Sunday, August 20, 2006

Remaja berpeleseran


Bilangan remaja lelaki dan perempuan yang keluar tanpa izin ibu bapa hingga larut malam meningkat mendadak pada 2004 berbanding kajian 1994

JAM menunjukkan 11.30 malam, tetapi suasana Bintang Walk di pusat bandar raya Kuala Lumpur pada malam minggu sungguh meriah.

Di satu kawasan lapang berhampiran simpang empat dan stesen monorel Bukit Bintang, tujuh remaja berpakaian ala punk, termasuk dua perempuan, melepak di tepi jalan. Sesekali ketawa berderai kuat dan apabila jemu, mereka bergerak ke tempat lain.

Di suatu sudut lain, sepasang remaja lelaki dan perempuan berpelukan tanpa menghiraukan orang sekeliling.

Bukan hanya Bukit Bintang, kawasan lain yang menjadi tumpuan remaja kota seperti sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pemandangan yang menjadi sebahagian ciri landskap bandar raya Barat mula menampakkan wajahnya.

Pemandangan begini sukar dilihat kira-kira 20 atau 30 tahun lalu. Memang benar gejala negatif wujud pada setiap zaman, tetapi salah laku sosial remaja semakin kerap diperkatakan.

Hari ini, remaja keluar hingga larut malam bukan hanya di Kuala Lumpur. Hampir setiap bandar besar seperti Johor Bahru, Ipoh dan Georgetown, malah bandar kecil seperti Kulim dan Taiping, menunjukkan fenomena sama.

Ini yang menyebabkan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-4 (KPKM-4) 2004 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), meletakkan keluar hingga larut malam sebagai antara salah laku sosial remaja.

Hasil kajian bersiri setiap 10 tahun sejak 1974 itu mendapati bahawa 13.5 peratus remaja di Semenanjung Malaysia, 12 peratus di Sabah dan 11.3 peratus di Sarawak keluar tanpa izin ibu bapa hingga larut malam.

Mengapa keluar hingga larut malam dikategorikan sebagai salah laku sosial remaja?

Pengarah Bahagian Kependudukan LPPKN, Rohani Ab Razak, berkata kategori salah laku sosial remaja ditentukan satu jawatankuasa teknikal yang dianggotai pakar LPPKN, agensi kerajaan berkaitan dan pakar akademik.

Katanya, sudah tentu salah laku sosial itu adalah berdasarkan senario sebenar yang berlaku dalam masyarakat sekarang.

Salah laku sosial remaja lain yang disenaraikan ialah gangsterisme, menyertai perlumbaan haram, merokok dan menagih dadah.

Pada tahun 1960-an dan 1970-an, salah laku sosial remaja bukan agenda utama pihak berkuasa. Hanya pada 1984, kajian LPPKN memberi perhatian terhadap salah laku sosial remaja.

Antara fakta menonjol dalam KPKM-4 ialah bilangan remaja lelaki dan perempuan yang keluar tanpa izin ibu bapa hingga larut malam meningkat mendadak berbanding kajian sama pada 1994, iaitu dari 3.7 peratus kepada 22.2 peratus (lelaki) dan 0.8 peratus kepada 4.6 peratus (perempuan).

Apakah dilakukan remaja yang keluar hingga larut malam? Rohani berkata, KPKM-4 tidak memperincikan apa yang mereka lakukan, tetapi paling penting ialah kajian mendapati bahawa masalah itu paling ketara.

“KPKM-4 menunjukkan keluar hingga larut malam adalah salah laku sosial remaja paling tinggi, diikuti merokok dan menyertai perlumbaan haram. Oleh itu, sewajarnya kajian lanjut dan fokus diberikan terhadap masalah ini”, katanya.

Tinjauan Berita Minggu di beberapa kawasan ibu negara yang menjadi tumpuan malam minggu seperti sepanjang Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail, menunjukkan pusat hiburan adalah antara destinasi kegemaran remaja.

Malangnya di lokasi beginilah pelbagai masalah sosial membabitkan remaja bercambah terutama penyalahgunaan dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, menyatakan hasil pemeriksaan polis di pusat hiburan seluruh negara mendapati sebahagian besar pengunjung didapati positif dalam ujian dadah dan paling ketara dadah sintetik dan pil psikotropik.

Sesetengah pihak melihat inilah harga yang perlu dibayar apabila negara mengalami proses pemodenan.

Pembangunan pesat negara ternyata mempunyai implikasi terhadap sistem sosial masyarakat negara ini. Pada awal kemerdekaan hingga era 1960-an, ekonomi Malaysia berasaskan pertanian dan majoriti penduduk di luar bandar.

Mulai 1970-an, proses migrasi dan industrialisasi pesat berlaku di negara ini. Tahun lalu, 63 peratus penduduk Malaysia menghuni kawasan bandar dan hanya 37 peratus di luar bandar. Struktur institusi keluarga juga berubah.

Keluarga sebagai elemen sistem sosial yang membentuk masyarakat sudah jauh berbeza. Dulu keluarga bermaksud beberapa keluarga yang mempunyai ikatan rapat di satu tempat dan diketuai anggota keluarga paling tua dan berpengaruh.

Hari ini, keluarga bermaksud hanya ibu bapa dan akan-anaknya. Peranan datuk nenek serta bapa dan ibu saudara semakin berkurangan. Justeru tidak hairan kawalan ibu bapa terhadap anak-anak semakin longgar.

Dari sudut lain, polis melihat masalah salah laku sosial remaja berdasarkan pembabitan juvana dan pelajar dalam kes jenayah

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, statistik polis mendapati sebanyak 2,605 kes jenayah membabitkan juvana dan 863 membabitkan pelajar. Jumlah tangkapan pula membabitkan 3,616 juvana dan 1,467 pelajar.

Perbandingan bagi tempoh sama tahun lalu, 1,846 kes jenayah membabitkan juvana dan dan 723 kes pelajar dengan jumlah tangkapan membabitkan juvana seramai 2,784 orang dan 1,279 pelajar.

Mungkin bagi sesetengah pihak, peningkatan kes serta tangkapan juvana dan pelajar adalah kecil, tetapi Timbalan Ketua Polis Negara, tidak melihat begitu dan melahirkan kebimbangan dengan trend jenayah membabitkan juvana dan pelajar.

Kebimbangan ini sewajarnya dikongsi bersama masyarakat dan tidak melihat salah laku sosial remaja sebagai perkara biasa atau remeh temeh.

KPKM-4 yang akan dikemukakan kepada Kabinet dan dibincangkan secara mendalam bakal menjadi asas kepada dasar dan program yang akan kerajaan laksanakan untuk menangani salah laku sosial remaja.

Bagaimanapun, salah laku sosial remaja bukan hanya masalah kerajaan. Masyarakat tidak boleh berpeluk tubuh dan hanya melihat masalah ini sebagai fenomena biasa. Setiap orang boleh memberi sumbangan.

Ini termasuk mengukuhkan semula institusi keluarga dengan mengamalkan gaya kehidupan yang berteraskan budaya Timur dan berpegang kukuh kepada ajaran agama sebagai benteng kukuh menghadapi serangan elemen negatif budaya Barat.


"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?" (Al Jaathiyah, 45 : 23)

Ya Allah....


Jauhkan diriku serta kaum disekelilingku daripada dibuta-tulikan matanya dan dikunci mati pendengaran dan hatinya oleh Mu Ya Rabbi...

Aku memohon belas kasihan daripadamu daripada azab api neraka Mu...

Amin...

2 comments:

Anonymous said...

salam..
bagus jugak kan kat sydney, melburn, dsbg kedai2 sume tutop pkol 5-6 petang.. kurang la masalah bebudak bekeliaran.. kecuali pi pub.. kat stesen bus pon kurang manusia kalo dah memalam.. mungkin di mesia juga harus buat system tutop kedai cecepat..

Anonymous said...

salam alaik..
betul tu, sayeh..
satu lg system yg blh diikut is pagar kn taman2 yg ade, n kunci time malam..
cth: botanical garden adelaide. eventho free mcm titiwangsa, still ade time open n close nya. selain nak elak kan org curi bunga, tujuannya utk elak orang yg "mereng" masuk...
aplikasi: taman tasik titiwangsa misalnya, w.pon hakikatnya payah sikit sbb ade jalan short cut ke jalan pahang n tun abd razak. namun, tak mustahil utk laksana, demi utk perangi maksiat....betul tak?? hendak seribu daya kalo xnak seribu satu dalih...
wasalam..