang salah bukannya cita-cita idealnya tadi, tapi cara bagaimana menggarap dan mencapai tujuan dan impian itu yang belum benar-benar selaras. Di sinilah, seseorang memerlukan teguran dan teguran ketika itu bertukar menjadi guru di lapangan realiti sebenar.


D. Anggaplah Teguran Sebagai Cermin Memperindahkan Diri

Ego manusia sentiasa merasakan yang ia serba sempurna tanpa ada cacat cela dan titik noda malah semuanya dirasai bagus. Kalau ada orang lain yang menilai sedikit berbeza, pasti si penilai yang di anggap silap.

Begitulah juga yang boleh berlaku dalam diri seorang mukmin. Dengan penuh kepercayaan terhadap dirinya, ia begitu yakin bahwa semua langkahnya sempurna tanpa ada kesalahan. Yang salahnya adalah jika ada yang menganggapnya salah.

Dari sudut pandangan Islam, manusia adalah tempat salah dan lupa. Jadi, akan ada sahaja kemungkinan kalau seorang mukmin pun boleh khilaf. Kalau seorang ulama pun boleh salah dan seorang pemimpin pun boleh tersasar, jadi pada ketika itu, ia sangat memerlukan teguran sebagai cermin yang boleh menyedarkan dirinya.

Rasulullah saw bersabda, "Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin lainnya. Apabila melihat aib padanya, dia segera memperbaikinya." (HR Al-Bukhari)

Indahnya nikmat keimanan. Hati yang mulanya gelap menjadi terang. Bahaya dan penyakit yang bersarang di sekeliling dirinya yang sebelumnya tertutup, boleh tersingkap dengan jelas. Kian nampak mana yang baik dan mana yang buruk dalam perkara apa pun termasuklah dalam pergaulan dan persaudaraan Islam.


Tidak Ada Manusia Yang Serba Sempurna

Ketika ini tidak ada manusia yang sempurna dalam segala perkara bahkan sentiasa sahaja ada kekurangan.

Boleh jadi :

1. Ada yang bagus dalam rupa paras, tapi ada kekurangan dalam gaya bicara.

2. Ada yang bagus dalam penguasaan ilmu, tapi tidak mampu menguasai emosi kalau ada singgungan.

3. Ada yang kuat di satu segi, tapi lemah di sudut yang lain.

Dari situlah seorang mukmin mesti cermat untuk mengukur, menimbang dan membuat penilaian terhadap seseorang. Apa kekurangan dan kesalahannya. Kenapa boleh berlaku begitu dan seterusnya.

Walau bagaimanapun keadaan orang yang sedang dinilai, keadilan tidak boleh dilupakan meskipun terhadap orang yang tidak disukai. Yakinlah bahwa di sebalik keburukan sifat seorang mukmin, pasti ada kebaikan di sisi yang lain. Tidak boleh main `pukul rata': "Ah, orang seperti itu memang tidak berkelakuan baik!"

Allah swt. meminta orang-orang yang beriman agar sentiasa bersikap adil. Firman-Nya dalam surah Al-Maidah ayat 8, "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang sentiasa menegakkan (kebenaran) kerana Allah; menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Dari timbangan yang adil itulah, penilaian akan menjadi seimbang. Tidak serta-merta mengecap bahwa orang itu pasti salah. Mungkin, ada sebab yang membuatkan ia lalai, lengah dan kehilangan pengendalian diri. Bahkan boleh jadi, jika pada posisi dan situasi yang sama, kita pun tidak lebih bagus dari orang yang kita nilai.


Kekurangan Diri Seorang Mukmin Merupakan Ujian Terhadap Mukmin Yang Lain

Hubungan sesama mukmin adalah seperti satu tubuh. Ada keterkaitan yang begitu kuat. Sakit di salah satu bahagian tubuh, bererti sakit pula di bahagian yang lain. Aib pada diri seorang mukmin, bererti aib pula buat mukmin yang lain.

Setidak-tidaknya, ada dua ujian buat seorang mukmin ketika keaiban saudaranya tersingkap:

Pertama, kesabaran untuk menanggung keburukan secara bersama.

Siapa lagi yang layak memberi kritikan dan arahan kalau bukan saudara sesama mukmin. Ini kerana dialah yang lebih faham keadaan daya tahan keimanan saudaranya sesama mukmin. Sabar untuk sentiasa menegur, mendekati dan memberi penyelesaian.

Kedua, kesabaran untuk tidak menyebarkan keburukan saudaranya kepada orang lain.

Ini memang sukar kerana lidah kerap tersasul dan sentiasa sahaja tergelincir untuk menyampaikan isu-isu baru yang menarik minat orang ramai. Tapi sayangnya, sesuatu yang menarik buat seseorang itu kadang-kadang menjadi sesuatu yang buruk buat mereka atau objek yang dibicarakan.

Di situlah ujian seorang mukmin untuk mampu memilih dan menilai. Mana yang perlu dikhabarkan dan mana yang mesti dirahsiakan.

Rasulullah saw bersabda, "Tidak akan masuk syurga orang yang suka mendengar-dengar berita rahsia orang lain." (HR Al-Bukhari)


Tatapilah Kekurangan Diri Sebelum Menilai Kekurangan Orang Lain

Ego manusia sentiasa membisikkan `Sayalah yang sentiasa baik dan yang lain buruk'.

Dominasi ego seperti inilah yang kerapkali membuatkan timbangan penilaian jadi tidak adil. Kesalahan dan kekurangan orang lain begitu jelas, tapi kekurangan diri tidak pernah terasa dan terlihat. Padahal, kalau bukan kerana anugerah Allah berupa tertutupnya aib diri sendiri, tentunya orang lain pun akan secara jelas menemui aib kita.

Sebelum memberi reaksi terhadap aib orang lain, lihatlah secara jernih apakah mutu diri kita sendiri. Lebih baikkah? atau jangan-jangan lebih buruk lagi. Dari situlah ucapan syukur dan istighfar mengalir dari hati yang paling dalam. Syukur kalau diri ternyata lebih baik dan istighfar jika terlihat bahwa diri sendiri lebih buruk.

Tatapilah aib saudara mukmin lain dengan pandangan baik sangka:

1. Mungkin ia terpaksa.
2. Mungkin itulah pilihan buruk dari sekian banyak yang terburuk.
3. Mungkin langkah dia jauh lebih baik dari kita jika berada pada situasi dan keadaan yang sama.


Membuka Aib Seorang Mukmin Bererti Memperlihatkan Aib Sendiri

Seorang mukmin dengan mukmin lainnya adalah bersaudara. Sebuah persaudaraan yang jauh lebih kuat berbanding satu ayah dan satu ibu kerana Allah sendiri yang menyatakan kekuatan persaudaraan itu: "Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara." (QS Al-Hujurat: 10)

Ketika seorang mukmin membuka dan menyebarkan aib saudaranya, ada dua kesalahan yang dilakukan sekaligus:

Pertama, citra keagungan orang-orang beriman telah dikotori.

Reaksi spontan yang muncul boleh memalukan umat Islam, "Ya, sama sahaja, keimanan tidak boleh menjadi jaminan!" dan seterusnya.

Kedua, orang yang gemar menyebarkan aib saudaranya sebenarnya tanpa sedar sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli.

Di antara jati dirinya yang tersingkap adalah:

1. Tidak boleh memegang rahsia
2. Lemah semangat kesetiakawan
3. Penyebar berita bohong

Semakin banyak aib yang ia sebarkan, semakin jelas pula keburukan diri si penyebar.

Benarlah apa yang dinasihatkan oleh Rasulullah saw bahwa diam adalah pilihan terbaik ketika tidak ada bahan ucapan yang baik.

Simpanlah aib seorang teman dan saudara sesama mukmin kerana dengan berbuat begitu; kelak, Allah swt akan menutup aib kita di hadapan manusia di akhirat nanti.

Ya Allah, jadikanlah kami umat yang sentiasa memberi teguran dan nasihat di atas perkara kebenaran dan sentiasa menetapi kesabaran di atas segala ujian dan fitnah yang berlaku terhadap sesama mukmin atau dilakukan oleh orang-orang kafir. Berilah kekuatan dan keteguhan iman untuk kami mampu bertahan dan tidak menyebarkan keaiban dan kelemahan saudara-saudara kami kerana akhirnya ia memberi kesan kepada diri kami sendiri samada di dunia atau di akhirat.

Ameen Ya Rabbal Alameen.

Oleh: WAS (wan_ahmad2007@yahoo.com) Mail tulisan ini kepada rakan

Thursday, November 05, 2009

Perbezaan Fikrah Bukan Isu Disiplin

Untuk para daie...

Mungkin hati ini gundah gelana pada tika dan saat ini. Ditambah pula dengan musim peperiksaan yang bakal tiba.

Ku doakan...

Moga hati sentiasa tenteram dalam menghadapi hari-hari mendatang. Moga tsabat dalam jalan dakwah ini. Dan moga kita terus beramal, wala apa pun kata orang ramai.

Ingin disertakan tulisan dari Ustaz Abdullah Zaik, supaya hati-hati ini tenang untuk terus beramal!!

Perbezaan Fikrah Bukan Isu Disiplin

Kadang-kadang berlaku perselisihan dalam satu-satu tindakan, setengah pihak melihat dari satu sudut dan pihak yang lain melihat dari sudut yang lain. Kesilapan menanggapi hakikat disebalik perbezaan ini boleh menyebabkan perselisihan dan boleh menyebabkan mereka yang cetek pandangannya melakukan tindakan yang tidak berasas.

Kita tahu perbezaan dalam menanggapi sesuatu boleh berlaku berdasarkan tahap ketajaman pandangan dan kemanpuan menyelami dimensi-dimensi yang tersirat disebalik satu-satu kes atau peristiwa.

Mari kita menyelami hakikat ini di sebalik cerita dan dialog yang berlaku antara Musa a.s dan Khidhir a.s yang diceritakan oleh Allah s.w.t dalam surah al-Kahfi.

Perbezaan-perbezaan ini menyebabkan mereka tidak boleh bersama. Musa a.s sering muhasabah Khidir a.s dari segi disiplin ilmu yang dibawa olehNya tetapi Khidir a.s punya penglihatan dari dimensi yang lain. Kisah itu sendiri merupakan pelajaran yang mahu didedahkan oleh Allah s.w.t kepada Musa a.s dan kepada sesiapa yang memiliki tanggapan zahir sahaja seperti Musa a.s.

Allah s.w.t memerintah Musa a.s supaya pergi mencari Khidir a.s dan minta untuk mengikutinya. Dari sikap dan cara Musa a.s, Khidir a.s sudah tahu bahawa Dia tidak mungkin dapat mengikuti beliau. Tetapi kerana ingin tahu apa rahsia Khidir a.s sehingga Allah s.w.t suruh beliau pergi berjumpa denganya, Musa a.s mendesak untuk bersamanya. Inilah pejaran Allah s..w.t mahu kita belajar dari peristiwa ini bersama Musa a.s.

Sepanjang bersama Khidir a.s, Musa a.s berhadapan dengan tiga peristiwa penting.

Semua kita tahu kisah-kisah ini, tidak perlu saya sebutkan secara terperinci.

Peristiwa pertama, mereka menaiki sampan yang masih elok, lalu Khidir a.s mengkapak sampan tersebut sehingga cacat, pada hal mereka ditumpang dengan belas kasihan tuan punya sampan. Kenapa Khidir a.s buat begitu sedangkan ia boleh menyebabkan sampan itu tenggelam bersama orang diatas. Ini satu yang sangat mungkar pada pandangan

Musa a.s.

Peristiwa kedua, mereka meneruskan perjalanan dan berjumpa dengan sekumpulan budak yang sedang bermain, lalu Khidir a.s menghampiri seorang budak dan membunuh budak tersebut tanpa apa-apa kesalahan. Ini pun dari segi disiplin ajaran Musa a.s satu kesalahan besar.

Peristiwa ketiga, Khidir a.s pula telajak baik apabila memberi pertolongan percuma kepada penduduk sebuah kampung yang enggan memberi mereka makan dengan membetulkan tembok yang hampir runtuh . Itu pun tidak patut mengikut ilmu Musa a.s. Kalau hendak, Musa a.s boleh minta upah dan mereka boleh beli makanan. Mereka yang kelaparan, enggan dibantu oleh penduduk kampung tidak patut memberi pertolongan percuma. Musa a.s melihat zahir pertolongan kepada penduduk kampung tetapi tidak melihat hakikat sebenar yang jauh langsung dari apa yang dilihat oleg Musa a.s, iaitu menjaga hak kepentingan yatim.

Lihat pendirian dan sikap Musa a.s berdepan dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Khidir a.s. Allah s.w.t tidak kutuk Musa a.s secara terang tetapi mahu Musa a.s belajar bahawa ada ukuran lain dalam setiap peristiwa. Bagi Musa a.s, mungkin Khidir a.s telah melakukan pelanggaran disiplin, kesalahan besar, dan tindakan tidak matang, tetapi Allah s.w.t membetulkan persepsi Musa melalui lisan Khidir a.s. Allah s.w.t mahu Musa a.s mendengar penjelasan.

Khidir a.s menjelaskan sebab ia merosakkan sampan ialah kerana disana ada raja zalim yang akan merampas semua sampan yang elok. Jadi apa yang dilakukan oleh Khidir a.s ada menyelematkan sampan bukan merosakkan sampan seperti yang difahami oleh Musa a.s. Lebih berbudi kepada tuan punya sampan bukan tidak mengenang budi seperti yang disangka oleh Musa a.s.

Adapun sebab ia membunuh budak itu ialah kerana ingin menyelamat dua ibu-bapa yang beriman. Budak itu jika dibiarkan membesar akan merahakkan ibu bapanya dan menjadi anak yang derhaka. Jadi menjaga kepentingan ibu bapa yang beriman lebih besar maslahahnya dari memelihara satu nyawa yang bakal menjadi kufur dan derhaka.

Manakala tembok itu, diperbetulkan untuk menjaga hak anak yatim supaya ia terpelihara dan dapat memanfaatkannya apabila mereka besar nanti. Ia bukan sekadar membetulkan tembok untuk kepentingan orang kampung yang sombong tetapi untuk memelihara khazanah untuk kepentingan anak yatim pada satu masa nanti.

Kalau kita perhatikan alasan-alasan yang dikemukakan oleh Khidir a.s bukanlah semetinya dari ilmu ghaib bahkan ia satu perkara biasa bagi mereka yang mengakaji memiliki ilmu yang luas terhadap latarbelakang sosio politik dan sejarah satu-satu masyarakat. Mungkin ia diperolehi oleh Khidir a.s tanpa belajar maka ia dinamakan ilmu “ladunni” yakni ilmu dari sisi tuhan.

Demikianlah satu pelajaran penting yang dibawa oleh Allah bukan sahaja pengajaran kepada Musa a.s tetapi juga kepada kita semua hingga akhir zaman. Bahawa memahami dan memelihara maqasid amat penting dalam usaha kita berkerja untuk melaksanakan syarak. Kita tidak boleh memisahkan antara nas dan ruh, antara hukum fekah dan maqasid syariat. Terlalu rigik dengan teks atau nas boleh menyebabkan kita mengabaikan maqasid syariat walaupun pada zahirnya kita melaksanakan kehendak nas.

Kadang kadang kita berdepan dengan suasana apabila berpengan dengan zahir nas menyebabkan pengabaian kepada maqasid dan tujuan perlaksanaan satu satu kewajiban. Dalam keadaan ini adakah kita perlu kaku dengan nas atau kita perlu mencipta zariah (jalan-jalan) lain yang membolehkan kita menunaikan tanggunjawab mentahkik maqasisd syariah sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah.

Dari kisah Musa a.s dan Khidir a.s kita dapat faham bahawa Khidir a.s telah melakukan khirqah-khirqah (pencarikan kepada sistem) demi mentahkikkan maslahah syarak yang sebenar atau lebih besar.

Wednesday, November 04, 2009

Kenapa pilih jalan tarbiyah?

Ketika Abdullah bin Rawahah diangkat menjadi panglima dalam perang Mu’tah, beliau menerimanya dengan cucuran air mata. Lantas para sahabat bertanya: “Apa yang membuat engkau menangis wahai Abdullah?" Jawab beliau: “Tidak ada rasa cinta pada diriku akan dunia serta keinginan untuk dipuja oleh kalian, tetapi aku teringat ketika Rasulullah mengingatkan aku dengan firmanNya: "Dan tidaklah dari kalian melainkan akan mendatanginya neraka Jahanam, dan yang demikian itu bagi Tuhanmu merupakan hatman maqdhiyya (satu ketentuan)" (QS Maryam: 71).

Inilah perasaan yang terbit dari benak Abdullah bin Rawahah ketika beliau mentadabbur ayat al-Quran dan menghubungkannya dengan jawatan yang diamanahkan kepadanya. Rasa risau dan bimbang jika amanah ini tidak dapat menyelamatkannya dari menghadapi kesengsaraan neraka Jahanam. Ia mengingatkan bahawa menghadapi neraka Jahanam merupakan satu kepastian, satu ketetapan yang tidak dapat dielakkan (Hatman Maqdhiyya).

Begitulah tarbiyah juga merupakan satu kepastian, satu ketentuan (hatman maqdhiyya) dalam projek membina peradaban ummah. Tidak ada pilihan dan alternatif lain, hanya tarbiyah jalan menuju kepada mencapai target dan sasaran tersebut. Inilah jalan yang lurus, jalan para nabi, jalan para rasul dan jalan salafussoleh. Jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat ridwanullahi ‘alaihim ajmaeen. Jalan yang telah terbukti berjaya dan ampuh, biar pun segala halangan dan pancaroba menimpa. Allah menjelaskannya di dalam firmanNya di dalam surah Al- ‘An’aam, ayat 153: "Dan sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan lain kerana itu mencerai beraikan kamu dari jalan Allah, yang demikian itu Allah mewasiatkan kamu supaya bertaqwa."

Kalimah ‘siraati mustaqima’ didatangkan dari kata mufrad (satu) sedangkan larangan mengikut ‘subul’ disebut dengan kalimah jamak (plural). Allah menegaskan bahawa jalan ini hanya satu, bukan dua, bukan tiga, itulah jalan yang telah dilalui oleh para Rasul dan generasi silam sedangkan larangan dengan menggunakan kata jamak menunjukkan di sana ada pelbagai method yang boleh membawa kepada perpecahan, penyelewengan, tafarruq dan penyimpangan dalam manhaj amal. Di dalam al-Quran Allah telah mempakejkan kalimah ‘siraat’ dalam bentuk mufrad sahaja dan dikaitkan dengan kalimah ‘mustaqim’ bagi menzahirkan bahawa jalan dakwah ini, jalan tarbiyah ini adalah jalan yang satu dan ia membawa kepada istiqamah manhaj, istiqamah amal dan istiqamah ad-deen. Ini juga terangkum dalam surah al-Fatihah: "Ihdinas siraatal mustaqim."

Kenapa jalan ini menjadi pilihan para da’ie? Kenapa jalan ini perlu kita lalui? Kenapa kita tidak memilih jalan-jalan lain? Barangkali jalan-jalan lain mampu mempercepatkan proses memegang tampuk kekuasaan, mensejajarkan bulatan pengaruh dakwah atau melestarikan organisasi di mata masyarakat.

Ya, sememangnya kita akui dan fahami bahawa jalan yang kita pilih ini adalah jalan yang kita warisi dari Rasulullah SAW, jalan yang telah diperakui oleh para mujtahid dakwah dan harakah, hasil penelaahan dan pengkajian mendalam terhadap perjalanan sirah baginda SAW dan terbukti berjaya. Kita memilih jalan ini kerana:


1. Sukar tapi kukuh (Sha’bun – thabit)

Memilih jalan ini bermakna kita perlu melalui kepayahan dan kesukaran. Tarbiyah itu menyamai kepayahan dan kesusahan. Betapa sulit dan sukarnya proses ini untuk melahirkan hasil-hasil yang berkualiti. Bayangkan generasi terawal yang memeluk Islam di peringkat permulaan dakwah hanya sekitar 40-50 orang. Mereka inilah yang menjadi tulang punggung dakwah Rasulullah SAW. Mereka bukan sekadar menyahut seruan dakwah tetapi mempersiapkan diri menjadi agent of change (Anashiruttaghyir).

Berdakwah itu memang tidak mudah kerana dakwah memerlukan proses dan pembinaan (takween). Anologi yang paling mudah bagi tarbiyah ialah seperti menanam sepohon pokok. Pokok tersebut harus dijaga, dipelihara, dibajai, disirami, dikawal dari diceroboh binatang-binatang buas, juga terpaksa menghadapi ribut taufan, angin kencang, panas terik sehingga ia tumbuh membesar, kuat dan utuh, menghasilkan buah-buah ranum dan berkualiti yang boleh dimakan oleh orang lain.

Begitulah tarbiyah, ia proses membina peribadi yang kuat, kader yang berkualiti dari sudut fikri dan tanzimi sehingga ia menjadi batu-bata kepada binaan daulah. Tarbiyah yang mampu melahirkan perajurit dan rijal seperti para Sahabat r.a. Lihatlah sikap Kaab bin Malik yang tidak menerima tawaran utusan kerajaan Ghassan ketika saat beliau dipulau akibat tidak turut serta dalam jihad. Beliau tidak menerima suaka politik dan perlindungan tersebut, bahkan tarbiyah menjadikannya thabat dan menanti pengampunan Allah dan rasul.


2. Panjang tapi asli (Thawil – ashil)

Jalan dakwah ini adalah jalan yang panjang. Jalan yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Ia merupakan siri mata rantai perjuangan yang saling berkesinambungan untuk mencapai sasaran dan matlamat dakwah. Dalam perang Khandak, Rasulullah SAW memberikan khabar gembira pembukaan Kota Rom. Namun sejarah telah menyaksikan bahawa Rom dibuka dan ditakluk oleh umat Islam pada masa kerajaan Uthmaniyah. Hakikat ini menunjukkan betapa panjangnya perjalanan dakwah ini dilalui, berapa banyak generasi dilewati, berapa banyak kader bersilih ganti, berapa banyak rijal dijualbeli fi sabilillah tetapi keasholahan dakwah dan tarbiyah tetap dijaga. Asas dan pasak yang telah dimulakan oleh Rasulullah dan kemudian dilanjutkan oleh para sahabat Rodiallahu ‘anhum wa rodhu’anhu.

Rijal yang memiliki asolah dakwah dan asolah tarbiyah adalah rijal yang telah teruji keasolahan fikrahnya, keasolahan manhaj amalnya hasil dari tarbiyah biar pun panjang perjalanan dakwah ini. Syeikh Mustafa Mahsyur menyatakan antara ciri dakwah Ikhwan ialah al-Asolah (keaslian dan ketulenan) manhaj dan fikrahnya. Sifat Asolah ini menjadikan rijal tadi tegar, utuh, thabat dengan mehnah dan ujian di jalan dakwah, sosok peribadi yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.

Sifat asolah dan tajarrud pada dakwah serta hasil tarbiyah yang berkualiti terkamir pada sosok tubuh Abu Talhah RA yang hidup hingga zaman Khalifah Uthman bin Affan. Apabila tiba panggilan semboyan jihad dan menuntut untuk mengharungi lautan bagi menghadapi Rom, beliau tanpa berlengah-lengah terus menyahut panggilan tersebut sehingga beliau gugur di perbatasan medan jihad sebagai syahid.

Dengan tarbiyah jualah telah menjadikan 10 orang para sahabat yang dijamin syurga, yang menjawat jawatan khalifah atau jawatan gabenor tidak merasa terpesona dengan dugaan duniawi, rasa besar atau gah tetapi merasa kerdil di sisi Allah swt.

Begitulah kita melihat ramai ikhwan yang telah dipenjara, ditangkap, dibunuh tetapi mereka tetap thabat, teguh bersama di atas jalan dakwah. Hakikatnya jalan ini panjang tapi terpelihara keasholahannya. Hanya dengan jalan tarbiyah dapat memaintainkan kita terus berada dalam kafilah dakwah.


3. Lambat tapi terjamin (Bathi’ – ma’mun)

Tabiat jalan dakwah ini lambat tetapi terjamin hasilnya. Dakwah ini ibarat larian marathon bukan larian sprint. Biarpun lambat tetapi akan sampai ke garisannya jua. Lihatlah dua anologi berbeza antara karektor kura-kura dan arnab. Sifat ghurur dan takjub pada diri serta berasa selesa akan membawa padah dalam perjalanan berbeza dengan kura-kura yang menyedari hakikat dirinya walaupun lambat namun kesabaran, kesungguhan mengusungnya sampai ke garisan penamat dan dia menjadi pemenang. Satu perjuangan yang memerlukan nafas panjang (nafsu thowil). Itulah jalan tarbiyah.

Jalan tarbiyah yang berbeza dengan jalan siasi. Jalan politik melihat kepada habuan segera, menggunakan kaedah matlamat menghalalkan cara, eksploitasi, penipuan yang akhirnya membawa bencana dalam perjuangan.

Mana-mana Harakah Islamiah yang mengabaikan aspek tarbiyah dan pembinaan dalaman akan membawa kepada kegagalan biarpun nampak hasilnya di peringkat permulaan. Kalau dapat pun, ia tidak kukuh dan bertahan lama. Memprioritikan amal politik dari amal tarbawi merupakan penyelewengan dari jalan dakwah. Seerah menunjukkan Rasulullah memberikan penekanan kepada jalan tarbiyah dan menolak metodologi siasi dalam amal dakwah baginda. Kita adalah du’at ilallah sebelum menjadi du’at siasi.

Cukuplah penolakan Rasulullah SAW kepada tawaran pembesar Quraish untuk berada di tampuk kekuasaan sebagai bukti bahawa dakwah ini berdiri di atas jalan tarbiyah. Dakwah ini perlu melalui kesukaran dan kepayahan bukan mengharap natijah yang segera dan cepat. Ingatlah pesanan al-Banna kepada golongan yang ‘isti’jal (tergesa-gesa), yang ingin memetik hasilnya sebelum tiba masanya sebagai panduan berguna untuk kita.

Ketika berlaku fitnah hadith al-Ifki terhadap Saidatina Aisyah RA, kita dapat melihat sikap isteri Abu Ayyub al-Ansori yang menjaga lisannya dari melemparkan kata-kata fitnah terhadap Saidatina Aisyah RA di saat ramai manusia menyebarluas finah keji ini. Inilah gambaran Sohabiyah yang terdidik dari madrasah Rasulullah yang mewakili contoh keperibadian tarbawi yang terjamin keasholahan dakwahnya. Hasil tarbiyah inilah yang membentuk isteri Abu Ayyub al-Ansori tidak tergamak untuk melakukan fitnah dan buruk sangka kepada Ummul Mukminin Aisyah RA.

Dari sudut taktikalnya, jalan tarbiyah ini dapat menyeimbangkan keperluan dakwah dengan bilangan kader. Tanpa tarbiyah tidak mungkin lahir kader-kader yang mampu menampung perluasan amal medan. Jadi, dengan jalan tarbiyah dapat mensejajarkan sokongan massa dengan potensi tarbiyah. Tanpa jalan tarbiyah ini, maka tidak akan wujud barisan du’at atau murabbi yang dapat memenuhi keperluan dakwah dan garapan umum.

Secara strateginya, jalan tarbiyah ini akan melahirkan pewaris dakwah baru bagi melengkapkan peta perjalanan dakwah dalam kerangka membina projek peradaban umat berpaksikan maratib amal 7. Jika tidak diberi perhatian akan wujud kesenjangan antara dua generasi yang berakhirnya dengan ‘Lose of Generation’. Penyakit kepupusan generasi atau hilang taurith adalah akibat penumpuan kepada gaya amal siasi dari menumpukan gaya amal tarbawi. Kata-kata Syeikh Muhammad Ar-Rasyid ‘attarkiz la attakshir’ (penumpuan bukan meramaikan) boleh dijadikan asas dalam amal takween (pembinaan).

Bayangkan ketika berlaku gerakan Riddah di zaman Saidina Abu Bakar RA, para sahabat yang ditarbiyah inilah menjadi Qaedah Sulbah mempertahankan Islam dan memerangi golongan yang murtad. Begitu juga, tenaga da’ie yang dibentuk pada zaman Saidina Umar al-Khattab, dalam tempoh tidak sampai satu tahun telah bersedia memikul tugas jihad dan berada di posisi hadapan sama ada sebagai komandan atau panglima perang. Semuanya ini adalah hasil produk jalan tarbiyah.

Justeru itu jalan tarbiyah adalah jalan yang paling selamat, terjamin kualiti, hasil produktif dan bertahan lama. Pilihlah jalan tarbiyah.

Photobucket
Ustaz Azizee bin Hasan,
YDP ISMA Seremban

Blog: Petunjuk Sepanjang Jalan

Monday, November 02, 2009

Deklarasi Balfour: 90 tahun sudah berlalu

Deklarasi Balfour (1917) ialah satu surat bertarikh 2 November 1917 dari Menteri Luar Britain yang bernama Arthur James Balfour kepada Lord Rothschild, pemimpin komuniti Yahudi Inggeris, untuk dikirimkan kepada Zionis.

Surat itu menyatakan polisi yang dipersetujui dalam mesyuarat kabinet Inggeris pada 31 Oktober 1917 iaitu antara lain menyebut bahawa pemerintah Inggeris menyokong rancangan-rancangan Zionis mewujudkan negara Yahudi di Palestin. Dalam erti kata lain, deklarasi tersebut telah memberikan hak kepada Yahudi menduduki dan menjajahi bumi Palestin serta membentuk negara haram Israel. Ia merupakan batu asas penjajahan ke atas bumi Palestin yang diletakkan oleh Britain dan bermulanya dengan rasminya penafian hak kewujudan rakyat Palestin ke atas bumi dan tanah air mereka sendiri.

Deklarasi Balfour sebenarnya dikeluarkan oleh pihak yang tidak memiliki apa-apa hak ke atas bumi Islam Palestin iaitu Inggeris kepada pihak yang tidak berhak menerimanya iaitu Yahudi untuk membina negara haram Israel. Ia adalah semata-mata untuk kepentingan Inggeris bagi menyelesaikan masalah Yahudi di Eropah, ingin memecahbelahkan kesatuan umat Islam di dunia Arab serta bermatlamat memudahkan negara-negara Barat membuat percaturan politik mereka di Timur Tengah dan merealisasikan kepentingan mereka setelah wujudnya negara Yahudi iaitu Israel.

Bumi Palestin adalah negara nenek moyang bangsa Arab dan umat Islam. Oleh karena itu, siapapun tidak boleh menyerahkan walau satu jengkal pun tanah yang sudah menjadi milik bangsa Arab dan umat Islam secara turun temurun sejak ribuan tahun yang lalu. Kesepakatan apapun dalam rangka menghapus hak rasmi bangsa Arab adalah tidak sah.

Pihak Inggeris wajib dipersoalkan dan mesti bertanggungjawab di atas segala bentuk pembantaian, pengusiran, penjajahan, pembunuhan dan seumpamanya terhadap bumi Palestin kerana pihak mereka yang telah menempatkan Israel di bumi Palestin tersebut. Begitu juga, dunia antarabangsa harus sama-sama bertanggungjawab dari sudut sejarah dan moral di atas apa yang terjadi akibat deklarasi Balfour itu.

Kejayaan Yahudi melaksanakan deklarasi tersebut bukan bererti kekuatan yang ada pada mereka tetapi kerana bangsa Arab khususnya pemimpin-pemimpin dunia Arab tidak bersatu, masalah bangsa Arab yang tidak memanfaatkan sumber daya yang ada pada diri mereka sendiri dan tidak memiliki keimanan yang mendalam dan mereka juga tidak serius dalam melakukan penentangan terhadap Israel.

Bagi terus menghadapi dan menentang penjajah Yahudi, semua pihak perlu jujur dan bersungguh-sungguh dalam menangani masalah bumi Palestin dan jangan sekali-kali menjalinkan hubungan dan menyokong pihak musuh Israel yang setiap hari membunuh dan menyembelih rakyat Palestin. Kesatuan amat penting bagi menghadapi konspirasi antarabangsa terhadap Palestin dan menyelesaikan masalah Palestin sekarang ini.

Berikut ialah kandungan teks surat deklarasi Balfour:

Photobucket

Sumber: Laman Web Aman Palestin

Bekas Mufti ditahan, mengajar tanpa tauliah

mazaa1

Bekas Mufti Perlis, As-Sohibus As-Samahah Dr Mohd Asri Zainal Abidin ditahan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) malam tadi kerana mengajar tanpa tauliah. Dr Asri atau juga dikenali Dr. MAZA, adalah graduan B.A (Hons) B. Arab/Syariah University Of Jordan, M.A Pengajian Islam USM, Ph.D Al-Quran And Sunnah Studies, UIA (2003), mendapat 5 ijazah sanad menerusi jalur ulama India (2001), menerima Anugerah Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis 1427H & 1429 serta anugerah Tokoh Ma’al Hijrah USM Tahun 1430H.

Sebaik saya tamat pengajian Islam & Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1997, saya dikurnia Tauliah Mengajar Agama oleh As-Sahibus As-Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Murtadza Syeikh Ahmad pada tahun yang sama. Surat Tauliah juga dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Oleh itu sefaham saya, Mufti sesebuah negerilah yang mentauliahkan guru-guru agama. Dengan itu umum beranggapan kedudukan Mufti dan keabsahannya melebihi guru-guru agama yang ditauliahkannya. Saya rasa alasan mengajar tanpa tauliah terhadap seorang tokoh dan ilmuan seperti Sahibus Samahah Dr Asri, adalah sukar diterima oleh masyarakat.

Beberapa bulan yang lalu, Dr Asri ditawarkan jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato Jamil Khir. Sejak jawatan itu ditawarkan, ada pihak-pihak yang kurang selesa lalu membuat bantahan dengan surat diserahkan kepada Yang Dipertuan Agung. Diantara isi kandungan surat tersebut ialah tuduhan Dr Asri tidak menganut aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah, keluar dari keempat-empat mazhab (Hanafi, Syafiemaka menolak hadis (riwayat) Al-Bukhary, mencerca Imam Al-Ghazali dan Imam An-Nawawi, mencerca/hina solat Hajat dan sebagainya.

Menurut beliau sebelum ini juga memang beliau mempunyai pandangan yang agak kontroversi seperti pandangan beliau terhadap pegawai pencegah maksiat mengintip kes-kes khalwat, penggunaan nama Allah di bible, tukar nama di ic disebabkan pertukaran agama, membelakangkan fatwa Majlis Fatwa tentang hukum yoga, tak bersetuju Majlis Fatwa berhimpun dalam perkara-perkara kecil seperti hukum memakai inai bercorak ditangan dan sebagainya.

Akon di KL 24.10.2009

Konsert artis tak berbaju Akon di Kuala Lumpur pada 24.10.2009 yang lalu berlangsung dengan jayanya dihadiri ribuan umat Malaysia. Bentuk didikan dan pengajaran ala-Barat kepada masyarakat di Malaysia oleh artis-artis tak bertauliah masih berleluasa setakat ini.

Saya menjangka untuk beberapa tempoh kedepan ini, umat Islam akan disibukkan dengan isu penangkapan Dr Asri, tawaran jawatan Yang Dipertua YADIM dan yang berkaitan, walaupun setelah Dr Asri dibebaskan dan jawatan tersebut telah ditolak. Ini adaah kerana kedudukan Dr Asri selaku bekas Mufti, YADIM mempunyai banyak NGO-NGO Islam dibawahnya, tawaran sebagai YDP YADIM dibuat oleh seorang menteri dalam program pimpinan UMNO yang dihadiri Perdana menteri sendiri, surat yang mebabitkan Yang Dipertuan Agung dan ditandatangani oleh Presiden Pertubuhan Peguan Syar’iyy sendiri dan sebagainya. Ia mungkin juga berkait dengan senerio politik di Malaysia, sejarah perselisihan diantara aliran tarikat-tarikat sufi dari zaman Abbasiyah di negara-negara Arab yang mengalir ke kumpulan-kumpulan Sufi di Malaysia hari ini, bertembung dengan aliran ulamak pro Ibu Taimiyah, Ibnu Qayyim, Asy-Syeikh Muhammad Abdul Wahab dan pengikutnya (Wahaby) yang mengalir ke kumpulan-kumpulan pro Salafi di tanahair kita hari ini.

Saya berharap agar isu dan pertembungan ini tidak memesongkan fokus umat Islam dalam membaiki dan meningkatkan iman dan akhlak mereka, berdepan dengan konspirasi musuh-musuh Islam di Barat dan Timur, dalam kita menuju cita-cita agar umat Islam mampu memimpin dan membimbing umat yang lain di Malaysia, rantau dan dunia ini.

Ustaz Halim www.inijalanku.wordpress.com

Friday, October 02, 2009

Isu Kebudayaan Malaysia-Indonesia: Di Manakah Harga Persaudaraan Akidah?

Pada masa kini, acap kali didengari tentang isu budaya yang ditiru-diciplak dari Indonesia oleh Malaysia. Sebelum-sebelum ini, sering kita dengar isu tentang batik, tarian pendet, kuda kepang dan pelbagai lagi kesenian dan kebudayaan yang mahu diakukan sebagai milik nasional negara mereka.

Baru-baru ini, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengarahkan setiap rakyat negara itu memakai batik atas menunjukkan gah kerana UNESCO telah mengumumkan hak perebutan warisan kebudayaan batik telah diberikan kepada negara Indonesia.

Media-media Indonesia juga banyak mewarwarkan tentang permasalahan tuntutan warisan kebudayaan yang mana, dikatakan banyak ditiru dan diambil oleh Malaysia. Banyak contoh-contohnya boleh dilihat dalam Youtube dan lain-lain. Sehinggakan rakyat Indonesia naik marah dan mahu mencari setiap rakyat Malaysia di Jakarta dan menghalau dengan buluh runcing. Bunuh? Mungkin?

Sebenarnya perkara ini merunsingkan hati setiap mukmin yang masih segar. Sedar akan nilai persaudaraan seIslam yang jauh... jauh ... jauh lebih bermakna dan lebih penting diutamakan dari ikatan kenegaraan dan kebudayaan sesama manusia.

"Sesungguhnya orang-orang beriman adalah bersaudara. Sebab itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan takutlah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat" (Al-Hujurat, 49: 10)

Sebenarnya isu ini dapat diselesaikan jika (dan hanya jika) setiap dari orang mukmin menjadikan mukmin yang lain sebagai saudara (ie. seperti adik-beradik, saudara sedarah sedaging etc.) mereka.

Mana mungkin saudara sanggup mencederakan saudara mereka sendiri. Kalau itu pun tidak sanggup, masakan sanggup untuk meleraikan ikatan ikatan yang telah tersimpul rapi dan kuat antara satu sama lain.

Isunya, bagi pandangan saya, bermula dari ukhuwah (ikatan hati) antara satu sama lain tidak kuat.

Kalau di Malaysia, kita mampu lihat akan kebenarannya (tidak perlu pergi jauh). Layanan kita kepada saudara seagama kita pun mungkin tidak sama. Pekerja-pekerja bangsa asing ini juga yang dikasari, dari segi fizikal ataupun spiritual. Orang Malaysia panggil bangsa lain (walaupun seakidah, seagama dengannya) dengan panggilan-panggilan yang tidak sedap didengari oleh orang itu sendiri.

"Indon! Bangla! Keling!"

Tidakkah mereka sedar yang barangkali orang yang mereka rasa tidak sama taraf dengan diri mereka sendiri. Padahal di sisi Allah, setiap mukmin adalah sama, kecuali takwa.

Maka, solusi terbaik adalah untuk kita merapatkan ukhuwah antara kita.

Malaysia dan Indonesia bukan sahaja disatukan oleh ikatan akidah, malah disatukan oleh ikatan bangsa, rumpun, dan bahasa yang sama. Asalnya orang Melayu. Dan orang Melayu, dari segi perlembagaan pun, adalah beragama Islam.

Tidak salah untuk mempunyai nilai kebudayaan yang sama, sebab orang Malaysia dan Indonesia datang dari rumpun yang sama. Asal yang sama. Malah sepatutnya nilai warisan kebudayaan yang sama inilah yang menyatu-padukan orang Melayu Islam, tanpa sempadan. Dan pada masa yang sama, kita saling menghormati.

Kita mampu melihat, khususnya di negara bukan Islam (contohnya di tempat saya, Adelaide, Australia) di mana ikatan ukhuwah antara orang Islam amat kuat sekali. Tambah-tambah lagi sesama orang Malaysia-Indonesia. Saling membantu dan melengkapi.

Oleh sebab itu, saya menyeru kepada bangsa serumpun saya, bersatulah atas dasar akidah kita yang serupa. Kerana Islam lah, kita hebat dan dipandang mulia oleh Allah SWT.

Insya Allah, kita mampu untuk bersatu.

Wassalam.

Friday, August 21, 2009

21 Ogos - Mengenang 40 tahun pembakaran Al-Aqsa

Photobucket

Al-Aqsa dibakar pelampau Yahudi pada 21 Ogos 1969.

Tanggal 21 Ogos adalah salah satu daripada tarikh hitam bagi umat Islam di seluruh dunia. Genap 40 tahun yang lalu pada 21 Ogos 1969, maruah umat Islam telah tercalar dengan satu penghinaan apabila Masjid Al-Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat Islam telah dibakar oleh pelampau Yahudi yang disokong kuat oleh golongan Kristian Zionis. Usaha terkutuk ini telah dilakukan oleh Michael Dennis Rohan yang berasal dari Australia.




Pada peristiwa tersebut, Michael Rohan telah menyalakan api di dalam Masjid Al-Aqsa untuk membakar hangus masjid dan sekaligus memusnahkannya. Api yang marak membakar hampir-hampir sahaja memusnahkan keseluruhan bangunan Masjid Al-Aqsa. Namun hasil usaha gigih dan tangkas oleh penduduk Islam di Baitul Maqdis selama sehari suntuk, akhirnya mereka berjaya memadamkan api tersebut.



Kejadian itu dianggap sebagai satu jenayah besar yang memilukan bagi umat Islam di seluruh dunia yang turut dirasai sehingga ke detik ini. Michael Rohan sebenarnya tidaklah bersedirian di dalam melakukan jenayah keji ini. Beliau mendapat sokongan padu dari rejim Zionis Israel yang mahu melihat Masjid Al-Aqsa lenyap dari muka bumi bagi meneruskan projek mereka untuk membina kuil Yahudi yang dikenali sebagai ‘Solomon Temple’ atau Haikal Sulaiman di dataran Baitul Maqdis tersebut.





Kemusnahan Al-Aqsa



Menurut ramai saksi, pasukan tentera Israel pada hari itu dengan sengaja telah menutup saluran paip air menuju ke Masjid Al-Aqsa agar agenda pembakaran yang dirancang dapat terus membakar keseluruhan bangunan masjid. Bahkan tentera Israel juga telah menghalang pasukan bomba dan warga Arab daripada memasuki kawasan masjid pada hari tersebut. Kebakaran itu merupakan antara detik yang terparah di dalam sejarah ancaman terhadap Masjid Al-Aqsa.



Aksi biadab dan ganas tersebut telah menyebabkan sebahagian besar Masjid Al-Aqsa mengalami kerosakan dan musnah menjadi arang termasuklah Mimbar Solahuddin al-Ayyubi yang bersejarah yang telah dibina sejak zaman Nuruddin al-Zinki, Mihrab Zakaria, Masjid Umar al-Khattab dan sebahagian besar daripada serambi masjid. Apabila dihitung dengan lebih teliti, kemusnahan tersebut melebihi sepertiga daripada keseluruhan kawasan masjid iaitu kira-kira 1500 meter persegi daripada 4400 meter persegi keluasan asal kawasan masjid. Turut musnah dalam kejadian tersebut adalah atap-atap masjid yang telah roboh menyembah bumi serta tiang-tiang yang indah dengan hiasan ayat-ayat al-Quran.



Photobucket



Penjenayah yang bertanggungjawab terhadap pembakaran tersebut, Michael Rohan telah ditangkap tetapi telah dibebaskan tanpa sebarang hukuman. Malahan beliau dengan rasa bongkaknya telah berkata bahawa apa yang dilakukannya adalah satu tanggungjawab agama sebagaimana yang termaktub di dalam ajaran kitab Talmud. Beliau turut menyatakan bahawa beliau telah berjaya di dalam melaksanakan misinya yang didakwa sebagai perintah dari tuhan. Mahkamah Israel sememangnya sentiasa bersandiwara apabila memutuskan bahawa Michael Rohan yang merupakan seorang doktor perubatan itu sebagai seorang yang tidak siuman dan hanya dikenakan tindakan dihantar pulang ke Australia.



Demikianlah, betapa gigihnya pengganas Zionis yang bekerja kuat siang dan malam memerah keringat serta menjalin kerjasama erat dengan rakan-rakan kroni. Mereka mempunyai objektif yang sama iaitu untuk menghapuskan Masjid Al-Aqsa dari muka bumi serta membuat persiapan demi persiapan bagi projek pembinaan kuil Yahudi impian mereka.





Organisation of Islamic Conference – OIC



Pembakaran Al-Aqsa telah menundang aksi protes dari seluruh dunia Islam bermula dari negara Maghribi di barat sehinggalah ke Indonesia di timur.



Beberapa pertemuan dan perundingan di peringkat regional dan internasional telah diadakan bagi menghentikan kemarahan umat Islam. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terpaksa mengadakan sidang tergempar dan telah mengeluarkan Resolusi 271 yang mengutuk Israel dan menyeru Israel agar menghentikan segala usaha yang bertujuan untuk merubah status Kota Baitul Maqdis (Jerusalem) dan pengyahudian Masjid Al-Aqsa.



Para pemimpin negara-negara Islam telah bergabung dan bersetuju untuk menubuhkan OIC ekoran dari kejadian pembakaran Masjid Al-Aqsa tersebut. Mereka telah mengadakan pertemuan tergempar di Rabat, ibu negara Maghribi serta telah menghasilkan beberapa resolusi bagi mencegah apa jua usaha penodaan Masjid Al-Aqsa. Namun sedihnya keputusan-keputusan itu semuanya hanya tinggal sebagai resolusi yang tidak berjaya dilaksanakan.



Peristiwa pembakaran Al-Aqsa pada tahun 1969 itu sebenarnya bukanlah peristiwa yang terakhir terhadapnya. Bahkan penodaan Masjid ke-3 suci bagi umat Islam ini semakin meruncing sehingga ke saat ini. Ternyata sekali bahawa PBB dan OIC telah terbukti gagal dalam menangani keselamatan dan kesucian Masjid Al-Aqsa.





Ancaman Yang Berterusan



Kesan pedih dari pembakaran Masjid Al-Aqsa pada tahun 1969 masih terus dirasai oleh dunia Islam sehingga ke saat ini. Pada 27 Januari 1982, sekelompok Yahudi radikal berjaya masuk ke Masjid Al-Aqsa untuk membakarnya sekali lagi namun usaha mereka berjaya dipatahkan.



Kemudian pada 14 Januari 1989, beberapa orang anggota (parlimen) Knesset Israel telah masuk ke Masjid Al-Aqsa dengan kawalan ketat pasukan rejim Zionis Israel dan di dalam Masjid Al-Aqsa mereka telah membaca kitab-kitab suci agama Yahudi mereka.



Seterusnya pada September 2000, mantan PM Israel Ariel Sharon, dengan kawalan ketenteraan yang sangat ketat dari pasukan militari rejim Zionis Israel telah melakukan kunjungan ke Masjid Al-Aqsa dan telah masuk ke dalam masjid itu. Beliau telah mengatakan bahawa lawatan tersebut adalah hak bagi rakyat Israel untuk melawat sebahagian dari tanah negara mereka. Kunjungan tokoh pengganas Sabra dan Shatila ini telah menyebabkan tercetusnya Intifada Al-Aqsa (kebangkitan rakyat Palestin).



Kini, setelah 40 tahun pembakaran Masjid Al-Aqsa, masih ada ribuan lagi anggota kelompok pengganas Zionis dan Yahudi radikal yang terus menanti kelalaian umat Islam untuk merobohkan Masjid Al-Aqsa yang diberkati itu.





Projek Pengyahudian Masjid Al-Aqsa



Masjid Al-Aqsa mula jatuh ke tangan penjajah Zionis pada bulan Jun 1967 dengan tertawannya bahagian timur Baitul Maqdis. Bermula dari peristiwa yang dikenali sebagai an-Naksah (malapetaka yang berulang) itu, Masjid Al-Aqsa telah terus menerus dinodai kesuciannya. Acapkali berlaku peristiwa demi peristiwa di masjid yang diberkati ini dengan kejadian yang begitu menguji perasaan dan hati sanubari umat Islam. Juga kerapkali berlaku ketegangan politik di dunia Islam disebabkan Masjid Al-Aqsa sentiasa diganggu-gugat kemuliaannya oleh golongan Yahudi radikal yang bersekongkol dengan rejim Zionis Israel.



Photobucket

Selain dari pembakaran masjid, banyak lagi jenayah Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa. Di antaranya ialah :-



1. Menghalang umat Islam dari menziarahi masjid ini

2. Menghalang usaha membaik-pulih Masjid Al-Aqsa yang rosak

3. Perampasan Tembok Buraq yang merupakan sebahagian dari Al-Aqsa

4. Mengadakan upacara agama Yahudi di dalam Al-Aqsa

5. Siri pengeboman secara terancang ke atas Masjid Al-Aqsa

6. Siri pembunuhan umat Islam di Masjid Al-Aqsa

7. Penggalian terowong yang besar lagi panjang di bawah masjid ini.



Sudah terlalu banyak kes jenayah yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap Masjid Al-Aqsa yang merupakan jantung hati umat Islam. Kesimpulannya, apa yang telah, sedang dan yang akan berlaku terhadap Masjid Al-Aqsa merupakan sesuatu yang sepatutnya sudah cukup untuk menyedarkan umat Islam dari terus lena dalam buaian mimpi.



Sebagai qiblat yang pertama bagi umat Islam, masjid yang ketiga suci serta bumi Isra’ dan Mi’raj, Masjid Al-Aqsa mesti diselamatkan dari kemusnahan dan kehancuran oleh tangan-tangan pengganas rejim Zionis dan pelampau Yahudi.





Tindakal praktikal bagi menyelamatkan Al-Aqsa



Sebenarnya banyak perkara yang praktikal yang boleh kita sumbangkan bagi menyelamatkan Masjid Al-Aqsa dari ancaman kemusnahan. Di antaranya ialah:



1. Bermula dengan diri kita, kenali sejarah Palestin dan kepentingan Masjid Al-Aqsa dalam aqidah umat Islam.

2. Didiklah keluarga dan masyarakat tentang keutamaan mengambil berat urusan umat Islam termasuk dengan apa yang berlaku di Palestin.

3. Tanam dan sebarkan kesedaran tentang status sebenar Masjid Al-Aqsa kepada masyarakat dengan apa jua cara.

4. Anjurkan program yang berkaitan dengan Masjid Al-Aqsa pada sambutan peristiwa Isra’ dan Mi’raj ataupun pada Hari Al-Aqsa Sedunia pada 21 Ogos nanti di masjid-masjid, sekolah-sekolah, kampus universiti dan di premis-premis yang lain.

5. Memberikan sumbangan kewangan kepada badan-badan yang memperjuangkan masa depan Masjid Al-Aqsa.

6. Memahamkan isu ini kepada pelbagai lapisan masyarakat di negara kita dan mengajak mereka untuk turut serta dalam agenda memperjuangkan kesucian Al-Aqsa.

7. Menyokong seruan pemboikotan ekonomi ke atas barangan musuh (Zionis) dan juga pendokong mereka.

8. Melibatkan golongan bukan Islam dalam isu ini di atas asas persefahaman bersama dan menyerlahkan dimensi kemanusiaan. Persefahaman ini adalah bertitik tolak daripada kefahaman yang benar, adil dan berdasarkan kemanusiaan.

9. Melonjakkan isu ini ke persada nasional dan antarabangsa kerana perjuangan pembebasan Al-Aqsa adalah isu yang menyatukan cita-cita dan hasrat umat Islam sejagat.

10. Berdoa kepada Allah swt agar Masjid Al-Aqsa diselamatkan dari musuh-musuh umat Islam dan kemuliaannya sentiasa terpeilhara.



Photobucket



Kita harus bertindak segera secara sistematik dan berterusan demi masa depan Masjid Al-Aqsa. Kita mesti melakukan tindakan secara pro-aktif sebelum rejim Zionis dan golongan yang bersekongkol dengannya berjaya di dalam melaksanakan cita-cita jahat mereka. Sebelum nasi menjadi bubur dan sebelum kita semua terlambat, mari kita berganding bahu dan mengorak langkah ke hadapan demi kesucian Al-Aqsa tercinta…





Prof Madya Dr Zainur Rashid Bin Zainuddin,

Naib YDP ISMA Cawangan Seremban.




Rujukan:



* Harun Yahya. Palestine – Zionism and Israel Terrorism. Islamic Book Service. Delhi 2003.

* Mahmud as-Sharatawi. Memory of Al-Aqsa Mosque Arson: Muslims’ Duty. 22 August 2005. http://www.islamonline.net

* Maszlee Malik. Al-Aqsa Dalam Bahaya. Kuala Lumpur 2006.

* Mohsen M.Saleh. History of Palestine. A Methodical Study of the Palestinian Struggle. Al-Falah Foundation. Cairo 2005.

* Tareq M. Suwaidan. Palestine – Yesterday, today and tomorrow. Ebbad Co. Kuwait 2006.

* United Nations Security Council Resolution 271 – September 15, 1969. http://www.un.org

* Yusuf Al Qardawi. Baitul Maqdis – Tanggungjawab Setiap Muslim. Pustaka Syuhada. Kuala Lumpur 1999.

Sunday, June 21, 2009

Sajak Seorang Tua Tentang Bandung Lautan Api

Bagaimana mungkin kita bernegara
Bila tidak mampu mempertahankan wilayahnya
Bagaimana mungkin kita berbangsa
Bila tidak mampu mempertahankan kepastian hidup
bersama ?
Itulah sebabnya
Kami tidak ikhlas
menyerahkan Bandung kepada tentara Inggris
dan akhirnya kami bumi hanguskan kota tercinta itu
sehingga menjadi lautan api
Kini batinku kembali mengenang
udara panas yang bergetar dan menggelombang,
bau asap, bau keringat
suara ledakan dipantulkan mega yang jingga, dan kaki
langit berwarna kesumba


Kami berlaga
memperjuangkan kelayakan hidup umat manusia.
Kedaulatan hidup bersama adalah sumber keadilan merata
yang bisa dialami dengan nyata
Mana mungkin itu bisa terjadi
di dalam penindasan dan penjajahan
Manusia mana
Akan membiarkan keturunannya hidup
tanpa jaminan kepastian ?


Hidup yang disyukuri adalah hidup yang diolah Hidup yang diperkembangkan dan hidup yang dipertahankan
Itulah sebabnya kami melawan penindasan
Kota Bandung berkobar menyala-nyala tapi kedaulatan
bangsa tetap terjaga


Kini aku sudah tua
Aku terjaga dari tidurku
di tengah malam di pegunungan
Bau apakah yang tercium olehku ?


Apakah ini bau asam medan laga tempo dulu
yang dibawa oleh mimpi kepadaku ?
Ataukah ini bau limbah pencemaran ?


Gemuruh apakah yang aku dengar ini ?
Apakah ini deru perjuangan masa silam
di tanah periangan ?
Ataukah gaduh hidup yang rusuh
karena dikhianati dewa keadilan.
Aku terkesiap. Sukmaku gagap. Apakah aku
dibangunkan oleh mimpi ?
Apakah aku tersentak
Oleh satu isyarat kehidupan ?
Di dalam kesunyian malam
Aku menyeru-nyeru kamu, putera-puteriku !
Apakah yang terjadi ?


Darah teman-temanku
Telah tumpah di Sukakarsa
Di Dayeuh Kolot
Di Kiara Condong
Di setiap jejak medan laga. Kini
Kami tersentak,
Terbangun bersama.
Putera-puteriku, apakah yang terjadi?
Apakah kamu bisa menjawab pertanyaan kami ?


Wahai teman-teman seperjuanganku yang dulu,
Apakah kita masih sama-sama setia
Membela keadilan hidup bersama


Manusia dari setiap angkatan bangsa
Akan mengalami saat tiba-tiba terjaga
Tersentak dalam kesendirian malam yang sunyi
Dan menghadapi pertanyaan zaman :
Apakah yang terjadi ?
Apakah yang telah kamu lakukan ?
Apakah yang sedang kamu lakukan ?
Dan, ya, hidup kita yang fana akan mempunyai makna
Dari jawaban yang kita berikan.

Oleh:W.S. Rendra

Sajak Seorang Tua Tentang Bandung Lautan Api adalah sebuah sajak yang didedikasikan untuk mengenang peristiwa Bandung Lautan Api yang terjadi di Kota Bandung pada tahun 1946.

Sunday, June 14, 2009

My early weekend of SWOT Vac

Gotong royong bersihkan rumah Meredith...




Melawat baby Husnun Nasihah bt Rozanizam..

Sunday, June 07, 2009

Saturday, May 30, 2009

Memaling diri dari orang bodoh

Ya Allah! Ampunilah kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui’ Amin! Amin! Amin! Ya Rahman! Ya Rahim! Ya Ghafur! Ya Rab bal A’lamin!.

Antara akhlak mulia Rasulullah saw adalah beliau tidak pernah marah kerana urusan peribadinya. Akhlak ini mewajibkan seorang daie supaya tidak emosi, sekiranya ia mendengar sindiran, tohmahan dan celaan terhadap dirinya, kerana ‘tipu helah kejahatan tidak akan menimpa kecuali ke atas pelakunya sendiri’ rujuk surah Fathir ayat 43. Bahkan Allah memberi jaminan akan melindungi para hambaNya yang soleh. ‘dan dia melindungi orang-orang yang soleh’ rujuk surah al A’raf ayat 196.

Jadi berpaling dari orang-orang yang jahil termasuk diantara salah satu makna kesolehan. Justeru itu seorang daie perlu menyedari bahawa cara menghadapi seteru dalam hal seperti ini tidaklah sekeras menghadapi musuh dalam medan pertempuran. Begitu juga dalam menghadapi musuh di medan perang tidak semestinya dengan cara menyerang saja, kadangkala dengan cara bersembunyi dan diam.

Ketika Abu Sufian berteriak dengan suaranya yang keras dan lantang terhadap kaum muslimin di perang Uhud; Apakah Muhammad masih ada di kalangan kamu? Apakah Abu Bakar masih hidup di kalangan kamu? Apakah Umar masih hidup di kalangan kamu? Tidak ada seorang yang menjawab, pada hal jawapan pada masa itu akan lebih membangkitan kemarahan Abu Sufian dari berdiam tanpa menjawab. Keadaan atau suasana ketika itu mengharuskan kaum muslimin untuk diam. Sikap berdiam ini di bolehkan ketika dalam medan peperangan, maka dalam kehidupan sehari-hari tentu adalah lebih utama lagi.

Wahai saudara-saudaraku yang dikasihi! Sesungguhnya kita adalah pendakwah, janganlah kita menjatuhkan darjat dakwah kita yang tinggi ke dalam lembah saling melemparkan ucapan-ucapan yang buruk. Allah swt tidak akan memaafkan kita apabila kita meninggalkan darjat kemuliaan yang telah dikurniakanNya kepada kita dengan alasan orang lain telah mengheret kita kepada kehinaan.

Ini kerana seorang mukmin tidak akan meninggalkan darjat keimanannya disebabkan oleh tipu rayu syaitan atau kejahilan orang-orang jahil. Kita mesti menggagalkan tujuan mereka dengan cara diam dan tidak menghiraukan hasutan mereka, disamping memandang mereka dengan rasa kasihan dan kasih sayang. Kita wajib berkata kepadanya ‘Ya Allah, ampunilah kami dan dia, tunjuklah kepada kami dan dia, janganlah Engkau menjadi kami marah kerana urusan peribadi dan janganlah Engkau jadikan sesuatu amal kami atas dasar hawa nafsu’

Mudah-mudahan dengan kita mengucapkan doa tersebut, hati kita akan dipenuhi oleh ketenangan dan ketenteraman, bahkan kita semakin merasakan nikmat dalam tugasan dakwah.


USTAZ Muhammad Bin Ismail
Blog 'Renungan'
http://ustmuhammad.wordpress.com/

Friday, May 29, 2009

Era Zionis Kian Berakhir

Gerakan Zionis adalah satu gerakan yang telah ditubuhkan di Eropah bagi memperjuangkan cita-cita dan nasib bangsa Yahudi yang berhadapan dengan pelbagai masalah di merata tempat dan negara terutamanya di Eropah. Gerakan ini adalah gerakan politik rasis yang menggunakan alasan agama dan semangat bangsa Yahudi yang menyeru untuk membina sebuah negara yang dikhususkan untuk orang Yahudi sahaja iaitu di Palestin. Kewujudan dan kemunculan gerakan ini sebenarnya telah disemarakkan lagi dengan permasalahan ideologi kebangsaan, kebangkitan golongan Protestan dan idea negara bangsa di Eropah terutamanya pada abad ke-19.

Tidak jauh perbezaan di antara kelompok penganut fahaman zionisma walaupun ada di kalangan mereka adalah dari golongan sekular, sosialis, athies mahupun golongan yang kuat beragama kerana hampir keseluruhan mereka memperjuangkan fahaman zionisma yang bertujuan untuk menguasai keseluruhan negara Palestin dan membina wilayah yang dikenali sebagai ‘Israel Raya’ di Asia Barat. Faktor kejayaan projek Zionis ini adalah bergantung kepada penindasan dan penjajahan yang mereka lakukan kepada rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Photobucket

Penganjuran Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis (KBAZ) oleh Aman Palestin dan PEMBINA semarakkan perjuangan membela Palestin di Malaysia.


Pencetus Penubuhan Negara Yahudi

Cadangan penubuhan negara khas untuk orang-orang Yahudi telah dibuat oleh seorang wartawan Hungari, Theodore Hertzl yang merupakan salah seorang pengasas gerakan Zionis di dalam gagasannya yang telah dibukukan di dalam Die Judem Stat (Negara Yahudi) pada 1896. Kewujudan Pertubuhan Yahudi Antarabangsa (WZO) melalui persidangannya yang pertama di Basle, Switzerland pada 27-29hb Ogos 1897 di bawah pimpinannya telah membuka era aktiviti politik Zionis, mengorak langkah kepada pembentukan negara Yahudi di Palestin.

Deklarasi Balfour

British yang merupakan sekutu kuat gerakan Zionis telah sentiasa menyebelahi mereka dengan mengisytiharkan Deklarasi Balfour pada 2hb November 1917 apabila kerajaan British telah memberikan sokongan dan jaminan bagi mewujudkan sebuah negara yang dikhususkan untuk bangsa Yahudi di Palestin. Selepas itu berlakulah penghijrahan beramai-ramai yang sistematik yang melibatkan ratusan ribu Yahudi Eropah dan Rusia ke Palestin. Sedikit demi sedikit tanah milik penduduk Palestin dirampas samada dengan cara kekerasan mahupun dengan cara penipuan oleh pendatang Yahudi.

Peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

Isu Palestin telah dibawa ke peringkat antarabangsa di atas tuntutan British yang meminta supaya PBB memasukkan isu tersebut ke dalam agendanya. Namun rentetan duka Palestin berpanjangan apabila sidang pleno PBB yang dipengaruhi Zionis telah mengeluarkan ‘Ketetapan 181’ yang malang pada 29hb November 1947 dengan membahagikan 2/3 tanah negara Palestin kepada pendatang haram Yahudi manakala bakinya yang kecil itu diberikan kepada rakyat Palestin yang sah.

Kelemahan Liga Negara Arab

Rakyat Palestin adalah di kalangan bangsa yang paling malang di dunia kerana mereka dilupakan oleh PBB, negara-negara Arab dan juga umat Islam sendiri. Ketika Zionis erat bekerjasama dengan British dan PBB demi mencapai cita-cita mereka, Liga Negara Arab pula gagal membantu perjuangan rakyat Palestin bagi mempertahankan hak-hak asasi mereka dalam mempertahankan kedaulatan Negara Palestin yang telah mereka diami sejak 4500 tahun lamanya. Dengan kekalahan yang mengaibkan tentera Arab di dalam peperangan ini dan diikuti dengan penaklukan 78 % bumi Palestin, Yahudi Zionis telah mengumumkan Negara “Israel” pada petang 14hb Mei 1948. British mengundurkan tentera dan pemerintahannya ke atas Palestin apabila Negara Israel yang merdeka diisytiharkan secara rasminya pada 15hb Mei 1948 dalam peristiwa yang dikenali sebagai Nakbah.

Photobucket

Detik-detik kekalahan rejim Zionis Israel semakin hampir.


NAKBAH Palestin

Kesan langsung dari Nakbah atau malapetaka 1948 ini ialah kekejaman pasukan tentera rejim Zionis yang telah bertindak mengusir lebih daripada 60 % rakyat Palestin (lebih kurang 800,000 orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar negara. Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin. Bahkan yang lebih perit lagi apabila nama Palestin telahpun lenyap dari peta dunia mulai tarikh tersebut.

Nakbah 1948 telah memusnahkan kehidupan rakyat Palestin yang telah hidup di Palestin sejak ribuan tahun lamanya. Adalah amat tidak adil apabila Zionis menjadikan Holocaust yang dilakukan oleh Nazi Jerman sebagai alasan untuk mereka membina rejim mereka di atas keperitan rakyat Palestin.

Jenayah ini disahkan lagi apabila PBB yang telah mengeluarkan lebih daripada 110 resolusi mereka supaya mengembalikan hak kira-kira 6.8 juta pelarian Palestin supaya dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka. Namun tiada satu pun daripada resolusi ini dilaksanakan oleh rejim Zionis.

61 Tahun Nakbah

Kini 61 tahun telah berlalunya Nakbah Palestin, namun rakyat dan negara Palestin terus diganyang rejim Zionis sehinggakan lebih daripada 90 % daripada tanah Palestin dikuasai Zionis, Masjid al-Aqsa yang diberkati terus dicabul kesuciannya, ribuan rakyat Palestin yang tak berdosa merengkok di dalam penjara Israel, ekonomi mereka disekat, jutaan di kalangan mereka menjadi pelarian dan tragedi demi tragedi dilakukan dengan penuh kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Penindasan, penodaan dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis ini terhadap rakyat dan negara Palestin telah berlarutan dalam tempoh yang amat panjang. Sudah tentulah ianya tidak harus dibiarkan begitu sahaja.

Entiti Zionis di Timur Tengah

Kewujudan entiti Zionis di tengah-tengah negara Arab dan dunia Islam itu didokongi dengan senjata-senjata pemusnah massa (WMD) termasuk lebih 200 bom nuklear dan kemampuan mereka mengumpulkan bala tentera lebih dari 700 ribu orang dalam masa 72 jam. Semua ini boleh diibaratkan sebagai bom jangkamasa yang boleh meledakkan keamanan dunia sejagat serta pencetus kepada Perang Dunia ke-3. Walau apa pun kelemahan negara-negara Arab dan dunia Islam kini, mereka akan tetap memiliki kekuatan dan kekuasaan. Umat Islam tidak akan berkompromi dengan penjajahan tanah negara-negara umat Islam atau menerima entiti Zionis yang terus berusaha untuk memecah-belahkan mereka. Mereka akan cuba bangkit menentang penjajahan tersebut serta menghapuskannya sebagaimana pernah berlaku kepada penjajahan-penjajahan sebelum ini.

Intifadah Palestin

Intifadah Palestin merujuk kepada kebangkitan rakyat Palestin dalam rangka menentang penindasan dan penjajahan yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas tanah dan penduduk asal penduduk negara tersebut.

Siri kebangkitan dan penentangan sebenarnya telah bermula seawal tahun 1920-an apabila British bertindak sebagai agen penjajahan Palestin oleh Yahudi Zionis. Siri penentangan telah dilakukan oleh rakyat Palestin yang telah dipimpin oleh tokoh-tokoh pejuang seumpama Sheikh Izzudin al-Qassam, Abdul Qadir al-Husaini, Mufti al-Haj Amin Husaini dan lain-lain lagi. Namun kekalahan demi kekalahan dialami oleh perjuangan rakyat Palestin di atas pelbagai sebab dan masalah-masalah yang tersendiri.

Intifadah yang terbesar yang dipanggil Intifadah Mubarakah berlaku pada 9hb Disember 1987. Ini adalah tarikh bermulanya Intifadah Palestin yang paling bermakna terhadap mereka semua samada di kalangan rakyat yang tinggal di Palestin mahupun di kalangan mereka yang terpaksa menjadi pelarian di negara-negara yang lain.

Photobucket

Pemimpin dan rakyat Palestin tidak akan sama sekali tunduk kepada ancaman dan serangan Zionis Israel.


Objektif Intifadah

Intifadah tersebut didokongi oleh ribuan rakyat Palestin yang bangkit untuk mengembalikan hak dan maruah mereka yang telah dirampas oleh rejim Zionis. Senjata tunggal yang digunakan mereka untuk menentang kecanggihan dan kekuatan rejim Zionis hanyalah dengan batu-batu di jalanan. Kanak-kanak, remaja dan pemuda bangkit dengan penuh keberanian untuk berhadapan dengan kereta-kereta kebal Israel. Intifadah telah menghilangkan rasa takut dan rendah diri di kalangan mereka malahan telah membawa perubahan baru yang sangat bermakna buat mereka semua.

Intifadah juga telah membangkitkan semangat dan memperkuatkan keyakinan mereka terhadap keadilan Allah dan kekuatan Islam, membuang rasa putus harapan dalam berhadapan dengan penjajahan musuh, menggoyah rasa ego Israel serta menggoncang psikologi mereka, menyekat kekuasaan ekonomi Israel dan mengurangkan penghijrahan Yahudi ke Palestin serta memantapkan identiti Islam di kalangan orang Palestin dan menyuntik semangat perjuangan di atas dasar yang mulia.

Kesan Intifadah Kepada Agenda Zionis

Rakyat Palestin terpaksa membayar dengar harga yang terlalu mahal dengan berlakunya Intifadah tetapi fasa yang berlalu juga turut digunakan untuk membersihkan masyarakat Palestin daripada penyakit-penyakit sosial yang turut menyerang masyarakat mereka. Semakin ramai di kalangan masyarakat awam menginsafi situasi sebenar yang menimpa mereka dan kini gigih bekerja demi survival umat serta kedaulatan bumi Palestin.

Intifadah juga turut membuka tembelang Israel di pentas dunia apabila mereka selama ini sentiasa mencanang dakwaan bahawa Israel adalah oasis demokrasi di timur tengah. Dunia antarabangsa dipersembahkan dengan sikap sebenar kuasa kolonial Israel yang dibina di atas penindasan dan kezaliman yang tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin. Isu Palestin yang pernah sejuk buat seketika dulu kembali hangat diketengahkan di dalam forum politik global.

Orang-orang Palestin turut mengambil kesempatan demi menyusun kembali perekonomian mereka dalam menghadapi perjuangan yang berpanjangan. Produk Israel yang membanjiri pasaran mereka telah diboikot dan digantikan dengan produk alternatif mereka yang turut membina peluang-peluang pekerjaan yang baru. Secara umumnya, ekonomi Israel juga goyah dengan Intifadah yang berpanjangan. Lebih 4000 supermarket mereka telah ditutup. Kadar kedatangan dan aktiviti pelancongan di Israel turut merudum kesan dari kebangkitan generasi muda Palestin. Mereka mengalami kerugian yang melebih 20 billion USD dalam tempoh beberapa tahun pertama sahaja.

Buat kali pertamanya, Israel merasakan bahawa mereka telah hilang rasa keselamatan dan semakin ramai daripada pendatang Yahudi membawa diri mereka kembali ke negara asal mereka di Rusia, Poland, Amerika Syarikat dan lain-lain. Sebagai contohnya, di antara tahun 1989-2000 sahaja, lebih sejuta Yahudi Rusia telah berhijrah ke Palestin. Namun kesan dari Intifadah, kadar penghijrahan berkurangan dan lebih daripada 700 ribu orang Yahudi telah melarikan diri dari Palestin. Berita ini tidak diumumkan di media antarabangsa kerana ianya hanya akan menjatuhkan maruah mereka.

Pemerkasaan Intifadah

Kalau 22 tahun dahulunya HAMAS hanya berbekalkan sokongan pemuda dan remaja yang melontarkan batu, namun kini mereka mempunyai briged ketenteraan yang mampu melancarkan roket sejauh 50 km. Kalau dahulunya mereka hanya menggunakan kamera usang, namun kini mereka punyai stesen televisyen yang berpusat di Amman, Beirut dan London. Kalau dahulunya mereka hanya punyai pusat tukaran wang, namun kini mereka mampu melancarkan bank nasional walaupun di bawah runtuhan bangunan akibat serangan terbaru. Bahkan media perdana barat kini mengakui peningkatan sokongan masyarakat Palestin yang semakin mantap dan tidak berbelah bagi kepada kepimpinan mereka yang dibarisi oleh golongan pemimpin yang kental lagi kukuh kepimpinannya.

Photobucket

Umat Islam di seluruh dunia kian sedar dan prihatin dengan tanggungjawab untuk membantu rakyat Palestin.


Era Zionis Kian Berakhir

Perkembangan mutaakhir memperlihatkan kepada dunia luar tentang senario yang sangat merisaukan rejim Zionis yang kini merasakan bahawa agendanya kini hampir sampai ke penghujungnya. Di antara faktor yang dominan adalah:

1. Penentangan dan kebangkitan yang berterusan di kalangan rakyat Palestin.
2. Kebangkitan dan sokongan kepada Hamas secara massa serta kecenderungan kepada kelompok Islam yang bertegas untuk tidak mengiktiraf negara Israel.
3. Peningkatan kesedaran di kalangan umat Islam dan dunia antarabangsa tentang bahayanya agenda Zionis serta meningkatnya sokongan kepada Palestin.
4. Berkurangnya bilangan penghijrahan beramai-ramai Yahudi ke Palestin.
5. Generasi muda Israel tidak lagi menunjukkan minat untuk menyokong apatah lagi berjuang demi agenda politik Zionis.
6. Pertambahan jumlah rakyat Palestin yang tinggal di tanah jajahan Palestin 1948.
7. Kegagalan Zionis untuk melemahkan semangat juang rakyat Palestin walaupun mereka telah mencuba dengan pelbagai cara yang kejam dan tidak berperikemanusiaan termasuklah dalam peristiwa yang terkini di Gaza pada awal Januari 2009 yang lalu.

Negara regim Zionis ini juga tidak akan aman dengan permasalahan dalamannya yang semakin memuncak. Apatah lagi dengan suasana sekelilingnya yang sentiasa hangat dengan pertembungan di antara kelompok yang hak dengan kelompok yang batil. Keganasan dan kekejaman rejim yang luar biasa ini menunjukkan tanda jelas isyarat panik lagi terdesak mereka. Agenda Zionis kian berakhir.

Peranan Masyarakat Antarabangsa

Fakta-fakta sejarah, kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa sebenarnya amat memihak kepada rakyat Palestin yang berhak memiliki ketuanan dan kedaulatan di bumi mereka sediri. Masyarakat dan dunia antarabangsa harus sentiasa memperjuangkan keadilan dan teguh dalam membuat pendirian serta tidak dipengaruhi oleh lobi Zionis di dalam membuat dan melaksanakan keputusan-keputusan mereka.

Peranan Umat Islam

Bagi umat Islam, Palestin adalah tanah yang mulia untuk seluruh umat Islam kerana di situlah letaknya Masjid Al-Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat, tempat berlakunya peristiwa Isra dan Mi’raj, Tanah Suci umat Islam yang ketiga yang juga merupakan bumi para Nabi. Isu Palestin bukanlah sekadar isu orang-orang Palestin atau orang-orang Arab sahaja bahkan ianya adalah isu umat sejagat. Umat Islam di seluruh dunia harus bersatu bagi memperjuangkan isu ini yang merupakan isu induk umat di abad ini. Perselisihan dan perbezaan mesti diketepikan demi menjayakan misi agung dalam menyelesaikan permasalahan ini.

Photobucket

Bantuan dan sokongan umat Islam termasuk rakyat Malaysia sangat-sangat diharapkan untuk meringankan kepayahan penduduk Palestin.


Sokongan dan Sumbangan dari Malaysia

Isu Palestin dan bahayanya agenda Zionis semakin mendapat tempat di sanubari rakyat Malaysia. Namun kefahaman mengenai isu ini masih perlu diperkasakan lagi melalui penulisan di akhbar dan majalah, ceramah dan pameran serta di media perdana dan alternatif. Sumbangan kemanusiaan, suara di Parlimen serta medan politik antarabangsa pula mesti dipertingkatkan lagi bagi membantu rakyat Palestin yang telah sekian lama tertindas. Tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa Malaysia seharusnya menjuarai isu sejagat ini, bukan sahaja di kalangan masyarakat tempatan bahkan di persada antarabangsa.

Persoalannya, apakah yang telah dan akan kita lakukan bagi mempastikan berkuburnya agenda Zionis ini?


Prof Madya Dr Zainur Rashid Bin Zainuddin,
Naib YDP ISMA Cawangan Seremban.
Sumber: Blog ISMA Negeri Sembilan


Rujukan:

* Azzam Tamimi. The End of Zionist Agenda. KBAZ PWTC, Kuala Lumpur 2009.
* Francis A. Boyle. Palestine, Palestinians and International Law. Crescent News, Kuala Lumpur 2007.
* Harun Yahya. Palestine – Zionisme and Israel Terorisme. Islamic Book Service, Delhi 2003.
* Mohsen Saleh. History of Palestine. A Methodical Study of the Palestinian Struggle. Al Falah Foundation, Cairo 2005.
* Mohsen Saleh. Revival of Islam in Palestine and Facing the Zionist Agenda. KBAZ PWTC, Kuala Lumpur 2009.
* Tareq M. Suwaidan. Palestine – Yesterday, today and tomorrow. Ebbad Co., Kuwait 2006.
* Yusuf Al Qardawi. Baitul Maqdis – Tanggungjawab setiap Muslim. Pustaka Syuhada, KL 1999.

Thursday, May 28, 2009

10 Wasiat Hassan Al Banna

1. Apabila mendengar azan maka bangunlah bersolat serta merta walau apa jua keadaan sekalipun.

2. Bacalah al-quran atau tatapilah ilmu atau pergilah mendengar perkara yang baik atau berzikir.jangan sama sekali membuang masa dalam perkara yang sia-sia.

3. Berusahalah sedaya upaya bertutur dalam bahasa arab fushah kerana ianya salah satu syiar islam.

4. Janganlah banyak berdebat dalam apa perkara sekalipun kerana pertengkaran kosong tidak mendatangkan sebarang kebaikan.

5. Janganlah bergurau kerana umat yang berjihad sentiasa bersungguh- sungguh dan serius dalam setiap perkara.

6. Jangan banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah adalah sentiasa tenang lagi tenteram.

7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada yang dikehendaki oleh pendengar kerana ia menjemukan dan boleh menyakiti pendengaran

8. Jauhi daripada mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan- pertubuhan dan jangan bercakap melainkan perkara yang mendatangkan kebaikan.

9. Berkenalanlah dengan setiap rakan yang ditemui sekalipun tidak diminta berbuat demikian kerana asas dakwah ialah berkasih sayang dan berkenalan.

10. Kewajipan lebih banyak dari waktu, oleh itu bantulah rakan untuk memanfaatkan waktu dan jika berurusan maka singkatkanlah masa perlaksanaannya.