Wednesday, July 18, 2012

Ayuh Tingkatkan Prestasi Iman dan Perjuangan dalam Bulan Tarbiyah: Bulan Ramadhan!

Firman Allah S.W.T :

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa” (Surah Al-Baqarah: 183)

Bulan Ramadhan merupakan bulan penuh keberkatan, dan bulan perjuangan. Kalau disingkap dari kisah-kisah generasi terdahulu, kita akan dapati pelbagai kejadian yang sangat menggoncang hati dan perasaan serta menguji keimanan hambanya, diberikan oleh Allah kepada mereka yang terdahulu ketika mana dalam bulan Ramadhan : Peperangan Badar, Pembukaan Kota Mekah, turunnya Al Quran, Pembukaan Kota Mesir,  Pembukaan Kota Andalus Sepanyol, Peperangan Ain Jalut,  dan pelbagai lagi peristiwa yang sangat memberi impak yang mendalam diri setiap individu Muslim yang melalui pengalaman-pengalaman tersebut. Dari sini, para sahabat dan para pewaris perjuangan Rasulullah SAW yang terdahulu mengambil ujian yang diberikan oleh Allah SWT sebagai pemangkin kepada kehebatan iman mereka kepada Allah.

Mungkin ramai yang bertanya, mengapakah mereka mampu melakukannya?

Dan soalan yang paling acap kali ditanya, mampukah KITA melakukan apa yang telah dilakukan oleh mereka yang terdahulu?

Mengapa TIDAK?

Rasulullah SAW pernah bersabda, yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan"
Kalau dilihat bagaimana janji yang telah diberikan, kita akan rasai bahawa sebulan Ramadhan yang hadir itu adalah sebagai booster kepada segala amalan yang dilakukan oleh kita setiap hari. Kerana pada ketika inilah syaitan yang bertugas mengganggu gugat iman kita sepanjang 11 bulan yang lain telah dibelenggu oleh Allah SWT. Bermaksud 1 bulan yang boleh diguna pakai tanpa was-was oleh semua orang. 1 month without the influence of syaitan! Bayangkan betapa banyak perkara yang kalau sebelum ini kita rasakan malas-malas atau 'tidak berkesempatan' untuk dilakukan, kita boleh lakukan dengan cara yang terbaik sekali.

Dan sekiranya kita 'upgrade' lagi cara kita melihat Ramadhan ini, dari pandangan sebagai seorang manusia yang tipikal kepada seorang pejuang Islam yang meletakkan dirinya sebagai orang yang berjuang, maka kita akan lihat bahawa bulan Ramadhan bukan hanya menjadi satu 'pesta ibadah' semata-mata, tetapi Ramadhan yang mendatang merupakan satu peluang untuk menyusun semula agenda perjuangan mereka, serta melaksanakannya bersungguh-sungguh seperti mana para sahabat dan mereka yang terdahulu. Mereka sanggup, dalam keadaan lapar dan panas berpuasa, mereka mampu melakukan sesuatu yang besar dan hebat. Something extraordinary!

"Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman selain daripada orang-orang yang ada keuzuran dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar." (An-Nisaa' 4:95)

Maka saya berharap agar setiap individu melihat bulan Ramadhan yang bakal menjelma nanti sebagai bulan pemangkin kepada kehebatan iman serta perjuangan amal kita untuk dipersembahkan di hadapan Allah nanti. Dari sekecil-kecil perjuangan untuk bangkit di malam hari untuk bersolat qiyamullail, bersahur, solat berjemaah, bersedekah dan amal jariah, membaca Al-Quran serta menghafaznya, menyediakan hidangan juadah berbuka puasa, membayar zakat, bersolat Tarawih dan lain-lain, mahupun sekiranya Allah SWT menetapkan kita bagi berjuang di Palestin mahupun di mana sahaja di muka bumi ini yang mana umat Islamnya ditindas, maka kita sanggup untuk menyumbangkan sesuatu ke arah jalan perjuangan tersebut. Pastikan nilai iman, tunduknya diri ini sebagai hamba kepada Allah semakin meningkat seusai Ramadhan berlalu nanti.

Marilah sama-sama kita saling membantu bagi meningkatkan prestasi iman dan perjuangan dalam bulan Tarbiyah: Bulan Ramadhan ini. Moga Allah mempertemukan kita dengan Ramadhan kali ini, dan semoga Allah menjadikan Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan yang terbaik pernah kita hayati selama mana kita hidup sehingga ini.

Insya Allah!

Salam perjuangan buat semua.












Ahmad Khairi Bin Zazali
Pengerusi
PEMBINA Perak

No comments: