Tuesday, February 16, 2010

Ketika Cinta Bertasbih- Ketandusan Medium Dakwah Melalui Seni

Saya tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Saudara Habiburrahman El-Shirazy, seorang penulis dari Indonesia tentang kegagalan industri perfileman Malaysia dalam menerapkan unsur-unsur Islam dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat secara berkesan.

Saya memang akui, di Malaysia sekarang, sarat dengan filem-filem yang berunsur seram, seks, lawak yang direka-reka dan pelbagai lagi. Namun begitu, mengapakah tidak diunjurkan suatu anjakan terhadap membawa dakwah dalam bidang kesenian?

Secara kasarnya, kalau kita menonton filem "Ketika Cinta Bertasbih", karya asalnya dari novel yang ditulis oleh Saudara Habiburrahman El-Shirazy, banyak unsur-unsur dakwah dapat diterapkan ke dalam diri penonton. Diri Ustaz Abdullah Khairul Azzam, seorang graduan dari Universiti Al-Azhar, Mesir, dilihat begitu teratur dalam menyusun kehidupannya, walaupun dalam keadaan payah demi menyara kehidupan adik-adik di Indonesia sebab kematian ayahnya. Dan dirinya dilihat begitu menjaga akhlaknya, serta tegas dalam menjaga agama Islam yang diyakininya. Begitu juga dilihat diri Ustazah Anna Althafunnisa, yang dilihat sangat hebat, sama hebatnya seperti apa yang dapat dirasai apabila anda membaca sendiri novel dwisiri ini.

Saya memberi ucapan tahniah kepada produksi filem ini kerana berjaya, malah sangat berjaya dalam menyampaikan dakwah melalui medium seni ini. Lebih berjaya, bagi saya, berbanding dengan filem terdahulu iaitu filem "Ayat-Ayat Cinta", yang berasaskan novel yang ditulis oleh Habiburrahman El-Shirazy juga. Kerana dalam setting perfileman tersebut, watak-watak utama filem KCB ini berjaga 'menjaga' akhlak mereka, seperti tidak membuka aurat, tiada pergaulan bebas seperti berpegangan tangan, berkucupan, mahupun adegan-adegan yang boleh dikira membangkitkan rasa ghairah penonton. Tidak seperti filem Ayat-Ayat Cinta, di mana watak-watak utamanya adalah tidak sehebat mana berbanding watak-watak yang digambarkan dalam novel yang saya baca itu. Dan, saya rasa inisiatif Habiburrahman El-Shirazy berserta produksi filem KCB dalam memilih dan menapis sendiri bakal-bakal pelakon dilihat sebagai satu kesungguhan untuk menjaga kelancaran filem ini, sekaligus berjaya membawa dakwah dan dialirkan kepada masyarakat.

Di Malaysia, seperti yang telah saya katakan tadi, hampir semua karya seni produksi di sini gagal untuk mendidik masyarakat supaya menjadi insan yang diimpikan oleh Islam. Gelak ketawa dan rasa sayang dan cinta sesama manusia menghiasi setiap filem yang mahu dipertontokan kepada masyarakat. Mungkin ada beberapa filem / drama yang saya kira dihasilkan bagi mendidik masyarakat. Contohnya adalah seperti telefilem "Julia" dan juga siri drama "Nur Kasih", yang sedikit sebanyak terdapat unsur-unsur dakwah. Namun, bagi saya kedua-dua ini kurang berjaya kerana jalan ceritanya terlalu 'slow', malah masih berpaksikan kepada tema cinta, yang jauh mengatasi tema dakwah yang mahu diketengahkan. Tambahan pula, drama Nur Kasih, watak utamanya bolehlah dikata tidak konsisten dan 'labile' kerana perwatakan di dalam setting tidak sama seperti kehidupan di luar drama. Labile kerana perwatakan alim itu tidak dapat dicerminkan di kehidupan luar, malah memalukan anak bangsa sendiri bila kita menyedarinya.

Aduhai umat! Bangkitlah dari tidurmu yang sangat lena!

Bagi saya, ruang dakwah sekarang terbuka luas untuk disampaikan kepada masyarakat. Dan salah satu cara efisyen yang boleh dilakukan adalah melalui cabang kesenian, kerana menjadi lumrah manusia, suka akan kecantikan dan kesenian.

Maka perlulah ada generasi pendakwah yang mempunyai kepakaran dalam bidang kesenian. Seperti mana perlunya generasi pendakwah dalam bidang pendidikan, perubatan, ahli tadbir negara, kesukanan, dan lain-lain.

Perangkaan dan strategi perlu disusun mulai saat ini, supaya dakwah kita dapat mengalir kepada penggiat seni. Seniman dan seniwati yang faham akan keperluan dakwah yang mendesak, akan sama-sama bergandingan untuk membangunkan umatnya, dengan kepakaran mereka dalam bidang dakwah.

Para daie masa kini harus mempergiatkan usaha, moga-moga usaha kita menyampaikan Islam ini dapat diterima oleh hati-hati insan seni ini, dan semoga mereka dapat bersama-sama dengan kita, mengorak langkah dalam melangkaui onak dan duri pada umat di hadapan kita.

Insya Allah.

2 comments:

nur hafizah maffar said...

salam álaik... saya hafizah, second cousin awak.. jumpa blog awak dari nana...

mesti best study oversea kan? =)

saya rasa one of my friends, kawan awak jugak.. dia sambung study kat USM, sekelas dgn saya... nama dia muhammad huzaifah mohamad jan, awak kenal kan?

aie144 said...

Ingat.. Ex-housemate di Adelaide...