Ketika Abdullah bin Rawahah diangkat menjadi panglima dalam perang Mu’tah, beliau menerimanya dengan cucuran air mata. Lantas para sahabat bertanya: “Apa yang membuat engkau menangis wahai Abdullah?" Jawab beliau: “Tidak ada rasa cinta pada diriku akan dunia serta keinginan untuk dipuja oleh kalian, tetapi aku teringat ketika Rasulullah mengingatkan aku dengan firmanNya: "Dan tidaklah dari kalian melainkan akan mendatanginya neraka Jahanam, dan yang demikian itu bagi Tuhanmu merupakan hatman maqdhiyya (satu ketentuan)" (QS Maryam: 71).
Inilah perasaan yang terbit dari benak Abdullah bin Rawahah ketika beliau mentadabbur ayat al-Quran dan menghubungkannya dengan jawatan yang diamanahkan kepadanya. Rasa risau dan bimbang jika amanah ini tidak dapat menyelamatkannya dari menghadapi kesengsaraan neraka Jahanam. Ia mengingatkan bahawa menghadapi neraka Jahanam merupakan satu kepastian, satu ketetapan yang tidak dapat dielakkan (Hatman Maqdhiyya).
Begitulah tarbiyah juga merupakan satu kepastian, satu ketentuan (hatman maqdhiyya) dalam projek membina peradaban ummah. Tidak ada pilihan dan alternatif lain, hanya tarbiyah jalan menuju kepada mencapai target dan sasaran tersebut. Inilah jalan yang lurus, jalan para nabi, jalan para rasul dan jalan salafussoleh. Jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat ridwanullahi ‘alaihim ajmaeen. Jalan yang telah terbukti berjaya dan ampuh, biar pun segala halangan dan pancaroba menimpa. Allah menjelaskannya di dalam firmanNya di dalam surah Al- ‘An’aam, ayat 153: "Dan sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan lain kerana itu mencerai beraikan kamu dari jalan Allah, yang demikian itu Allah mewasiatkan kamu supaya bertaqwa."
Kalimah ‘siraati mustaqima’ didatangkan dari kata mufrad (satu) sedangkan larangan mengikut ‘subul’ disebut dengan kalimah jamak (plural). Allah menegaskan bahawa jalan ini hanya satu, bukan dua, bukan tiga, itulah jalan yang telah dilalui oleh para Rasul dan generasi silam sedangkan larangan dengan menggunakan kata jamak menunjukkan di sana ada pelbagai method yang boleh membawa kepada perpecahan, penyelewengan, tafarruq dan penyimpangan dalam manhaj amal. Di dalam al-Quran Allah telah mempakejkan kalimah ‘siraat’ dalam bentuk mufrad sahaja dan dikaitkan dengan kalimah ‘mustaqim’ bagi menzahirkan bahawa jalan dakwah ini, jalan tarbiyah ini adalah jalan yang satu dan ia membawa kepada istiqamah manhaj, istiqamah amal dan istiqamah ad-deen. Ini juga terangkum dalam surah al-Fatihah: "Ihdinas siraatal mustaqim."
Kenapa jalan ini menjadi pilihan para da’ie? Kenapa jalan ini perlu kita lalui? Kenapa kita tidak memilih jalan-jalan lain? Barangkali jalan-jalan lain mampu mempercepatkan proses memegang tampuk kekuasaan, mensejajarkan bulatan pengaruh dakwah atau melestarikan organisasi di mata masyarakat.
Ya, sememangnya kita akui dan fahami bahawa jalan yang kita pilih ini adalah jalan yang kita warisi dari Rasulullah SAW, jalan yang telah diperakui oleh para mujtahid dakwah dan harakah, hasil penelaahan dan pengkajian mendalam terhadap perjalanan sirah baginda SAW dan terbukti berjaya. Kita memilih jalan ini kerana:
1. Sukar tapi kukuh (Sha’bun – thabit)
Memilih jalan ini bermakna kita perlu melalui kepayahan dan kesukaran. Tarbiyah itu menyamai kepayahan dan kesusahan. Betapa sulit dan sukarnya proses ini untuk melahirkan hasil-hasil yang berkualiti. Bayangkan generasi terawal yang memeluk Islam di peringkat permulaan dakwah hanya sekitar 40-50 orang. Mereka inilah yang menjadi tulang punggung dakwah Rasulullah SAW. Mereka bukan sekadar menyahut seruan dakwah tetapi mempersiapkan diri menjadi agent of change (Anashiruttaghyir).
Berdakwah itu memang tidak mudah kerana dakwah memerlukan proses dan pembinaan (takween). Anologi yang paling mudah bagi tarbiyah ialah seperti menanam sepohon pokok. Pokok tersebut harus dijaga, dipelihara, dibajai, disirami, dikawal dari diceroboh binatang-binatang buas, juga terpaksa menghadapi ribut taufan, angin kencang, panas terik sehingga ia tumbuh membesar, kuat dan utuh, menghasilkan buah-buah ranum dan berkualiti yang boleh dimakan oleh orang lain.
Begitulah tarbiyah, ia proses membina peribadi yang kuat, kader yang berkualiti dari sudut fikri dan tanzimi sehingga ia menjadi batu-bata kepada binaan daulah. Tarbiyah yang mampu melahirkan perajurit dan rijal seperti para Sahabat r.a. Lihatlah sikap Kaab bin Malik yang tidak menerima tawaran utusan kerajaan Ghassan ketika saat beliau dipulau akibat tidak turut serta dalam jihad. Beliau tidak menerima suaka politik dan perlindungan tersebut, bahkan tarbiyah menjadikannya thabat dan menanti pengampunan Allah dan rasul.
2. Panjang tapi asli (Thawil – ashil)
Jalan dakwah ini adalah jalan yang panjang. Jalan yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Ia merupakan siri mata rantai perjuangan yang saling berkesinambungan untuk mencapai sasaran dan matlamat dakwah. Dalam perang Khandak, Rasulullah SAW memberikan khabar gembira pembukaan Kota Rom. Namun sejarah telah menyaksikan bahawa Rom dibuka dan ditakluk oleh umat Islam pada masa kerajaan Uthmaniyah. Hakikat ini menunjukkan betapa panjangnya perjalanan dakwah ini dilalui, berapa banyak generasi dilewati, berapa banyak kader bersilih ganti, berapa banyak rijal dijualbeli fi sabilillah tetapi keasholahan dakwah dan tarbiyah tetap dijaga. Asas dan pasak yang telah dimulakan oleh Rasulullah dan kemudian dilanjutkan oleh para sahabat Rodiallahu ‘anhum wa rodhu’anhu.
Rijal yang memiliki asolah dakwah dan asolah tarbiyah adalah rijal yang telah teruji keasolahan fikrahnya, keasolahan manhaj amalnya hasil dari tarbiyah biar pun panjang perjalanan dakwah ini. Syeikh Mustafa Mahsyur menyatakan antara ciri dakwah Ikhwan ialah al-Asolah (keaslian dan ketulenan) manhaj dan fikrahnya. Sifat Asolah ini menjadikan rijal tadi tegar, utuh, thabat dengan mehnah dan ujian di jalan dakwah, sosok peribadi yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.
Sifat asolah dan tajarrud pada dakwah serta hasil tarbiyah yang berkualiti terkamir pada sosok tubuh Abu Talhah RA yang hidup hingga zaman Khalifah Uthman bin Affan. Apabila tiba panggilan semboyan jihad dan menuntut untuk mengharungi lautan bagi menghadapi Rom, beliau tanpa berlengah-lengah terus menyahut panggilan tersebut sehingga beliau gugur di perbatasan medan jihad sebagai syahid.
Dengan tarbiyah jualah telah menjadikan 10 orang para sahabat yang dijamin syurga, yang menjawat jawatan khalifah atau jawatan gabenor tidak merasa terpesona dengan dugaan duniawi, rasa besar atau gah tetapi merasa kerdil di sisi Allah swt.
Begitulah kita melihat ramai ikhwan yang telah dipenjara, ditangkap, dibunuh tetapi mereka tetap thabat, teguh bersama di atas jalan dakwah. Hakikatnya jalan ini panjang tapi terpelihara keasholahannya. Hanya dengan jalan tarbiyah dapat memaintainkan kita terus berada dalam kafilah dakwah.
3. Lambat tapi terjamin (Bathi’ – ma’mun)
Tabiat jalan dakwah ini lambat tetapi terjamin hasilnya. Dakwah ini ibarat larian marathon bukan larian sprint. Biarpun lambat tetapi akan sampai ke garisannya jua. Lihatlah dua anologi berbeza antara karektor kura-kura dan arnab. Sifat ghurur dan takjub pada diri serta berasa selesa akan membawa padah dalam perjalanan berbeza dengan kura-kura yang menyedari hakikat dirinya walaupun lambat namun kesabaran, kesungguhan mengusungnya sampai ke garisan penamat dan dia menjadi pemenang. Satu perjuangan yang memerlukan nafas panjang (nafsu thowil). Itulah jalan tarbiyah.
Jalan tarbiyah yang berbeza dengan jalan siasi. Jalan politik melihat kepada habuan segera, menggunakan kaedah matlamat menghalalkan cara, eksploitasi, penipuan yang akhirnya membawa bencana dalam perjuangan.
Mana-mana Harakah Islamiah yang mengabaikan aspek tarbiyah dan pembinaan dalaman akan membawa kepada kegagalan biarpun nampak hasilnya di peringkat permulaan. Kalau dapat pun, ia tidak kukuh dan bertahan lama. Memprioritikan amal politik dari amal tarbawi merupakan penyelewengan dari jalan dakwah. Seerah menunjukkan Rasulullah memberikan penekanan kepada jalan tarbiyah dan menolak metodologi siasi dalam amal dakwah baginda. Kita adalah du’at ilallah sebelum menjadi du’at siasi.
Cukuplah penolakan Rasulullah SAW kepada tawaran pembesar Quraish untuk berada di tampuk kekuasaan sebagai bukti bahawa dakwah ini berdiri di atas jalan tarbiyah. Dakwah ini perlu melalui kesukaran dan kepayahan bukan mengharap natijah yang segera dan cepat. Ingatlah pesanan al-Banna kepada golongan yang ‘isti’jal (tergesa-gesa), yang ingin memetik hasilnya sebelum tiba masanya sebagai panduan berguna untuk kita.
Ketika berlaku fitnah hadith al-Ifki terhadap Saidatina Aisyah RA, kita dapat melihat sikap isteri Abu Ayyub al-Ansori yang menjaga lisannya dari melemparkan kata-kata fitnah terhadap Saidatina Aisyah RA di saat ramai manusia menyebarluas finah keji ini. Inilah gambaran Sohabiyah yang terdidik dari madrasah Rasulullah yang mewakili contoh keperibadian tarbawi yang terjamin keasholahan dakwahnya. Hasil tarbiyah inilah yang membentuk isteri Abu Ayyub al-Ansori tidak tergamak untuk melakukan fitnah dan buruk sangka kepada Ummul Mukminin Aisyah RA.
Dari sudut taktikalnya, jalan tarbiyah ini dapat menyeimbangkan keperluan dakwah dengan bilangan kader. Tanpa tarbiyah tidak mungkin lahir kader-kader yang mampu menampung perluasan amal medan. Jadi, dengan jalan tarbiyah dapat mensejajarkan sokongan massa dengan potensi tarbiyah. Tanpa jalan tarbiyah ini, maka tidak akan wujud barisan du’at atau murabbi yang dapat memenuhi keperluan dakwah dan garapan umum.
Secara strateginya, jalan tarbiyah ini akan melahirkan pewaris dakwah baru bagi melengkapkan peta perjalanan dakwah dalam kerangka membina projek peradaban umat berpaksikan maratib amal 7. Jika tidak diberi perhatian akan wujud kesenjangan antara dua generasi yang berakhirnya dengan ‘Lose of Generation’. Penyakit kepupusan generasi atau hilang taurith adalah akibat penumpuan kepada gaya amal siasi dari menumpukan gaya amal tarbawi. Kata-kata Syeikh Muhammad Ar-Rasyid ‘attarkiz la attakshir’ (penumpuan bukan meramaikan) boleh dijadikan asas dalam amal takween (pembinaan).
Bayangkan ketika berlaku gerakan Riddah di zaman Saidina Abu Bakar RA, para sahabat yang ditarbiyah inilah menjadi Qaedah Sulbah mempertahankan Islam dan memerangi golongan yang murtad. Begitu juga, tenaga da’ie yang dibentuk pada zaman Saidina Umar al-Khattab, dalam tempoh tidak sampai satu tahun telah bersedia memikul tugas jihad dan berada di posisi hadapan sama ada sebagai komandan atau panglima perang. Semuanya ini adalah hasil produk jalan tarbiyah.
Justeru itu jalan tarbiyah adalah jalan yang paling selamat, terjamin kualiti, hasil produktif dan bertahan lama. Pilihlah jalan tarbiyah.
Ustaz Azizee bin Hasan,
YDP ISMA Seremban
Blog: Petunjuk Sepanjang Jalan
No comments:
Post a Comment