Mungkin hati ini gundah gelana pada tika dan saat ini. Ditambah pula dengan musim peperiksaan yang bakal tiba.
Ku doakan...
Moga hati sentiasa tenteram dalam menghadapi hari-hari mendatang. Moga tsabat dalam jalan dakwah ini. Dan moga kita terus beramal, wala apa pun kata orang ramai.
Ingin disertakan tulisan dari Ustaz Abdullah Zaik, supaya hati-hati ini tenang untuk terus beramal!!
Perbezaan Fikrah Bukan Isu Disiplin
Kadang-kadang berlaku perselisihan dalam satu-satu tindakan, setengah pihak melihat dari satu sudut dan pihak yang lain melihat dari sudut yang lain. Kesilapan menanggapi hakikat disebalik perbezaan ini boleh menyebabkan perselisihan dan boleh menyebabkan mereka yang cetek pandangannya melakukan tindakan yang tidak berasas.
Kita tahu perbezaan dalam menanggapi sesuatu boleh berlaku berdasarkan tahap ketajaman pandangan dan kemanpuan menyelami dimensi-dimensi yang tersirat disebalik satu-satu kes atau peristiwa.
Mari kita menyelami hakikat ini di sebalik cerita dan dialog yang berlaku antara Musa a.s dan Khidhir a.s yang diceritakan oleh Allah s.w.t dalam surah al-Kahfi.
Perbezaan-perbezaan ini menyebabkan mereka tidak boleh bersama. Musa a.s sering muhasabah Khidir a.s dari segi disiplin ilmu yang dibawa olehNya tetapi Khidir a.s punya penglihatan dari dimensi yang lain. Kisah itu sendiri merupakan pelajaran yang mahu didedahkan oleh Allah s.w.t kepada Musa a.s dan kepada sesiapa yang memiliki tanggapan zahir sahaja seperti Musa a.s.
Allah s.w.t memerintah Musa a.s supaya pergi mencari Khidir a.s dan minta untuk mengikutinya. Dari sikap dan cara Musa a.s, Khidir a.s sudah tahu bahawa Dia tidak mungkin dapat mengikuti beliau. Tetapi kerana ingin tahu apa rahsia Khidir a.s sehingga Allah s.w.t suruh beliau pergi berjumpa denganya, Musa a.s mendesak untuk bersamanya. Inilah pejaran Allah s..w.t mahu kita belajar dari peristiwa ini bersama Musa a.s.
Sepanjang bersama Khidir a.s, Musa a.s berhadapan dengan tiga peristiwa penting.
Semua kita tahu kisah-kisah ini, tidak perlu saya sebutkan secara terperinci.
Peristiwa pertama, mereka menaiki sampan yang masih elok, lalu Khidir a.s mengkapak sampan tersebut sehingga cacat, pada hal mereka ditumpang dengan belas kasihan tuan punya sampan. Kenapa Khidir a.s buat begitu sedangkan ia boleh menyebabkan sampan itu tenggelam bersama orang diatas. Ini satu yang sangat mungkar pada pandangan
Musa a.s.
Peristiwa kedua, mereka meneruskan perjalanan dan berjumpa dengan sekumpulan budak yang sedang bermain, lalu Khidir a.s menghampiri seorang budak dan membunuh budak tersebut tanpa apa-apa kesalahan. Ini pun dari segi disiplin ajaran Musa a.s satu kesalahan besar.
Peristiwa ketiga, Khidir a.s pula telajak baik apabila memberi pertolongan percuma kepada penduduk sebuah kampung yang enggan memberi mereka makan dengan membetulkan tembok yang hampir runtuh . Itu pun tidak patut mengikut ilmu Musa a.s. Kalau hendak, Musa a.s boleh minta upah dan mereka boleh beli makanan. Mereka yang kelaparan, enggan dibantu oleh penduduk kampung tidak patut memberi pertolongan percuma. Musa a.s melihat zahir pertolongan kepada penduduk kampung tetapi tidak melihat hakikat sebenar yang jauh langsung dari apa yang dilihat oleg Musa a.s, iaitu menjaga hak kepentingan yatim.
Lihat pendirian dan sikap Musa a.s berdepan dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Khidir a.s. Allah s.w.t tidak kutuk Musa a.s secara terang tetapi mahu Musa a.s belajar bahawa ada ukuran lain dalam setiap peristiwa. Bagi Musa a.s, mungkin Khidir a.s telah melakukan pelanggaran disiplin, kesalahan besar, dan tindakan tidak matang, tetapi Allah s.w.t membetulkan persepsi Musa melalui lisan Khidir a.s. Allah s.w.t mahu Musa a.s mendengar penjelasan.
Khidir a.s menjelaskan sebab ia merosakkan sampan ialah kerana disana ada raja zalim yang akan merampas semua sampan yang elok. Jadi apa yang dilakukan oleh Khidir a.s ada menyelematkan sampan bukan merosakkan sampan seperti yang difahami oleh Musa a.s. Lebih berbudi kepada tuan punya sampan bukan tidak mengenang budi seperti yang disangka oleh Musa a.s.
Adapun sebab ia membunuh budak itu ialah kerana ingin menyelamat dua ibu-bapa yang beriman. Budak itu jika dibiarkan membesar akan merahakkan ibu bapanya dan menjadi anak yang derhaka. Jadi menjaga kepentingan ibu bapa yang beriman lebih besar maslahahnya dari memelihara satu nyawa yang bakal menjadi kufur dan derhaka.
Manakala tembok itu, diperbetulkan untuk menjaga hak anak yatim supaya ia terpelihara dan dapat memanfaatkannya apabila mereka besar nanti. Ia bukan sekadar membetulkan tembok untuk kepentingan orang kampung yang sombong tetapi untuk memelihara khazanah untuk kepentingan anak yatim pada satu masa nanti.
Kalau kita perhatikan alasan-alasan yang dikemukakan oleh Khidir a.s bukanlah semetinya dari ilmu ghaib bahkan ia satu perkara biasa bagi mereka yang mengakaji memiliki ilmu yang luas terhadap latarbelakang sosio politik dan sejarah satu-satu masyarakat. Mungkin ia diperolehi oleh Khidir a.s tanpa belajar maka ia dinamakan ilmu “ladunni” yakni ilmu dari sisi tuhan.
Demikianlah satu pelajaran penting yang dibawa oleh Allah bukan sahaja pengajaran kepada Musa a.s tetapi juga kepada kita semua hingga akhir zaman. Bahawa memahami dan memelihara maqasid amat penting dalam usaha kita berkerja untuk melaksanakan syarak. Kita tidak boleh memisahkan antara nas dan ruh, antara hukum fekah dan maqasid syariat. Terlalu rigik dengan teks atau nas boleh menyebabkan kita mengabaikan maqasid syariat walaupun pada zahirnya kita melaksanakan kehendak nas.
Kadang kadang kita berdepan dengan suasana apabila berpengan dengan zahir nas menyebabkan pengabaian kepada maqasid dan tujuan perlaksanaan satu satu kewajiban. Dalam keadaan ini adakah kita perlu kaku dengan nas atau kita perlu mencipta zariah (jalan-jalan) lain yang membolehkan kita menunaikan tanggunjawab mentahkik maqasisd syariah sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah.
Dari kisah Musa a.s dan Khidir a.s kita dapat faham bahawa Khidir a.s telah melakukan khirqah-khirqah (pencarikan kepada sistem) demi mentahkikkan maslahah syarak yang sebenar atau lebih besar.
No comments:
Post a Comment