Monday, December 13, 2010

Maafkan Diriku Ibu...



Ibu.. Bergenang airmataku
Terbayang wajahmu yang redup sayu
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan
Bagaikan laut yang tak bertepian

Biarpun kepahitan telah engkau rasakan
Tidak pun kau merasa jemu
Mengasuh dan mendidik kami semua anakmu
Dari kecil hingga dewasa

Hidupmu kau korbankan
Biarpun dirimu telah terkorban
Tak dapat ku balasi
Akan semua ini
Semoga Tuhan membekati kehidupanmu ibu?

Ibu... kau ampunilah dosaku
Andainya pernah menghiris hatimu
Restumu yang amat aku harapkan
Kerana di situ letak syurgaku

Tabahnya melayani kenakalan anakmu
Mengajarku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan

Kasih sayangmu sungguh bernilai
Itulah harta yang kau berikan

Ibu.. kau ampunilah dosaku
Andainya pernah menghiris hatimu
Restumu yang amat aku harapkan
Kerana di situ letaknya syurgaku

Tabahnya melayani kenakalan anakmu
Mengajarku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan

Kasihanilah, Tuhan..
Ibu yang telah melahirkan diriku
Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku
Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana
Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana

Maafkan Aie Ma.. Buat Mama menangis.. Sesungguhnya Aie tak berniat sedikitpun.. Buat Ma menangis.. Mama dah banyak susah kerana Aie.. Mama.. Doakan Aie tabah hadapi apa yang Aie hadapi sekarang ya Ma.. Doakan Aie sabar, dan tenang.. Doakan Aie dapat teruskan perjuangan... Mencari segulung ijazah...

Tuesday, November 23, 2010

Bukakan Minda Dan Hatimu: Free Gaza!


Ini sumbangan diriku.

Di mana kamu terhadap pembebasan Al-Quds??

Saturday, November 20, 2010

6 Tahun Di Adelaide - Kerana Manisnya Hidayah dan Ukhuwah

Pagi 20 November 2010.

Tiba-tiba kepingin untuk kembali melihat blog yang telah lama ku tinggalkan. Seperti mana televisyen atau yang seangkatan dengannya, sesudah lama ditinggalkan, maka pasti akan dipenuhi dengan debu, tahi cicak, dan sebagainya.

Ah, need a new fresh start again.

Hari ini adikku, Nur Diyana Zazali serta rakan-rakan tahun kedua Farmasi nya menghadapi paper pertama mereka bagi exam akhir tahun di UniSA. Selamat berjuang di medan Nana ye! Abang dah habis exam.. Hihi.

Bila difikirkan, tahun keempat MBBS di University of Adelaide ini adalah tahun yang sangat bermakna buat diriku. Kenapa? Setelah 6 tahun diri ku menjejakkan kaki ke bumi bertuah ini, akhirnya pada tahun ini berjaya juga aku melangkah ke tahun empat, tahun klinikal. Sebelum ini hanya bertarung dengna paper-paper pre-klinikal.. Paper Resource Med 1, 2, 3.. Aisshh

Bila mengenangkan dah 6 tahun sudah berlalu, aku melihat ramai rakan-rakan yang sezaman (seumur la maksudnya) dah sudah menentukan arah tuju masing-masing. Ramai yang dah berkahwin (erm, aku?), akan berkahwin, dah grad, bekerja, dan lain-lain. Malah junior2 pun dah start potonf dah dalam grad dan kahwin. Hari ini aku tersenyum sendiri apabila kawan lama dulu, masa zaman sekolah rendah, jadi friend ku dalam Facebook. Dan lihat dia pun nak kahwin juga akhir tahun ini. Hihi.

Tapi kalau asyik nak membicarakan apa yang aku tak dapat, apa yang aku masih belum capai, memang sampai bila pun akan membuatkan diri rasa down. Tak nampak apa yang dah dibuat.

Cuba fikir, apa yang aku dah capai, apa yang aku dah terima sepanjang keberadaan 6 tahunku di Adelaide.

Ahh..

Aku kenal kembali dengan Islam apabila aku di sini. Alhamdulillah. Dan bersyukur yang amat aku kepada Allah kerana walaupun di negara orang putih yang kita nampak masyarakatnya gila arak, aku mengenal kembali erti kehidupan ku di muka bumi ini.

Adelaide bukanlah bandar metropolitan ataupun cosmopolitan seperti kita bayangkan Los Angeles, New York, mahupun Sydney ataupun Melbourne. Jauh sekali dari London, Paris, Madrid dan lain-lain. Dan tak se gah Kuala Lumpur, tempat asal usulku (tapi of course besar la dari Gombak Batu 5 tu.. Hehe). Namun walaupun bandarnya kecil, namun penduduknya alhamdulillah baik-baik belaka. Hidup mereka disandarkan kepada moral values yang tinggi. "Hi, good morning. How are you?" merupakan ucapan yang biasa kita dengar di supermarket atau kedai-kedai. Penduduknya peramah, dan boleh dikatakan tidak susah la untuk kita menyesuaikan diri di sini. Tapi kalau masa mereka mabuk.... Adeh.. Habis segala moral tu..

Berceritakan kembali di sini, aku sangat berterima kasih kepada rakan-rakan, abang-abang yang sudi membimbing ketika ku sampai ke Adelaide. Nizam (dah doktor dah dia ni), Hanif, Aizuddin, Syauqi aka Matnor, Dr Zaki..

Dan yang paling penting, aku sangat-sangat lah berterima kasih kepada Allah... Kerana sudi mencampakkan sekeping hidayah buat diriku yang kerdil ini. Bagaimana Allah switch life ku dari kehidupan yang ntah apa-apa di KDU, kepada sebuah kehidupan yang sangat bermakna...

Seperkara lagi, kawan-kawan, seniors, juniors yang ku berkenalan di sini. Mereka merupakan teman yang paling rapatku sepanjang kehidupan ku, jauh melebihi rapatnya diriku dengan rakan-rakan di awal-awal kehidupanku dahulu. Dari seniors, bapa-bapa usrah, adik-beradik usrah, dan anak-anak usrah ku.

Kenapa?

Kerana kami berkongsi suka dan duka... Dan kami berkongsi sebuah perjuangan yang tidak lokek untuk dikongsi bersama.. Sebuah perjuangan yang dengannya kami menghayati tujuan kehidupan kami...

"Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan beribadah kepadaku" (Az-Zhariyat, 51:56)

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff, 61:3)

Kerana manisnya hidayah dan ukhuwah....

Saturday, June 05, 2010

Solidariti untuk Turki: Sebuah Perkongsian

4 Jun 2010
10.30am


Tiba di perkarangan Kedutaan Turki di Jalan U-Thant, Kuala Lumpur. Ramai ikhwah dan akhwat yang hadir di sana. Kelihatan beberapa buah bas diparkir di tepian jalan, bersama-sama dengan puluhan, malah ratusan kereta-kereta di sepanjang Jalan U-Thant ini.

Ah, berjumpa semula dengan ikhwah-ikhwah yang sama-sama terjun di dalam medan dakwah di Australia tatkala suatu masa dahulu. Haris, Muadz, Khousaini, Syauqi, Abang Ikhwan. Wah, semakin segak mereka, namun yang paling penting, mereka terus tsabat di jalan ini. Doakan ku juga terus tetap dan maju dalam jalan ini.

11.00am

"Khaibar2!!" . "Hidup Palestinnnn. . Hidup Turkiiii.." "Hancurrrrrr Israel..". Itu adalah laungan-laungan yang dimulakan bagi membakar semangat kami. Semua berkumpul di hadapan kedutaan, untuk memberikan pengiktirafan atas usaha kerajaan Turki dalam hal ini. Memorandum dihantar oleh Akhi Aminuddin dan Akhi Zaizul ke dalam Kedutaan Turki. Kemudian ada ceramah oleh Ustaz Shahruzzaman, disusuli oleh ucapan Akhi Aminuddin, Akhi Zaizul, Ukhti Norhashimah Salleh, Ustaz Abdullah Zaik, dan ucapan oleh wakil dari rakyat Palestin. Diakhiri dengan doa oleh Ustaz Rushdi, berlinangan air mata sebahagian peserta yang ada di hadapan kedutaan ini kerana cintakan keamanan hadir di bumi Palestin.

12.00pm

Berakhir sudah perkumpulan kami di sini. Kami diingatkan untuk tidak menghalang lalu-lintas, tidak mencetuskan suasana tegang seperti membakar dan lain-lain. Mungkin ini adalah perkumpulan jalanan yang paling bersih yang pernah ku hadiri sepanjang hidupku, kerana tiada insiden-insiden yang tidak enak berlaku (tidak sama seperti mana ketika aktif bersama Reformasi 98 dahulu). Ramai yang hadir berdisiplin, ditambah pula dengan ukhuwah yang erat antara mereka.

Itulah sebahagian pengkhabaran yang dapat dikongsikan bersama ntum semua. Moga menjadi penguat dalam diri untuk terus memacu dakwah di mana-mana sahaja; di bumi kangaroo Australia, di tanah air Malaysia, hatta pun di penjuru dunia mana pun kita.

Insya Allah.

"(To the Israelis) If you don't understand it in Turkish, I will say it in English: You shall not kill (sic),"- Erdogan, 2010

Sunday, May 16, 2010

Bertolong tolonganlah Kita!


"Dan bertolong-tolonganlah kamu dalam kebaikan, dan janganlah kamu bertolong tolongan dalam dosa dan permusuhan" (Al-Maidah, 5:2)

Monday, May 10, 2010

Anak-Anak Anugerah Istimewa dari Ilahi


Rasulullah SAW pernah bersabda (yang ertinya):
Didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara: mencintai Nabimu; mencintai ahlul baitnya (ahli rumahnya); dan membaca Al-Quran kerana orang-orang yang memelihara Al-Quran itu berada dalam lindungan singahsana Allah pada hari ketika tidak ada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya; mereka beserta para nabi-Nya dan orang-orang suci. (HR ath-Thabrani).

Sunday, March 21, 2010

Ingat Mati vs Wahn

Terkadang kita leka dan lalai dengan urusan semasa duniawi sehingga kita alpa, namun begitu mengingati kematian yang semakin hampir berikutan usia kita semakin bertambah menjadikan diri kita untuk merenung kembali serta bermuhasabah diri ke mana arah tujuan hidup ini dan apa yang kita dambakan sepanjang kehidupan di dunia ini.

Biasanya, bila kita bermuhasabah mungkin soalan-soalan seperti ini akan berlegar di minda;

Adakah Allah menerima setiap amalan kita di dunia?

Apakah sumbangan yang sudah kita beri pada Islam?

Sudahkah kita bersedia menjawab semua soalan yang akan diajukan pada kita oleh malaikat nanti?

Apa yang kita akan tinggalkan pada keluarga dan masyarakat kelak?

Aah… mungkin anda ada jawapannya

Teringat sedutan kisah seorang hamba Allah disyaki melakukan jenayah berat dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Dia hanya ada beberapa bulan sahaja untuk hidup dari tarikh yang telah ditetapkan. Lalu dia bertaubat dengan taubat nasuha.

Begitu juga dengan kisah seorang doktor dan pesakitnya. Katakan pesakit ini menghidapi penyakit yang agak kritikal dan doktor mengesahkan pesakit ini hanya dapat bertahan dalam masa beberapa bulan sahaja. Jadi dengan waktu yang masih ada ini dia teruskan kehidupannya yang berbaki dengan meletakkan sepenuh keyakinan, pengharapan serta pergantungannya pada Allah. Teringat ana akan syair Arab ini:

Makanya, bila ana melihat di sini, persamaan situasi di atas adalah dia tahu bila ajalnya walaupun masih dalam perkiraan dan perhitungan Allah tetapi terdetik pada hati ini bahawa bertuahnya hamba Allah ini menghabiskan sisa terakhir hidupnya dengan beribadah kepada Allah semahu-mahunya. Mungkin kita boleh jadi sepertinya dan cuba kita letakkan diri kita seperti keadaan dirinya. Boleh jadi ajal kita esok, lusa atau saat ini dan ketika itu kita akan bersungguh-sungguh melakukan ibadah dengan sebenar-benarnya sehinggakan kita mungkin boleh lupa akan kenikmatan dan kemewahan dunia yang terlalu menjerat kita. Teringat akan firman Allah swt:

“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal) sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh”. (Surah An-nisa’: 78)

Selalu kita mendengar kisah para sahabat serta salafussoleh terdahulu, bagaimana pengorbanan mereka dalam menegakkan agama Allah. Di akhir kehidupan mereka hanyalah mengimpikan mati syahid. Mungkin kita juga punya cita-cita sebegitu, inginkan pengakhiran yang baik (husnul khatimah) bila bertemu dengan Allah kelak. Namun begitu, pengakhiran yang baik ini perlukan perjuangan dan pengorbanan untuk kita persembahkan sesuatu yang terbaik di sisi Allah sepertimana kisah Habil dan Qabil (Surah Al-Maidah, 27-31). Firman Allah dalam Surah At-Taubah:

“Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh, sebagai janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Quran dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan demikian itulah kemenangan yang agung.”

Walaupun begitu, pernahkah kita terfikir setiap pengorbanan ini ada halangan, mehnah dan tribulasinya. Suka ana nak berkongsi mengenai penyakit wahn yang pernah disebut nabi dalam hadisnya seperti di bawah;

“Daripada Tsauban ra berkata; Rasulullah bersabda hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka. Maka salah seorang sahabat bertanya apakah dari kerana sedikit pada hari itu. Nabi saw menjawab: bahkan kamu pada hari itu banyak sekali tetapi kamu umpama buih dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan. Seorang sahabat bertanya, apakah wahan itu hai Rasulullah? Nabi menjawab, cinta pada dunia dan takutkan mati.”

Sedar tak sedar penyakit ini menular dalam diri kita. Percayakah kita penyakit wahn ada pada kita sedari kecil lagi. Mungkin kita tidak perasan, tapi inilah perancangan Yahudi sebagaimana analogi seorang guru meminta penyelesaian tepat dari anak muridnya, bayangkan sebuah buku diletakkan di tengah-tengah sebidang karpet, jadi bagaimana caranya untuk kita mendapatkan buku tersebut. Makanya, jalan terbaik adalah dengan cara menggulungnya sedikit demi sedikit. Begitulah dakyah mereka terhadap umat Islam. Melalui ‘ghuzwatul fikr’ mereka berjaya membuatkan umat Islam ketinggalan begitu jauh dari agama lain sama ada di bidang rohani, intelektual dan material. Disebutkan dalam buku ‘syubhah haulah islam’, antara sebab kenapa umat Islam terdahulu dan sekarang berbeza adalah hilangnya tarbawi Islam itu sendiri, cengkaman kuat dari musuh-musuh Islam, umat Islam yang melampaui batas dan tidak meletakkan keimanan sebagai asas tunjang utama.

Untuk akhirnya, suka ana nak mengajak sahabat semua untuk kita sama-sama fikirkan kematian sepertimana Saidatina Aisyah katakan ia sebagai satu nasihat serta peringatan terbaik untuk diri kita. Sama-sama juga kita letakkan dunia pada tempatnya dan cuba untuk tinggalkan penyakit wahn. Jadikanlah dunia ini bagaikan kita berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas seketika berehat untuk hilangkan penat maka beredarlah meninggalkan pohon tersebut dan meneruskan perjalanan. Walaupun begitu jangan kita abaikan dunia kerana dunia inilah ladang akhirat. Kecemerlangan dunia sebenarnya adalah bayangan kecemerlangan akhirat.

Nabi saw bersabda; berusahalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan berusahalah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari.

Sahabat seperjuangan, Islam perlukan rijal-rijal sejati yang kuat dari segi rohani serta jasmani. Tanamkanlah rasa takut kita pada Allah di samping kita genggam hati-hati ini di sepertiga malam dengan sepenuh ikhlasnya. Hadirkan dalam diri ini rasa kasih, cinta dan sayang semata-mata untuk Allah. Sama-sama juga kita alirkan roh jihad di segenap ruang jiwa kita dan sentiasalah kita berhati-hati dengan musuh Islam yang penuh dengan dendam mereka pada kita. Kalau di Palestin, kita melihat kanak-kanak kecil berani lontarkan batu pada musuh Islam, kenapa tidak kita lontarkan dakwah dan ilmu di tempat kita. Sebarkanlah serta bekerjalah untuk Islam. Ayuh dan bangkitlah wahai pemuda Islam untuk sama-sama kita berusaha tegakkan Islam kembali dengan cara yang terbaik. Moga-moga kita dapat membawa satu perubahan baru ISLAM di persada dunia yakni Islam yang lebih humanis, progresif dan global.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir Cawangan Mansurah

Tuesday, February 16, 2010

Ketika Cinta Bertasbih- Ketandusan Medium Dakwah Melalui Seni

Saya tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Saudara Habiburrahman El-Shirazy, seorang penulis dari Indonesia tentang kegagalan industri perfileman Malaysia dalam menerapkan unsur-unsur Islam dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat secara berkesan.

Saya memang akui, di Malaysia sekarang, sarat dengan filem-filem yang berunsur seram, seks, lawak yang direka-reka dan pelbagai lagi. Namun begitu, mengapakah tidak diunjurkan suatu anjakan terhadap membawa dakwah dalam bidang kesenian?

Secara kasarnya, kalau kita menonton filem "Ketika Cinta Bertasbih", karya asalnya dari novel yang ditulis oleh Saudara Habiburrahman El-Shirazy, banyak unsur-unsur dakwah dapat diterapkan ke dalam diri penonton. Diri Ustaz Abdullah Khairul Azzam, seorang graduan dari Universiti Al-Azhar, Mesir, dilihat begitu teratur dalam menyusun kehidupannya, walaupun dalam keadaan payah demi menyara kehidupan adik-adik di Indonesia sebab kematian ayahnya. Dan dirinya dilihat begitu menjaga akhlaknya, serta tegas dalam menjaga agama Islam yang diyakininya. Begitu juga dilihat diri Ustazah Anna Althafunnisa, yang dilihat sangat hebat, sama hebatnya seperti apa yang dapat dirasai apabila anda membaca sendiri novel dwisiri ini.

Saya memberi ucapan tahniah kepada produksi filem ini kerana berjaya, malah sangat berjaya dalam menyampaikan dakwah melalui medium seni ini. Lebih berjaya, bagi saya, berbanding dengan filem terdahulu iaitu filem "Ayat-Ayat Cinta", yang berasaskan novel yang ditulis oleh Habiburrahman El-Shirazy juga. Kerana dalam setting perfileman tersebut, watak-watak utama filem KCB ini berjaga 'menjaga' akhlak mereka, seperti tidak membuka aurat, tiada pergaulan bebas seperti berpegangan tangan, berkucupan, mahupun adegan-adegan yang boleh dikira membangkitkan rasa ghairah penonton. Tidak seperti filem Ayat-Ayat Cinta, di mana watak-watak utamanya adalah tidak sehebat mana berbanding watak-watak yang digambarkan dalam novel yang saya baca itu. Dan, saya rasa inisiatif Habiburrahman El-Shirazy berserta produksi filem KCB dalam memilih dan menapis sendiri bakal-bakal pelakon dilihat sebagai satu kesungguhan untuk menjaga kelancaran filem ini, sekaligus berjaya membawa dakwah dan dialirkan kepada masyarakat.

Di Malaysia, seperti yang telah saya katakan tadi, hampir semua karya seni produksi di sini gagal untuk mendidik masyarakat supaya menjadi insan yang diimpikan oleh Islam. Gelak ketawa dan rasa sayang dan cinta sesama manusia menghiasi setiap filem yang mahu dipertontokan kepada masyarakat. Mungkin ada beberapa filem / drama yang saya kira dihasilkan bagi mendidik masyarakat. Contohnya adalah seperti telefilem "Julia" dan juga siri drama "Nur Kasih", yang sedikit sebanyak terdapat unsur-unsur dakwah. Namun, bagi saya kedua-dua ini kurang berjaya kerana jalan ceritanya terlalu 'slow', malah masih berpaksikan kepada tema cinta, yang jauh mengatasi tema dakwah yang mahu diketengahkan. Tambahan pula, drama Nur Kasih, watak utamanya bolehlah dikata tidak konsisten dan 'labile' kerana perwatakan di dalam setting tidak sama seperti kehidupan di luar drama. Labile kerana perwatakan alim itu tidak dapat dicerminkan di kehidupan luar, malah memalukan anak bangsa sendiri bila kita menyedarinya.

Aduhai umat! Bangkitlah dari tidurmu yang sangat lena!

Bagi saya, ruang dakwah sekarang terbuka luas untuk disampaikan kepada masyarakat. Dan salah satu cara efisyen yang boleh dilakukan adalah melalui cabang kesenian, kerana menjadi lumrah manusia, suka akan kecantikan dan kesenian.

Maka perlulah ada generasi pendakwah yang mempunyai kepakaran dalam bidang kesenian. Seperti mana perlunya generasi pendakwah dalam bidang pendidikan, perubatan, ahli tadbir negara, kesukanan, dan lain-lain.

Perangkaan dan strategi perlu disusun mulai saat ini, supaya dakwah kita dapat mengalir kepada penggiat seni. Seniman dan seniwati yang faham akan keperluan dakwah yang mendesak, akan sama-sama bergandingan untuk membangunkan umatnya, dengan kepakaran mereka dalam bidang dakwah.

Para daie masa kini harus mempergiatkan usaha, moga-moga usaha kita menyampaikan Islam ini dapat diterima oleh hati-hati insan seni ini, dan semoga mereka dapat bersama-sama dengan kita, mengorak langkah dalam melangkaui onak dan duri pada umat di hadapan kita.

Insya Allah.