Saturday, November 14, 2009

Teguran yang tidak merugikan

"Tolonglah saudaramu, samada dia zalim atau dizalimi. Apabila dia zalim, cegahlah. Bila ia dizalimi, menangkanlah." (HR Al-Bukhari)

Maha Suci Allah yang menciptakan alam ini dengan begitu sempurna. Malam dan siang silih berganti melayani keperluan hidup manusia. Terang dan gelap pun menjadi sebuah keperluan makhluk-Nya di seluruh pelusuk bumi. Oleh itu, tidak semua yang gelap boleh dibiarkan selama-lamanya begitu.


A. Anggaplah Teguran Sebagai Hadiah Rabbaniyah

Tidak ada dosa dan kesalahan yang tidak mempunyai balasan. Semuanya akan dibalas oleh Allah swt., samada dalam kehidupan ini atau di akhirat kelak. Bayangkan jika dosa dan kesalahan berjalan berterusan tanpa terasa apa-apa, tanpa ada teguran dan tanpa ada peringatan, nescaya akan berlaku kerosakan yang banyak dalam kehidupan manusia.

Menggunungnya dosa dan kesalahan boleh menyebabkan tersumbatnya semua cahaya kesedaran. Orang-orang seperti ini bukan hanya tidak menemui pintu kesedaran, bahkan ia merasa bahwa dirinya sahaja tergolong orang yang mendapat petunjuk.

Maha Benarlah Allah swt dalam firman-Nya, "Sebahagian diberi-Nya petunjuk dan sebahagian lagi telah pasti kesesatan bagi mereka. Sesungguhnya mereka menjadikan syaitan-syaitan pelindung (mereka) selain Allah, dan mereka mengira bahwa mereka mendapat petunjuk." (QS Al-A'raaf: 30)

Allah swt. sentiasa sayang pada hamba-hamba- Nya. Berbeza dengan orang kafir yang mendapat berbagai nikmat dan peluang sehingga tanpa segan silu melakukan maksiat, orang mukmin tidak begitu.

Sedikit sahaja bengkok, sentiasa ada teguran. Ada teguran secara langsung berupa musibah, bencana atau malapetaka dan ada pula teguran yang tidak secara langsung yang disuarakan melalui mulut manusia.

Bahkan Allah swt menamakan ciri mereka yang saling menegur sebagai generasi yang selamat dari bencana kerugian dunia dan akhirat.

Maha Agung Allah swt dalam firman-Nya, "Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian kecuali, orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran." (QS Al-Ashr: 1-3)


B. Anggaplah Teguran Sebagai Ungkapan Sayang

Kadang-kadang agak sukar menterjemahkan sebuah ungkapan dengan timbangan yang jernih dan lurus termasuk dalam soal teguran. Kebiasaannya, orang yang menegur diterjemahkan atau dianggap sebagai lawan yang menyusahkan bahkan ingin menjatuhkan.

Dalam timbangan akhlak Islam, nilai sebuah teguran adalah jauh dari anggapan tersebut. Bahkan kalau kita melihat secara positif :

1. Teguran bukan untuk menyusahkan melainkan untuk memudahkan.

2. Teguran bukan ungkapan marah apalagi permusuhan melainkan ianya adalah ungkapan sayang dan persaudaraan.

Rasulullah saw yang mulia pernah bersabda, "Tiga perbuatan yang termasuk sangat baik, iaitu berzikir kepada Allah dalam segala situasi dan keadaan, saling menyedarkan satu sama lain dan menyantuni saudara-saudaranya (yang memerlukan)." (HR Ad Dailami)

Teguran adalah ungkapan sayang yang sejati seorang saudara terhadap saudaranya yang lain yang mungkin terjebak dalam suatu kesalahan. Cinta kerana Allah dan benci pun kerana Allah. Kalau bukan kerana cinta, mungkin ia tidak akan peduli untuk menegur kerana usaha itu terasa begitu berat.


C. Anggaplah Teguran Sebagai Guru Di Medan

Teguran tidak selalunya berkaitan atau ada hubung kait dengan dosa. Tidak selalunya berkaitan dengan sesuatu yang prinsip. Ada teguran yang memang sangat diperlukan ketika sesuatu yang bersifat teori cuba diimplementasikan ke bumi nyata dalam wilayah aplikasi.

Dalam hal berumahtangga misalnya, ketika belum memasuki alam perkahwinan, seseorang merasa sudah faham betul dengan yang hal ehwal rumah tangga setelah mendapatkan informasi dari buku, ceramah dan sebagainya. Tapi, ketika rumahtangga sudah menjadi kenyataan, semua perkara menjadi sungguh berbeza. Realiti kadangkala tidak selalunya bertepatan dengan suasana ideal yang diimpikan.

Berlaku perbezaan di sana di mana wujudnya konflik antara suami dan isteri. Sesuatu yang dalam teori begitu indah, tetapi ternyata begitu gersang dalam kenyataan di medan. Tentunya, yang salah bukannya cita-cita idealnya tadi, tapi cara bagaimana menggarap dan mencapai tujuan dan impian itu yang belum benar-benar selaras. Di sinilah, seseorang memerlukan teguran dan teguran ketika itu bertukar menjadi guru di lapangan realiti sebenar.


D. Anggaplah Teguran Sebagai Cermin Memperindahkan Diri

Ego manusia sentiasa merasakan yang ia serba sempurna tanpa ada cacat cela dan titik noda malah semuanya dirasai bagus. Kalau ada orang lain yang menilai sedikit berbeza, pasti si penilai yang di anggap silap.

Begitulah juga yang boleh berlaku dalam diri seorang mukmin. Dengan penuh kepercayaan terhadap dirinya, ia begitu yakin bahwa semua langkahnya sempurna tanpa ada kesalahan. Yang salahnya adalah jika ada yang menganggapnya salah.

Dari sudut pandangan Islam, manusia adalah tempat salah dan lupa. Jadi, akan ada sahaja kemungkinan kalau seorang mukmin pun boleh khilaf. Kalau seorang ulama pun boleh salah dan seorang pemimpin pun boleh tersasar, jadi pada ketika itu, ia sangat memerlukan teguran sebagai cermin yang boleh menyedarkan dirinya.

Rasulullah saw bersabda, "Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin lainnya. Apabila melihat aib padanya, dia segera memperbaikinya." (HR Al-Bukhari)

Indahnya nikmat keimanan. Hati yang mulanya gelap menjadi terang. Bahaya dan penyakit yang bersarang di sekeliling dirinya yang sebelumnya tertutup, boleh tersingkap dengan jelas. Kian nampak mana yang baik dan mana yang buruk dalam perkara apa pun termasuklah dalam pergaulan dan persaudaraan Islam.


Tidak Ada Manusia Yang Serba Sempurna

Ketika ini tidak ada manusia yang sempurna dalam segala perkara bahkan sentiasa sahaja ada kekurangan.

Boleh jadi :

1. Ada yang bagus dalam rupa paras, tapi ada kekurangan dalam gaya bicara.

2. Ada yang bagus dalam penguasaan ilmu, tapi tidak mampu menguasai emosi kalau ada singgungan.

3. Ada yang kuat di satu segi, tapi lemah di sudut yang lain.

Dari situlah seorang mukmin mesti cermat untuk mengukur, menimbang dan membuat penilaian terhadap seseorang. Apa kekurangan dan kesalahannya. Kenapa boleh berlaku begitu dan seterusnya.

Walau bagaimanapun keadaan orang yang sedang dinilai, keadilan tidak boleh dilupakan meskipun terhadap orang yang tidak disukai. Yakinlah bahwa di sebalik keburukan sifat seorang mukmin, pasti ada kebaikan di sisi yang lain. Tidak boleh main `pukul rata': "Ah, orang seperti itu memang tidak berkelakuan baik!"

Allah swt. meminta orang-orang yang beriman agar sentiasa bersikap adil. Firman-Nya dalam surah Al-Maidah ayat 8, "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang sentiasa menegakkan (kebenaran) kerana Allah; menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Dari timbangan yang adil itulah, penilaian akan menjadi seimbang. Tidak serta-merta mengecap bahwa orang itu pasti salah. Mungkin, ada sebab yang membuatkan ia lalai, lengah dan kehilangan pengendalian diri. Bahkan boleh jadi, jika pada posisi dan situasi yang sama, kita pun tidak lebih bagus dari orang yang kita nilai.


Kekurangan Diri Seorang Mukmin Merupakan Ujian Terhadap Mukmin Yang Lain

Hubungan sesama mukmin adalah seperti satu tubuh. Ada keterkaitan yang begitu kuat. Sakit di salah satu bahagian tubuh, bererti sakit pula di bahagian yang lain. Aib pada diri seorang mukmin, bererti aib pula buat mukmin yang lain.

Setidak-tidaknya, ada dua ujian buat seorang mukmin ketika keaiban saudaranya tersingkap:

Pertama, kesabaran untuk menanggung keburukan secara bersama.

Siapa lagi yang layak memberi kritikan dan arahan kalau bukan saudara sesama mukmin. Ini kerana dialah yang lebih faham keadaan daya tahan keimanan saudaranya sesama mukmin. Sabar untuk sentiasa menegur, mendekati dan memberi penyelesaian.

Kedua, kesabaran untuk tidak menyebarkan keburukan saudaranya kepada orang lain.

Ini memang sukar kerana lidah kerap tersasul dan sentiasa sahaja tergelincir untuk menyampaikan isu-isu baru yang menarik minat orang ramai. Tapi sayangnya, sesuatu yang menarik buat seseorang itu kadang-kadang menjadi sesuatu yang buruk buat mereka atau objek yang dibicarakan.

Di situlah ujian seorang mukmin untuk mampu memilih dan menilai. Mana yang perlu dikhabarkan dan mana yang mesti dirahsiakan.

Rasulullah saw bersabda, "Tidak akan masuk syurga orang yang suka mendengar-dengar berita rahsia orang lain." (HR Al-Bukhari)


Tatapilah Kekurangan Diri Sebelum Menilai Kekurangan Orang Lain

Ego manusia sentiasa membisikkan `Sayalah yang sentiasa baik dan yang lain buruk'.

Dominasi ego seperti inilah yang kerapkali membuatkan timbangan penilaian jadi tidak adil. Kesalahan dan kekurangan orang lain begitu jelas, tapi kekurangan diri tidak pernah terasa dan terlihat. Padahal, kalau bukan kerana anugerah Allah berupa tertutupnya aib diri sendiri, tentunya orang lain pun akan secara jelas menemui aib kita.

Sebelum memberi reaksi terhadap aib orang lain, lihatlah secara jernih apakah mutu diri kita sendiri. Lebih baikkah? atau jangan-jangan lebih buruk lagi. Dari situlah ucapan syukur dan istighfar mengalir dari hati yang paling dalam. Syukur kalau diri ternyata lebih baik dan istighfar jika terlihat bahwa diri sendiri lebih buruk.

Tatapilah aib saudara mukmin lain dengan pandangan baik sangka:

1. Mungkin ia terpaksa.
2. Mungkin itulah pilihan buruk dari sekian banyak yang terburuk.
3. Mungkin langkah dia jauh lebih baik dari kita jika berada pada situasi dan keadaan yang sama.


Membuka Aib Seorang Mukmin Bererti Memperlihatkan Aib Sendiri

Seorang mukmin dengan mukmin lainnya adalah bersaudara. Sebuah persaudaraan yang jauh lebih kuat berbanding satu ayah dan satu ibu kerana Allah sendiri yang menyatakan kekuatan persaudaraan itu: "Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara." (QS Al-Hujurat: 10)

Ketika seorang mukmin membuka dan menyebarkan aib saudaranya, ada dua kesalahan yang dilakukan sekaligus:

Pertama, citra keagungan orang-orang beriman telah dikotori.

Reaksi spontan yang muncul boleh memalukan umat Islam, "Ya, sama sahaja, keimanan tidak boleh menjadi jaminan!" dan seterusnya.

Kedua, orang yang gemar menyebarkan aib saudaranya sebenarnya tanpa sedar sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli.

Di antara jati dirinya yang tersingkap adalah:

1. Tidak boleh memegang rahsia
2. Lemah semangat kesetiakawan
3. Penyebar berita bohong

Semakin banyak aib yang ia sebarkan, semakin jelas pula keburukan diri si penyebar.

Benarlah apa yang dinasihatkan oleh Rasulullah saw bahwa diam adalah pilihan terbaik ketika tidak ada bahan ucapan yang baik.

Simpanlah aib seorang teman dan saudara sesama mukmin kerana dengan berbuat begitu; kelak, Allah swt akan menutup aib kita di hadapan manusia di akhirat nanti.

Ya Allah, jadikanlah kami umat yang sentiasa memberi teguran dan nasihat di atas perkara kebenaran dan sentiasa menetapi kesabaran di atas segala ujian dan fitnah yang berlaku terhadap sesama mukmin atau dilakukan oleh orang-orang kafir. Berilah kekuatan dan keteguhan iman untuk kami mampu bertahan dan tidak menyebarkan keaiban dan kelemahan saudara-saudara kami kerana akhirnya ia memberi kesan kepada diri kami sendiri samada di dunia atau di akhirat.

Ameen Ya Rabbal Alameen.

Oleh: WAS (wan_ahmad2007@yahoo.com) Mail tulisan ini kepada rakan

No comments: