Wednesday, July 19, 2006

Kekejaman terhadap umat Islam uji persaudaraan

(artikel daripada Berita Harian)

CUBIT paha kanan, paha kiri terasa - itulah ungkapan yang paling tepat bagi menggambarkan kisah sedih dan pilu yang terpaksa ditanggung oleh umat Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan dan umat Islam seluruh dunia amnya.

Perasaan sedih dan pilu mengenang nasib umat Islam yang lain adalah fitrah yang sudah tertanam dalam diri setiap individu Muslim yang mengucapkan kalimah syahadah yang agung iaitu kalimah yang membezakan seseorang itu beriman dengan Allah dan rasul-Nya atau sebaliknya.

Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Diumpamakan orang mukmin dalam hal kasih mengasihi, sayang menyayangi, hubung menghubungi di antara mereka mereka laksana satu jasad. Apabila mengadu sakit salah satu anggotanya, maka ikut terasa kesakitan kesakitan itu keseluruhan badan dan berjaga malam.” (Hadis riwayat Muslim).

Sebagai umat Islam, kita diajar untuk berusaha dan bertawakal serta iringinya dengan doa. Kita disyariatkan berdoa untuk kebaikan diri, keluarga, sahabat, sesama Islam hatta kepada bukan Islam sekalipun supaya mereka diberi taufik dan hidayah oleh Allah.

Doa ialah pengharapan seseorang untuk mendapatkan kebaikan daripada Allah dengan memohon secara langsung kepada-Nya.

Setiap individu mempunyai keperluan dan keinginan masing-masing sama ada secara positif atau negatif.

Ini kerana mereka terpaksa menghadapi pelbagai ragam hidup yang berupa cabaran, halangan, dugaan dan sebagainya.

Justeru, mereka berdoa kepada Allah memohon limpah perkenan dan rahmat-Nya supaya hajat mereka terkabul.

Menurut pandangan Islam, doa adalah suatu cara yang perlu digunakan oleh orang Islam bagi mendapat pertolongan daripada Allah.

Kita hendaklah berdoa setelah didahului dengan usaha dan ikhtiar yang gigih, seterusnya doa digunakan untuk kebaikan dan kemaslahatan ummah seluruhnya.

Firman Allah bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.” – (Surah al-Baqarah, ayat 186).

Usaha jitu perlu digerakkan dengan memberi kesedaran supaya setiap mukmin menyumbang sesuatu bagi membantu saudara seagama yang tidak bernasib baik.

Setiap mukmin perlu memberi sumbangan yang berupa material atau sumbangan dengan berdoa kepada Yang Maha Kuasa mohon pertolongan kerana orang mukmin saling memerlukan di antara satu sama lain.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin bagi seorang mukmin yang lain seperti sebuah bangunan. Sokong menyokong di antara satu sama lain. Dan Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan menyilangkan di antara jari-jemar Baginda.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Hari ini mereka diuji dengan pelbagai cabaran dan halangan. Ia juga menguji orang Islam yang lain agar dapat mempersiapkan diri dengan melakukan jihad sama ada dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan sebagainya.

Kita juga perlu menyedari bahawa kehidupan adalah ujian Yang Maha Esa, untuk melihat sejauh mana hamba-Nya yang berlegar mencari kehidupan yang diredai dan diberkati-Nya.

Ada yang diuji dengan nikmat kesenangan dan ada yang diuji dengan kesengsaraan.

Allah menjanjikan balasan syurga setelah mendatangkan ujian untuk hamba-Nya.

Mukmin yang tabah menghadapi ujian akan dekat dirinya dengan Allah dan pertolongan Allah akan hadir memayungi kehidupannya.

Firman-Nya bermaksud: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” – (Surah al-Baqarah, ayat 214).

Oleh Mohd Zamri Shafie
Penulis ialah Imam Masjid Putrajaya, Putrajaya
(E-mel: mzumairi78@islamway.net)

1 comment:

ihsan_huhu said...

mengapa tiada aku dlm gamba..cis2